,
Pandu Uji

PANDU UJI HYUNDAI ELANTRA: SEDAN CITARASA KPOP

Apabila kita berbicara berkenaan sedan segmen C, perkara pertama yang terbayang dalam kepala ialah Honda Civic dan juga Toyota Altis. Maka tidak hairanlah kawasan kejiranan dan juga lot parking di pusat beli belah dipenuhi dengan kedua dua model tersebut. Sesekali akan terselit juga jenama lain seperti Mazda 3, Nissan Sylphy, Kia K3 dan juga Hyundai Elantra. Elantra bukanlah satu model yang asing bagi pengguna di Malaysia kerana satu ketika dulu dengan pemasaran agresif dan juga spesifikasi yang memalukan jenama Jepun, ia menawarkan satu pilihan alternatif yang sangat bagus bagi segmen C.

Bak kata Mat Saleh “best bang for your bucks” iaitu alah membeli menang memakai. Sebagai contoh model generasi ketiga Elantra XD yang dilancarkan pada tahun 2001 menawarkan spesifikasi yang boleh tahan banyak dengan harga bersamaan sebuah sedan segmen B dari jenama Jepun. Kali ini kami berpeluang memandu uji Elantra generasi ke enam dengan kod Elantra AD model versi  naik taraf 2019.

Spesifikasi

ModelElantra 2.0 Executive
HargaRM109,888
EnjinNU 2000cc MultiPoint Port Injection
Transmisi6 Kelajuan Automatik
Suspensi DepanTopang McPherson
Suspensi BelakangTorsion Beam
Ruang Kargo458 liter
Saiz Tayar225/45 R17
Ciri Keselamatan6 Beg Udara SRS
Kawalan Kestabilan Elektronik ESC
Brek Anti Terkunci ABS
Bantuan Mula Mendaki HAC
Sistem Bantuan Brek BA
Pengurusan Kestabilan Kenderaan VSM

Rekabentuk

Untuk model yang telah naik taraf ini, Elantra AD ini telah mengalami perubahan rekabentuk pada bahagian depan, lampu projektor depan, rekabentuk bahagian belakang dan juga lampu posisi belakang. Rekaan lampu depan yang bujur digantikan dengan rekaan lampu segitiga, lampu isyarat membelok diletakkan di bahagian bampar (hmmm) dan rekaan grill telah digantikan dengan rekaan tunggal yang menggabungkan “lower air intake” dan “upper air intake”. Pada pendapat penulis adalah lebih manis jika kedua dua ciri tersebut dipisahkan kerana ia mengingatkan penulis pada Lord Voldemort dengan rekaan terbaru ini.

Namun rekaan belakangnya adalah lebih baik, bertenaga dan mempunyai karisma berbanding rekaan depan. Lampu posisi dan lampu brek direka dengan unsur “Zig-Zag” namun masih mengekalkan mentol biasa berbanding menggunakan LED. Namun secara keseluruhan integrasi rekaan lampu, spoiler terbina rekaan “ducktail” dan lampu kabus pada bahagian bampar belakang memberikan imej matang pada Elantra. Jauh lebih baik berbanding rekaan sepit ketam. Malah Hyundai juga dengan bijak memberikan butang yang perlu ditekan pada logo Hyundai untuk membuka pintu bonet memberikan rekaan yang lebih kemas.

Namun sayang Elantra ini tidak ditawarkan dengan lampu kabus depan dan lampunya masih mengekalkan lampu halogen dengan projektor. Berbanding dengan model yang dijual di luar negara, ia datang dengan lampu teknologi LED yang lebih terang dan menjimatkan tenaga. Lampu Day Time Running Light hadir dengan rekabentuk segitiga dan ia terbina secara dalaman (built in) pada lampu hadapan.

Pandangan sisi Elantra juga tampak kemas dengan rekaan bumbung dibentuk dengan melarus dan berkahir di bahagian belakang penutup ruang kargo dan diakhiri dengan spoiler ekor itik (ducktail design). Terdapat 2 garisan yang menganjur terus dari perumah tayar dan berakhir di lampu posisi belakang sekaligus membentuk “shoulder line” yang tegap. Rekaan rim sport berjejari 5 bilah berkembar dan kemasan warna kelabu gelap memberikan imej sporti eksekutif pada Elantra.

