
OPEL FRONTERA BAHARU. LAGENDA SUV OPEL KINI SUDAH KEMBALI
Lama dahulu di era 90an, kelibat SUV perkasa, Opel Frontera memang mudah untuk dilihat dijalanraya kita. Tetapi disebabkan faktor pengambilalihan pengeluar dari Jerman itu yang pernah berada di bawah naungan GM dan PSA Group yang menyebabkan plat nama Frontera ini turut tenggelam. Dan kini, Opel sekali lagi berada di bawah naungan Stellantis sementelah penggabungan diantara Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan juga PSA Group.
Dan sudah sampai masanya untuk lagenda Opel Frontera ini kembali dihidupkan dengan penghasilan reka bentuk yang lebih moden dan segar. Pada bahagian siluet hadapan menampilkan Opel memperkenalkan fascia hadapan reka bentuk pengenalan baharu untuk keseluruhan barisan modelnya kelak. Paling ketara sudah tentulah pengenalan logo baharu Opel Blitz yang telah diperkenalkan semenjak dari tahun 2023 lagi.

Terdapat lampu DRL berbentuk L serta rekaan bampar baharu yang cukup elegan. Dan walau pun terdapat saluran udara yang agak sempit, namun ianya masih memadai untuk memberikan laluan angin terus masuk ke ruangan enjin bagi tujuan penyejukkan. Di bawah bampar, Opel meletakkan apron hitam tanpa cat yang menyerupai apron dari generasi kedua Frontera serta terdapat juga corong udara di bahagian kiri dan kanan bampar.

Berbanding model sebelumnya, Opel Frontera generasi baharu ini kelihatan lebih kompak tetapi selesa untuk membawa lima penumpang tanpa masalah. Penggunaan dwi tona warna dengan warna hitam di bahagian bumbung membuatkan penampilan luarannya lebih menarik.
Tetapi, jika anda peminat SUV rugged, mungkin sedikit kecewa apabila tayar simpanan yang menjadi tanda pengenalan di bahagian belakang tidak lagi digunakan untuk Frontera ini. Dengan itu, membuatkan Frontera ini lebih layak berada di parkir pusat membeli belah berbanding di tapak perkhemahan pinggir hutan.

Pada bahagian kabin, ianya menampilkan sepasang skrin bersaiz 10 inci, satu untuk paparan kluster meter dan satu lagi di bahagian tengah untuk sistem infohiburan lengkap dengan Apple Car Play dan juga Android Auto. Dengan ruang kargo seluas 460 liter secara standard namun boleh berubah kepada 1,600 liter sekiranya semua tempat duduk di kerusi belakang dilipat,.
Dengan Opel Frontera ini dibina dengan berkongsi pelantar yang sama model Citroen C3, ianya akan ditawarkan pilihan varian hibrid bersama enjin 1.2 liter turbo atau pun varian EV sepenuhnya dengan keupayaan bergerak sehingga 300 km. Dengan julat harga permulaan €24,000 (RM121,916), Opel boleh mengharapkan peminat baharu jenama lagenda ini untuk membeli Frontera pula.
BACA : OPEL ASTRA SPORT TOURER – WAGON ELEKTRIK KOMPAK MAMPU MILIK SUDAH BOLEH DITEMPAH

