
NISSAN NOTE 2024 TAMPIL DENGAN WAJAH BAHARU! 1.2L E-POWER, DARIPADA RM73 RIBU
Gaya V-Motion semakin berkembang selepas Nissan memperkenalkan Note generasi ketiga dengan rupa baharu dan mula diedarkan di Jepun pada Januari 2024.
Note generasi ketiga dikeluarkan sejak Disember 2020 dan tidak seperti model lain ditawarkan dalam pilihan tunggal nadi e-Power.
e-Power menggabungkan enjin 1.2 liter dan motor elektrik EM47 di mana enjin hanya berfungsi sebagai pembekal tenaga elektrik dan bukan penggerak roda. Tugas memacu roda dijalankan oleh motor elektrik.
Ciri baharu pada Note terserlah pada bahagian depan dengan jeriji V-Motion yang membawakan sejumlah garisan melintang sehingga menjangkaui bampar dan nampak lebih sibuk.
Reka bentuk penutup rim juga menonjol dan seperti kembali ke era 80-an dengan rekaan bergaris dan menutup terus nat.
Rekaan itu dibuat mengikut corak geometrik tradisional Jepun dan menimbulkan gaya tiga dimensi dan aura kemodenan Jepun.
Bampar belakang membawa corak garis tidak simetri yang diserasikan dengan landskap negara matahari terbit itu.
Tema garisan diteruskan pada bahagian dalam dengan corak mizuhiki pada papan pemuka dan jaluran pada balutan kerusi. Idea dan falsafah di sebalik rekaan Note 2024 memang menarik.
Terdapat 14 warna badan yang ditawarkan Nissan termasuk dua warna dua tona baharu iaitu Violet dan Turquoise.
Dari segi kelengkapan, semua varian mempunyai lampu depan LED dan kapasiti kotak papan pemuka kini lebih luas. Ruang simpanan dua tingkat membolehkan barang besar disusun kemas.
Kunci Pintar mempunyai fungsi buka kunci automatik apabila pemandu menghampiri kereta dan sebaliknya apabila bergerak meninggalkan kereta.
Selain varian yang ditawarkan, pelanggan juga boleh memilih Note dengan kerusi penumpang depan boleh pusing.
Kerusi itu memudahkan penumpang tanpa perlu menggerakkan atau membuka kaki dengan luas. Fungsi tersebut dapat membantu penumpang dengan kaki yang lemah.
Seperti yang dinyatakan, Note digerakkan enjin 1.2 liter HR12DE-EM47 untuk pacuan roda depan dan motor elektrik MM48 bagi pacuan empat roda.
Berikut varian dan harga Nissan Note 2024:
- Note 2WD MM48 X: 2,299,000 yen (RM73,592)
- Note 2WD EM47-MM48 X Four: 2,580,600 yen (RM82,596)
Nissan Note dengan kerusi berpusing
- Note 2WD MM48 X: 2,409,000 yen (RM77,107)
- Note 2WD EM47-MM48 X: 2,690,600 yen (RM86,121)
Kredit gambar: Nissan
- BACA: NISSAN PROJECT RUGGED ROGUE, SUV SERBA BOLEH!
- BACA: NISSAN DAYZ 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM45 RIBU
- BACA: NISSAN SKYLINE NISMO DAN SKYLINE NISMO LIMITED DILANCAR DI JEPUN, INGATKAN SEJARAH HEBAT SKYLINE!
- BACA: NISSAN FAIRLADY Z NISMO 2024 DILANCAR DI JEPUN, TIADA MANUAL, RM290 RIBU!
- BACA: NISSAN ROOX 2023, GRIL V-MOTION BAHARU, RM54 RIBU HINGGA RM81 RIBU!
- BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!



