Secara keseluruhan Elantra ini memiliki panjang 4570mm, lebar 1800mm, dan tinggi 1440mm. Jarak antara roda yang menentukan ruang kabin penumpang adalah setara dengan pesaingnya dalam segmen C iaitu 2700mm.

Rekaan Ruang Kabin

1. Kusyen Elantra dibalut dengan kulit berwarna hitam sepadan dengan warna kemasan pintu dan juga papan pemuka. Pujian harus diberikan pada rekaan kusyen ini kerana ia menawarkan rekaan serta kontur yang amat baik tanpa perlu bersusah payah membetulkan ketinggian dan sudut penyandar. Ia merupakan satu-satunya kereta yang pernah dipandu penulis tanpa membuat sebarang pembetulan pada tetapan kusyen.

Sokongan pada bahagian tepi hadir pada bahagian rusuk dan juga peha. Ruang bahu pula amat selesa dan tidak menyebabkan bahu penulis rasa tersepit selepas memandu selama empat jam tanpa henti.

2. Rekaan papan pemukanya masih lagi mengekalkan sifat konservatif dan terasa sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Tema warna hitam mendominasi papan pemuka dengan sedikit hiasan berwarna perak memisahkan papan pemuka pada bahagian atas dan bawah. Sudut paparan unit kawalan audio dan penyaman udara dihalakan sedikit pada pemandu menjadikan rekaan kiri dan kanan tidak begitu simetri.

Pilihan warna, material, corak pada permukaan plastik dan penggunaan plastik yang keras sedikit sebanyak tidak menyerlahkan kemewahan pada rekaan papan pemuka.

3. Unit kawalan udara pula hadir dengan konsep dial rotari iaitu ia harus dipusing  bagi memilih halaju kipas penyaman udara, menetapkan suhu dan memilih mode operasi penyaman udara. Ruang panel yang kosong antara unit kawalan udara dengan unit audio nampak sedikit ketara. Lebih baik jika ruang tersebut diisi dengan kawalan suhu digital agar ia nampak lebih moden dan kemas.

4. Terdapat 2 soket 12 volt yang disediakan di bawah unit kawalan penyaman udara dan satu sambungan USB yang boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar atau digunakan untuk mengakses simpanan memori data USB untuk memainkan lagi. Satu lagi pengecas USB berada di dalam ruang simpanan perehat tangan di bahagian tengah.

5. Gear pula disusun secara tegak dengan pilihan mode manual yang boleh diakses pada kedudukan D. Tarik saja tombol gear ke arah kanan dan anda boleh mengawal enam kelajuan mengikut kemahuan anda, namun seperti biasa terdapat sistem elektronik yang akan menghalang anda dari menukar gear sesedap rasa sehingga merosakkan sistem gear.

6. Terdapat 4 pilihan mode pemanduan yang disediakan oleh Hyundai bergantung pada mood dan kehendak pemanduan. 3 mode utama ialah ECO, Normal dan juga Sport. Terdapat satu lagi mode yang dinamakan SMART mode menjadikan 4 mode pemanduan pada Elantra ini.

7. Bagi memastikan Elantra relevan dengan arus teknologi, unit audio datang dengan teknologi Apple Car Play dan juga Android Auto. Malah sambungan bluetooth turut disediakan bagi memudahkan pemandu menjawab panggilan telefon semasa memandu. Saman jika menggunakan telefon pintar semasa memandu boleh tahan mahal ye.

8. Unit kamera undur belakang dipasang dengan kemas dibawah spoiler “duck tail” menghasilkan imej yang terang pada waktu siang dan juga malam. Namun ia masih dibawah standard kualiti kamera Proton X70

9. Kelebihan sedan segmen C termasuklah ruang kaki yang jauh lebih luas berbanding sedan segmen B. Anda memang perlukan ruang tersebut jika memandu jarak jauh dan memasang kerusi bayi pada tempat duduk belakang. Terdapat dua poin ISOFIX yang disediakan pada tempat duduk belakang bagi memudahkan pemasangan tempat duduk bayi. Sangat penting jika isteri anda melahirkan anak kembar.

