Buletin

Nasim Lancar Peugeot Blue Box Kota Damansara

Pengembangan operasi Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) ke seluruh negara diteruskan dengan pelancaran Peugeot Blue Box Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. 

Peugeot Blue Box Kota Damansara merupakan outlet ketujuh yang dibuka oleh Nasim pada tahun 2012 selepas pelancaran Peugeot Balakong 2S, Peugeot Pulau Pinang, Peugeot Blue Box Seremban, Peugeot Blue Box Glenmarie, Peugeot Blue Box Chan Sow Lin dan Peugeot Blue Box Kota Bharu.

Pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) tersebut dimiliki serta dioperasi oleh GE Carriage Sdn. Bhd. (GE Carriage). GE Carriage telah melabur sebanyak RM3 juta ke atas kemudahan seluas 11,520 kaki persegi itu yang mempunyai lapan ruang servis dan mampu menyelenggara sehingga 24 buah kenderaan sehari.

Peugeot Blue Box Kota Damansara akan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Peugeot di Damansara, Sungai Buloh, Rawang dan Serendah.

“Lembah Kelang adalah pasaran utama kami yang merangkumi 53 peratus daripada jualan keseluruhan Peugeot di Malaysia. Justeru, kami akan terus melabur untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran ini. Pada tahun ini sahaja, kami telah melancarkan tiga pusat 3S dan dua pusat 2S baharu di Lembah Kelang untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat,” jelas Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George.

Secara keseluruhannya, terdapat sepuluh outlet jualan dan tujuh pusat servis Peugeot di Lembah Kelang. Kini sudah terdapat 22 outlet jualan dan 18 pusat servis Peugeot di seluruh negara.

Pada tahun ini, Nasim dan para pengedarnya telah melabur sebanyak RM30 juta untuk mengukuhkan rangkaian Peugeot di Malaysia.

“Pada tahun 2013, pengembangan rangkaian akan diteruskan. Kami merancang untuk membuka 12 outlet baharu di Kuala Terengganu, Ampang, Taiping, Jalan Klang lama, Pulau Pinang, Alor Setar dan Batu Pahat,” tambah Samson.

Jualan Peugeot di Malaysia pada tahun ini telah mencapai satu rekod baharu dengan lebih 6,000 unit berjaya dijual  sehingga 30 November 2012. Ini sekali gus melepasi jumlah jualan sebanyak 5,400 unit pada tahun 2011. Model paling laris Peugeot ialah 207, diikuti oleh 508, 308 dan 408.

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button