Artikel Pilihan

NHTSA PENING – AIRBAG PALSU DIJUAL DAN ADA KES KEMATIAN

Siasatan NHTSA kini memberi tumpuan kepada komponen beg udara (airbag) yang dijual sebagai alat ganti (aftermarket) yang berpotensi membawa maut, selepas beberapa kemalangan mendedahkan kegagalan serius.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) telah membuka siasatan berikutan tujuh insiden yang dikaitkan dengan pengembung (inflator) rosak, 5 daripadanya mengakibatkan kematian. Isu ini mendapat amaran keras daripada Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy yang menyifatkan peranti tersebut sebagai “berbahaya.”

Komponen yang sedang disiasat dipercayai datang daripada Jilin Province Detiannuo Safety Technology, lebih dikenali sebagai DTN Airbag. Penyiasat mendakwa pengembung keluaran syarikat itu mengandungi bahan kimia tidak stabil yang boleh menyala ketika digunakan, menyebabkan beg udara mengembang secara ganas dan tidak terkawal.

Menurut The Wall Street Journal (WSJ), yang pertama melaporkan tentang siasatan ini, NHTSA telah mengaitkan DTN dengan tujuh insiden dan lima kematian melibatkan pengembung beg udara. Salah satu kematian itu berlaku seawal Julai lalu. Difahamkan banyak bengkel dan pemasang kenderaan telah mengimport pengembung beg udara dengan murah ini dari luar negara.

WSJ turut melaporkan bahawa produk DTN adalah tiruan yang meniru hampir sepenuhnya komponen asli, tetapi dijual pada harga yang jauh lebih murah, iaitu satu per sepuluh daripada harga sebenar.

“Produk tiruan ini sering dibuat menggunakan bahan berkualiti rendah dan lebih mudah gagal kerana ia hanya meniru kejuruteraan yang digunakan pada komponen asli,” kata Bob Stewart, presiden Automotive Anti-Counterfeiting Council dan pengurus perlindungan jenama global di General Motors, kepada WSJ.

Isu ini mula mendapat perhatian umum di AS apabila keluarga Destiny Byassee, seorang wanita berusia 22 tahun, memfailkan saman di Florida. Ibu muda itu terbunuh dalam kemalangan ketika memandu pada kelajuan hanya 30 mph (48 km/j) dengan kereta Chevrolet Malibu 2020. Penyiasat mendakwa sebuah inflator tiruan DTN telah dipasang, dan ia meletup “seperti bom tangan,” menghentam leher mangsa dengan serpihan logam dan plastik tajam.

“Pesanan saya kepada industri membaiki kereta jelas, sesiapa yang membawa masuk peralatan tiruan dari China ini dan memasangnya, mereka sedang membahayakan keluarga Amerika dan melakukan jenayah serius,” kata Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy baru-baru ini.

Beliau menggesa bengkel serta pengedar supaya lebih berwaspada, menekankan bahawa inflator DTN menimbulkan risiko langsung kepada keselamatan awam.

Setakat ini, belum diketahui berapa banyak kenderaan di AS yang mungkin telah dipasang dengan inflator beg udara tiruan keluaran DTN. Syarikat itu pula menegaskan produknya dilarang dijual di AS dan menafikan menjalankan perniagaan di negara tersebut.

Google ads
Back to top button