10. Ruang kargo yang ditawarkan adalah 458 liter agak kecil sedikit berbanding dengan pesaingnya yang lain. Jika anda memerlukan lebih banyak ruang, penyandar kusyen belakang boleh dilipat pada ratio 60:40 bagi membenarkan anda membawa muatan yang panjang.

Sistem Keselamatan

11. Elantra datang dengan pakej sistem keselamatan brek anti terkunci ABS, kawalan kestabilan ESC, sistem mula mendaki HAC, dan juga Vehicle Stability Management VSM. VSM adalah satu teknologi yang akan mengkoordinasi semua sistem keselamatan ABS, ESC, BA, dan EDB serta sistem stering elektrik agar kawalan kereta dikekalkan pada setiap masa tanpa mengira keadaan jalan.

12. Namun sama dengan pesaingnya yang lain seperti Civic dan Altis, model ini juga tidak menyediakan ciri keselamatan terkini seperti Brek Kecemasan Automatik AEB, sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Belakang dan juga Lane Departure Warning System. Honda, Toyota dan Hyundai perlu lakukan sesuatu kerana Toyota Vios sudah menawarkan ciri tersebut.

13. Walaubagaimanpun Elantra menawarkan Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS) yang akan memantau tekanan semua tayar ketika pemanduan. Maklumat tersebut akan dipaparkan pada paparan meter Multi Info Display.

14. Ujian kemalangan dan keselamatan Australian NCAP memberi penarafan keselamatan 5 bintang pada Elantra pada tahun 2016 dengan markah pematuhan 35.01 dari 37 markah.

Pengalaman Pemanduan Hyundai Elantra

15. Paparan meter Elantra datang dengan rekaan warna putih dengan tema analog iaitu meter pada bahagian kiri memaparkan bacaan RPM manakala meter kanan memaparkan halaju semasa. Panel LCD memaparkan pelbagai maklumat tambahan seperti baki petrol, jarak perjalanan, kedudukan gear, mode pemanduan dan juga purata penggunaan petrol semasa.

16. Roda stering Elantra sedikit besar daripada model Jepun persis kereta buatan negara Eropah. Ia sedap digenggam tambahan pula stering ini dibalut dengan kulit. Unit kawalan audio diletakkan pada bahagian kiri roda stering manakala akses untuk malumat Multi Info Display diletakkan pada bahagian kanan.

17. Enjin 2000cc NU ini menghasilkan 150 kuasa kuda pada 6200 RPM dan 192Nm pada 4000 RPM. Ia cukup bertenaga untuk diajak beradu tenaga di lebuh raya ataupun sekadar memandu santai di laluan jalan kampung. Semua tenga dihantar pada roda depan dengan menggunakan transmisi 6 kelajuan. Jika dibandingkan dengan transmisi CVT ia menawarkan lebih rasa pemanduan pada halaju tinggi dan kelancaran penukaran gear pada halaju rendah.

18. Jika dahulu kereta Hyundai hanya menang di atas kertas sahaja dan prestasinya hambar ketika di jalanan, maka Elantra berjaya mengatasi stigma tersebut dengan enjin dan transmisi 6 kelajuan ini. Kebanyakan model lama buatan Korean menghadapi masalah kecekapan menghantar kuasa yang dihasilkan oleh enjin pada tayar. Kecekapan mekanikal sistem transmisinya kurang bagus dan tenaga mekanikal akan terbuang dalam sistem

19. Jika anda bercadang untuk menjimatkan bahan api, gunakan saja ECO mode yang disediakan. Normal mode pula menawarkan kuasa enjin dan penjimatan yang seimbang untuk pemanduan harian. Namun jika anda dicabar oleh pemandu generasi WeChat yang baru mendapat lesen di laluan lurus, tekan saja mode pemanduan Sport. Ia akan melepaskan segala kuasa yang terpendam, penukaran gear dibuat pada RPM yang lebih tinggi dan kawalan stering dikemaskan untuk kawalan yang lebih baik. Memang sangat terasa tork 190Nm bila pedal minyak ditekan sampai ke lantai

