Buletin

OMODA C9 PHEV RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM208K

OMODA C9 PHEV akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia, muncul sebagai model paling berkuasa pernah dibawa masuk oleh OMODA | JAECOO setakat ini.

Apa yang menarik, ia bukan sekadar SUV hibrid biasa tetapi tampil dengan konfigurasi tiga motor (tri-motor), sesuatu yang jarang dilihat dalam segmennya.

Di bawah bonet, C9 PHEV menggunakan enjin 1.5 liter turbo bersama sistem hibrid dikenali sebagai Super Hybrid System (SHS).

Enjin empat silinder ini menghasilkan 143PS dan 215Nm, namun angka sebenar datang daripada gabungan tiga motor elektrik — dua di hadapan dan satu di belakang.

Keseluruhannya, sistem ini menjana sehingga 537PS dan 650Nm, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam sekitar 4.9 saat.

Dua motor di gandar hadapan bertanggungjawab untuk pemanduan harian, manakala motor belakang akan diaktifkan secara automatik apabila diperlukan, menjadikan sistem pacuan semua roda (AWD) ini pintar dan responsif.

Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi hibrid khusus 3-kelajuan (DHT), yang direka untuk memastikan peralihan antara enjin dan motor elektrik berlaku dengan lancar.

Dari sudut kecekapan, angka yang dikongsikan juga agak mengagumkan. Penggunaan bahan api serendah 1.4 liter/100km (NEDC), dengan jarak pemanduan keseluruhan sehingga sekitar 1,100km.

Bateri LFP berkapasiti 34.46kWh pula membolehkan jarak elektrik sepenuhnya sehingga 169km. Pengecasan pantas DC 70 kW membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam kira-kira 25 minit.

Masuk ke bahagian casis, C9 PHEV menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, digandingkan dengan sistem Continuous Damping Control (CDC).  Sistem ini boleh melaras tahap serapan hentakan sehingga 100 kali sesaat, dengan pilihan mod Soft, Medium dan Hard — atau automatik bergantung kepada keadaan jalan.

Reka bentuk luaran pula menampilkan siluet coupe SUV yang moden dan agresif, selari dengan imej flagship model ini.

Di dalam, kabin tampil premium dengan kemasan kulit, ruang luas serta ciri seperti tempat duduk berpengudaraan dan pemanas, termasuk untuk penumpang belakang — sesuatu yang jarang ditawarkan dalam kelas ini.

Dari segi teknologi, terdapat paparan berkembar 12.3-inci untuk instrumen dan infotainmen, sokongan Android Auto, kawalan suara “Hello OMODA”, serta sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara. Turut melengkapkan pakej ialah head-up display dan bumbung panoramik.

Ciri keselamatan juga lengkap dengan sistem bantuan pemandu Tahap 2.5 (ADAS), merangkumi fungsi seperti AEB, ACC, bantuan kekal lorong, amaran titik buta dan pelbagai lagi, selain kamera 540 darjah untuk pandangan sekeliling.

Diposisikan sebagai model CKD di Shah Alam, harga bagi varian AWD bermula dari RM208,800 (atas jalan tanpa insurans).

Waranti turut komprehensif — 7 tahun atau 200,000 km untuk kenderaan, manakala komponen hibrid dan bateri dilindungi sehingga 10 tahun.

Sempena pelancaran ini, OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan Pakej Pelancaran Istimewa bagi pelanggan yang membuat tempahan OMODA C9 PHEV dari 18 Mac hingga 30 April 2026.

Sebagai sebahagian daripada pakej ini, pelanggan akan menerima rebat Duit Raya sebanyak RM3,000, bersama kabel penyambung Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM730, yang membolehkan kenderaan membekalkan kuasa kepada peranti luaran apabila diperlukan.

GALERI:

Google ads
Back to top button