GENEVA MOTOR SHOW 2024 AKAN DITERUSKAN SEPERTI BIASA – SELEPAS 3 TAHUN ‘BERCUTI’
Ketiadaan Geneva Motor Show sejak tahun 2020 menyebabkan pelancaran kereta-kereta yang dinanti dilakukan secara dalam talian. Ia dijangka memperlahankan momentum pameran auto paling popular di dunia ini. Geneva Motor Show ni sangat best tuan-tuan satu ketika dahulu. Inilah medah pengeluar-pengeluar ternama mendedahkan model-model terbaru mereka kepada dunia sejak puluhan tahun dahulu.
Menurut Automotive News Europe, pihak penganjur kini cuba memberikan konsep baharu yang lebih ‘rahmah’ dengan kos yang lebih rendah kepada syarikat pengeluar kereta dan pengunjung. Mereka cuba sedaya upaya mengurangkan kos untuk mengembalikan kemeriahan pameran ini.
Kena ingat walaupun sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, beberapa pengeluar seperti Lamborghini telah menarik diri dari menyertai pameran kerana kos penyertaan yang agak tinggi. Kenapa nak habiskan wang yang banyak untuk pelancaran sedangkan ia boleh dilakukan secara atas talian dengan percuma.
Antara langkah yang bakal diambil ialah memperkenalkan ruang pameran “plug and play” yang lebih menjimatkan kos. Pengeluar cuma perlu memilih konsep dan penganjur akan menyediakannya untuk mereka.
Boleh jalan ke idea ni sebab menurut pengalaman kami menghadiri pameran motor berskala besar macam ini, pengeluar ternama lebih gemar menyediakan sendiri ruang pameran yang serba eksklusif. Setengahnya siap dengan kafe dan restoran bertaraf antarabangsa untuk santapan warga media macam kami dan rakan niaga mereka. Ruang pameran itu sendiri kadang-kadang lagi hebat dari kereta yang dipamerkan.
Tapi rasanya penganjur tak ada masalah pun kalau pengeluar nak bina sendiri booth mereka.
Satu lagi masalah ialah penginapan hotel yang agak mahal di bandaraya Geneva. Ye la, bos-bos syarikat kereta ternama takkan la nak tinggal di hotel bajet macam kita orang ni. Mesti nak yang 5 bintang ke atas. Kami langsung tak ada bintang.
Sebagai penyelesaian penganjur telah membuat perjanjian dengan hampir 16 hotel berdekatan pameran untuk memberikan harga yang lebih berpatutan kepada peserta dan pengunjung. Ada Oyo tak kat sana eh? Dah lama sangat tak pergi ni.
Geneva Motor Show menurut perancangan bakal diadakan dari 26 Januari hingga 3 Mac 2024 bertempat di Palexpo yang berada berdekatan dengan lapangan terbang Geneva. Tak macam di Malaysia, korang boleh jalan kaki terus dari airport ke Geneva Motor Show. Best kan?