20. Namun sayang sedikit kerana kawalan cesi Elantra seperti pemain ragbi yang cuba belajar menari balet atau kuda kepang. Ia ditala supaya terasa sedikit keras dengan harapan ia mampu memberi kawalan yang baik ketika selekoh dan mengurangkan olengan cesi. Namun jika pedal minyak terus ditekan ketika selekoh, hasilnya olengan cesi tadi akan menghasilkan fenomena “understeer” walaupun pada halaju sekitar 80km/j

21. Ujian kestabilan pada halaju tinggi di laluan lurus juga membuktikan bahagian belakang cesi Elantra terasa seperti kurang meyakinkan. Ia memberikan gerakan menegak dan juga sedikit bergoyang pada bahagian sisi. Kedua dua pergerakan ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan untuk pemandu terus memandu pada kelajuan 180km/j. Namun untuk lebih realistik, pada halaju 140km/j Elantra memberikan pemanduan yang tenang dan bacaan RPM kekal pada 3000.

22. Penggunaan petrol untuk model ini mencatatkan purata sekitar 14.5km per liter petrol satu angka yang munasabah memandangkan pemanduan dibuat pada halaju sekitar 140km/j ketika memandu di lebuh raya, pemanduan menempuhi kesesakan jalan raya. Sekiranya pemanduan dibuat kelajuan kebangsaan maka penulis percaya ia mampu mencecah 15km bagi setiap liter petrol. Ketika pemandua dibuat pada halaju 120km/j, bacaan terendah yang diperolehi ialah sekitar 15.3km per liter petrol.

23. Ketika pemanduan penulis juga mendapati terdapat bunyi enjin, transmisi, getaran sistem suspensi meresap masuk dan sampai ke roda stering. Gabungan gangguan ini sedikit sebanyak menggangu ketenteraman pemandu, namun jika anda tidak ambil kisah dengan segala bunyi dan getaran tersebut maka ia hanya masalah kecil

24. Tayar spesifikasi standard yang dibekalkan merupakan Goodyear Efficient Grip. Cengkaman tayar ini ketika memandu dalam hujan renyai-renyai cukup menyakinkan dan penulis boleh memandu dengan tenang pada halaju 120km/j. Namun pada permukaan jalan yang tidak rata, bunyi tayar yang dihasilkan agak ketara dan boleh didengari di dalam kabin

Ciri-Ciri yang perlu ditambah baik

25. Pilihan untuk menggunakan sistem suspensi torsion beam untuk Elantra boleh dilakukan dengan syarat cesi perlu diperkukuhkan dan geometri suspensi perlu diubah. Namun lebih baik bagi Hyundai mengekalkan suspensi multilink pada bahagian belakang.

26. Ciri keselamatan aktif perlu ditambah memandangkan ciri ini sudahpun ditawarkan pada segmen B seperti Vios, Aruz, Myvi dan Toyota Rush. Kajian beberapa badan keselamatan antarabangsa mengesahkan ciri keselematan ini mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Sekurang kurangnya Elantra perlu datang dengan sistem pengawasan titik buta dan sistema amaran lintasan belakang.

27. Hyundai patut menawarkan pelbagai ciri tambahan bagi membolehkan bakal pembeli terpegun dengan tawaran yang diberikan berbanding dengan harga. Antara ciri yang patut ada ialah sistem adaptif kawalan pemanduan (Adaptive Cruise Control), lampu depan LED, pembesar suara yang lebih berkualiti dan kualiti plastik papan pemuka dari jenis lembut. Barulah bakal pembeli terpegun dan melupakan model dari jenama lain

Elantra : Abaikan / Pertimbangkan

Cara berfikir setiap setiap orang mungkin tidak akan sama dan lebih suka melawan arus dalam memilih kereta. Rekaan Elantra merupakan gabungan rekaan Continental dengan sedikit citarasa Korea dan pemanduannya kini lebih baik berbanding dengan model terdahulu. Mungkin Hyundai perlukan kombinasi baru untuk pengguna Malaysia yang sukakan kelajuan dan berswafoto di depan kamera AES. Tawarkan saja varian 1.6 turbo, transmisi 7 kelajuan klac berkembar, sistem suspensi multilink pada bahagian belakang dan pakejkan ia dengan Hyundai Smart Sense maka Elantra akan tampil lebih berani tanpa rasa “inferiority compelx”. Siapa setuju dengan saya boleh kemukakan pandangan anda di ruangan komen FB.

Google ads
Back to top button