
CATERHAM SEVEN 620R
Pembuat kereta sports dari Britain, Caterham Cars dilapor bakal melancarkan model Seven paling ekstrem pada acara Goodwood Festival of Speed yang berlangsung pada hujung minggu ini.
Sempena meraikan 40 tahun membangunkan model ikonik Seven, Caterham telah mencipta semula model tersebut menerusi varian Seven 620R. Ia dikatakan menetapkan satu penanda aras baru dari segi prestasi.
Seven 620R menggunakan khidmat enjin bersesaran 2.0 liter Ford Duratec dengan kuasa 310bhp yang telah dijuruterakan semula. Prestasinya? Jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh cuma 2.8 saat!
Menggantikan Superlight R500, model ini mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 249 km/j. Pemandu pasukan Caterham F1, Charles Pic dan Alexander Rossi.akan memandu Seven 620R pada acara Festival of Speed nanti.
“Seven 620R ialah produksi Seven yang paling hardcore untuk dipandu di atas jalan raya,” kata Ketua Pegawai Ekekutif Caterham Cars, Graham Macdonald.
Sama seperti semua model Seven yang lain, jentera ini menawarkan keseronokan pemanduan dalam pakej tradisional Caterham iaitu minimalis, ringan dan kejuruteraan terbaik.
Antara penambahbaikan yang diaplikasikan ke atas Seven 620R adalah penggunaan chasis gunmetal unik dan pakej penyejukan yang dibangunkan daripada teknologi perlumbaan.









