Pandu Uji

HONDA WR-V RS, BERBALOI KE BAYAR RM 108K?

WRV merupakan singkatan kepada Winsome Roundabout Vehicle, dan carian di laman sesawang Google mendapati perkataan Winsome membawa maksud Attractive ataupun menarik. Dari segi saiz WR-V adalah sebuah crossover dalam segmen A dimana buat masa ini lawannya ialah Perodua Ativa sahaja.

Honda memutuskan untuk menghentikan jualan model BR-V 7 tempat duduk disebabkan persaingan yang semakin sengit dan menggantikannya dengan WR-V. Tapi WR-V bukanlah model baru, ia adalah generasi kedua kerana generasi pertama dilahirkan pada tahun 2017 untuk pasaran Thailand.

Honda WR-V menggunakan cesi yang sama dengan Honda Amaze yang dijual di pasaran Thailand dan tidak pernah dibawa masuk ke pasaran negara. Buat masa ini Honda menawarkan 3 crossover dalam pasaran mereka iaitu WR-V, HR-V dan juga CR-V.

Dari segi saiz, Honda WR-V datang dengan panjang 4060mm dan lebar 1780mm dengan menggunakan platform yang sama digunakan oleh Honda Amaze dan Honda BR-V generasi ke 2. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2485mm, lebih pendek berbanding dengan Ativa dengan 2525mm

Untuk menaikkan imej sebagai crossover, WR-V mengenakan kit biasa iaitu penutup plastik pada perumah tayar, jarak kelegaan dengan permukaan jalan dinaikkan kepada 207mm serta dipasang dengan kemasan seakan pelindung enjin pada bahagian bawah bampar depan

Unit ujian kami datang dengan varian Road Sailing atau singkatannya RS. Jadi selain diberikan logo RS merah, WR-V RS turut menerima jeriji depan dengan floating grille diamond dan rim 17 inci kemasan 2 tona.

WR-V juga menerima lampu LED DRL terbina dalam serta tombol pintu belakang dengan rekaan sama HR-V. Lampu belakang pula seakan meniru rekaan lampu belakang Honda Civic. Kalau dibandingkan dengan HR-V yang bergaya, WR-V nampak lebih kecil dan lebih sporti.

Berikut ialah pemerhatian bagi kemasan dalaman dan juga pengalaman pemanduan Honda WR-V:

1. Secara asasnya rekaan papan pemuka adalah hampir sama dengan rekaan Honda BR-V iaitu ringkas dan nampak agak kosong. Tapi semua ciri moden yang diperlukan telah disediakan serta menawarkan kualiti pemasangan yang tinggi

Bagi varian RS, tema yang digunakan ialah warna hitam dengan benang yang berwarna merah untuk tombol gear, balutan kusyen, roda stering, kemasan papan pemuka serta kemasan pada panel pintu

2. Honda WR-V turut menawarkan ciri paddle shifter untuk penukaran gear 7 kelajuan maya untuk unit CVT, sambungan Apple Car Play, Android Auto, skrin 7 inci untuk sistem multimedia, skrin 4.2 inci untuk meter dan kawalan penyaman udara digital dan juga 2 poin USB

Saiz kabin di belakang tidak jauh berbeza dengan Perodua Ativa namun terasa agak ringkas dan hanya menawarkan ciri asas seperti soket kuasa elektrik 12 Volt, perehat tangan, kusyen boleh dilipat 60:40, ruang kargo 380 liter dan juga tayar simpanan bersaiz penuh

3. Satu – satunya persamaan yang ada pada model WR-V dengan City ialah penggunaan enjin 4 silinder yang sama. Enjin L15ZF DOHC i-VTEC 1500cc ini menjana sekitar 119 kuasa kuda dan 145Nm tork sebenarnya jauh dari cukup untuk membawa WR-V yang seberat 1145kg ini pada halaju maksima 160km/jam

Honda memberikan penggunaan petrol adalah sekitar 16.6km/liter, namun ujian pemanduan sebenar di atas jalan raya memberikan bacaan sekitar 15.5km per liter. Sekiranya anda menekan pedal dengan agresif, setangki petrol memberikan jarak perjalanan sejauh 470km

Namun sekiranya anda memandu dengan berhemah, mungkin anda boleh mendapat sehingga 600km. Pada kebanyakan masa, enjin ini “terasa sangat selesa dan malas” pada kelajuan 120-130km/jam. Jika anda perlu memandu dengan agresif, gunakan saja paddle shifter yang disediakan

4. Walaupun menggunakan brek dram di roda belakang, namun kualiti brek dan kuasa membrek adalah mencukupi. WR-V juga hanya diberikan brek tangan yang biasa bukannya brek parkir elektrik.

5. Sebuah crossover kompak dengan jarak antara roda yang pendek dan tidak lebar bukanlah sebuah jentera yang sesuai untuk anda melayan selekoh. Tapi WR-V membuktikan pengendalian dan kawalan cesi yang ditawarkan adalah jauh lebih bagus berbanding dengan pesaingnya

Ia kekal stabil di selekoh dengan weight transfer berlaku secara neutral serta respon cesi terhadap input stering juga adalah pantas dan meyakinkan. Pada masa yang sama, WR-V turut menawarkan keselesaan yang bagus dan seimbang untuk pemandu dan penumpang.

Secara jujurnya, dinamik pengendalian dan kualiti keselesaan sistem suspensi yang ditawarkan oleh WR-V melebihi jangkaan awal penulis.

6. Satu perkara lagi ialah Honda telah menaiktaraf NVH pada Honda WR-V, malah jauh lebih senyap jika dibandingkan dengan Honda City Hatchback. Pada kelajuan 110km/jam, kadar kebisingan adalah sekitar 68dB hasil pemasangan beberapa bahan kedap bunyi di perumah tayar. Cuma sayangnya kusyen depan dan belakang terasa sedikit pendek berbanding biasa

7. Dalam aspek keselamatan, varian RS ditawarkan dengan 6 beg udara serta pakej Honda Sensing yang merangkumi amaran pra-perlanggaran, brek kecemasan automatik, amaran lintasan lorong, sistem pengekalan lorong, sistem pemanduan automatik adaptif, Lead Car Notification Departure dan Auto High Beam

Penulis juga mendapati ciri Auto High Beam yang digunakan pada WR-V adalah lebih sensitif dengan menukar ke lampu tinggi atau rendah dengan cepat berbanding dengan HR-V. Turut disediakan ialah kamera pandang belakang yang membolehkan WR-V diparkir dengan mudah untuk pemandu wanita

Bagi mengingatkan pemandu yang memiliki anak kecil atau bayi, WR-V turut memberi amaran untuk mengambil penumpang belakang (rear seat reminder). Pintu WR-V pula akan terkunci dengan sendiri sekiranya ia mengesan kunci telah berada melebihi 1.5 meter dari kenderaan

Honda WR-V ditawarkan dengan harga permulaan RM 90,000 bagi varian terendah dan bagi varian RS yang lengkap dengan ciri Honda Connect pula ditawarkan dengan harga sekitar RM 108,000. Kalau diikutkan, harga Honda WR-V adalah lebih mahal berbanding dengan Perodua Ativa

Tapi penulis mendapati WR-V tetap menjadi pilihan untuk kebanyakan pemandu wanita yang mahukan sebuah crossover yang bergaya dengan jenama daripada Jepun yang lebih premium. Mungkin juga ia sebuah crossover yang sesuai untuk anak anda atau isteri anda ke tempat kerja sebagai kenderaan kedua.

Google ads
Back to top button