
NISSAN DAYZ 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM45 RIBU
Pada Mac lalu Nissan memperkenalkan ROOX dan ROOX Highway Star dengan beberapa perubahan untuk model 2023.
ROOX dibangunkan Nissan di bawah pengurusan syarikat NMKV, satu usaha sama di antara Nissan dan Mitsubishi Motors. Model Mitsubishi dikenali sebagai eK Space, eK X Space dan Delica Mini.
Ada sepasang lagi projek NMKV iaitu Nissan DAYZ dan Mitsubishi eK Wagon. Selepas ROOX kini tiba giliran DAYZ yang dipertingkatkan diperkenal di Jepun dan bakal diedar menjelang hujung 2023.
Kedua-dua DAYZ dan DAYZ Highway Star menggunakan jeriji V-Motion baharu. DAYZ Highway Star tampil menonjol dengan riasan krom dan palang melintang dan garang seperti ROOX Highway Star.
Bahagian belakang juga menggunakan tema melintang dan varian ini turut menerima rim 14 inci baharu.
DAYZ X dan S pula tampil mesra dalam bentuk senyuman dengan jeriji V-Motion dan lampu depan disatukan.
Dalaman DAYZ Highway Star dibalut bahan seperti kulit dan meriah dengan riasan warna berlawanan pada liang balutan yang bercorak dan sulaman pada kerusi dan papan pemuka.
Satu lagi yang diubah ruang simpanan papan pemuka bahagian penumpang penumpang dibuat lebih dalam supaya mudah untuk menyimpan barangan kecil dan menghalang daripada terjatuh.
Nissan turut menambah slot kad baharu dan sekatan pada pemegang cawan supaya tidak terbalik dan isiannya tumpah.
Dari segi keselamatan, DAYZ dilengkapi Amaran Titik Buta (BSW) dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) sebagai ciri asas selain beberapa fungsi sedia ada teknologi bantuan pemanduan ProPilot.
Nissan juga telah menambah baik Fungsi Pembrekan Kecemasan Pintar. Lampu depan LED yang sebelum ini dijadikan ciri asas siri Highway Star ditawarkan sebagai pilihan untuk varian X.
Untuk pelanggan yang mahukan versi lebih istimewa, Nissan menawarkan DAYZ Highway Star Urban Chrome dengan jeriji depan dan pendakap belakang krom gelap, cermin sisi perak dan grafik khas.
Rim aluminium juga istimewa dengan saiz 15 inci dan bilah corak tajam dan secara keseluruhannya penampilan luar varian ini nampak mewah dan garang.
Bahagian dalam dibalut bahan sentuh lembut, kerusi kalis air, stereng balutan kulit asli dengan sulaman kelabu lembut dan papan pemuka yang dibalut bahan seperti kulit.
Sebuah lagi varian istimewa ialah DAYZ Bolero dengan gayaan unik dan comel. Rim dibuat dalam warna putih dengan corak seperti rim rali. Bahagian dalam juga comel dengan kombinasi dua warna.
DAYZ digerakkan dua pilihan enjin iaitu 660cc turbo dan tanpa turbo. Nissan juga menawarkan versi mild-hybrid dan pilihan pacuan dua atau empat roda. Kesemua enjin dipadan bersama transmisi Xtronic CVT.
Nissan DAYZ ditawarkan pada harga serendah 1,437,700 yen (RM) bagi varian S 2WD (tanpa turbo).
Varian paling premium iaitu Highway Star Urban Chrome Pro Pilot Edition (turbo mild hybrid) 4WD berharga 2,157,100 yen (RM67,787).
Kredit foto: Nissan
- BACA: NISSAN 20-23 CONCEPT, BAYANGAN NISSAN MICRA EV?
- BACA: NISSAN SKYLINE NISMO DAN SKYLINE NISMO LIMITED DILANCAR DI JEPUN, INGATKAN SEJARAH HEBAT SKYLINE!
- BACA: NISSAN FAIRLADY Z NISMO 2024 DILANCAR DI JEPUN, TIADA MANUAL, RM290 RIBU!
- BACA: NISSAN ROOX 2023, GRIL V-MOTION BAHARU, RM54 RIBU HINGGA RM81 RIBU!
- BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!















