
CFMOTO PERKENAL ENJIN DUA SILINDER 550CC DI CHINA – 52HP, 51NM
CFMOTO dengan rasminya memperkenalkan enjin dua silinder 550cc di China sekaligus memperkembang tawaran model bagi pasaran global.
Platform baharu tersebut memuatkan dua silinder (parallel-twin) 526cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 52hp pada 9,000rpm dan 51Nm pada 6,000rpm. Menariknya, enjin terbaru itu debut pada model cruiser yang dinamakan 550CL-C.

Menurut CFMOTO, pembangunan enjin baharu itu hanya memakan masa 180 hari dari proses pemodelan tanah liat sehingga ke perincian akhir.
CFMOTO mendakwa 550CL-C ini bukan sekadar mengambil 450CL-C dan memuatkan enjin yang lebih besar sebaliknya mereka semula segala komponen termasuk lampu utama, tangki dan sistem ekzos.

Sementara itu, 550CL-C ini menawarkan tangki bahan api berkapasiti 14L (naik 2L berbanding 450CL-C), meter TFT 3.6-inci dengan fungsi Motoplay. Suspensi pula mengguna pakai fork jenis terbalik yang disambung bersama cakera tunggal 320mm depan dan 240mm belakang masing-masing dipadankan dengan brek J.Juan.
Meskipun enjin lebih besar namun ketinggian tempat duduk masih mesra penunggang dengan 710mm (naik 20mm berbanding 450CL-C) dan berat keseluruhan hanyalah 195kg (dengan tangki penuh).

Dalam pada itu, pelancaran 550CL-C ini menandakan satu senario yang signifikan dari CFMOTO kerana langkah ini memberi bayangan bahawa model 450MT, 450SR dan 450NK juga bakal tampil dengan versi 550cc.
Bagaimanapun, buat masa ini tiada pengesahan sama ada model 550cc ini merupakan tambahan kepada model sedia ada atau merupakan pengganti kepada model 450cc.
GALERI: CFMOTO 550CL-C
























