Pandu Uji

PANDU UJI : JANGAN BELI PERSONA INI KALAU!!!

Proton Persona ada sejarah yang panjang dalam susur galur keluaran Proton. Pada mulanya nama tersebut digunakan sebagai nama untuk model Wira yang dijual di United Kingdom pada tahun 1993 dan sehinggalah tahun 2001. Nama Persona juga digunakan oleh Proton Wira yang dieksport ke Australia dari tahun 1996 sehinggalah 2004.

Nama Persona digunakan kembali bagi model sedan yang menggunakan platform Gen2 bermula dari tahun 2007 sebagai sedan segmen C. Pada masa tersebut model sedan respon yang tinggi berbanding model kompak. Pada tahun 2016 Persona BH6 dilancarkan dengan menggunakan platform Iriz dipasarkan dalam segmen B bagi memberi saingan pada model Vios, City, Almera, dan Mazda 2

Spesifikasi

ModelProton Persona 1.6 Premium CVT
HargaRM54,600
EnjinCampro VVT 1600cc DOHC
TransmisiCVT dengan klac
Suspensi DepanTopang McPherson dan Bar Penstabil
Suspensi BelakangTorsion Beam
Berat1193kg
Ruang Kargo510 Liter
Saiz Tayar185/55 R15
Ciri Keselamatan6 Beg Udara SRS
Kawalan Kestabilan Elektronik ESC
Brek Anti Terkunci ABS
Bantuan Mula Mendaki HAC
Sistem Bantuan Brek BA dan EBD
Lampu Depan Adaptif

Rekabentuk

Proton menggunakan strategi yang sama dalam membangun dan memasarkan Persona. Dalam bahasa mudah Persona adalah model Iriz sedan dengan bonet dikimpal pada bahagian belakang. Persona datang dengan panjang 4362mm, lebar 1722mm dan tinggi 1554mm. Persona lebih panjang 417mm berbanding dengan kembarnya Iriz namun berkongsi lebar dan tinggi yang sama.

Menggunakan cesi Iriz yang mempunyai jarak antara roda 2555mm jurutera dan pereka bentuk berhadapan dengan cabaran bagi memberikan bentuk yang sekata pada Persona. Oleh itu rekaannya pada bahagian belakang sedikit canggung bermula dari ruang tayar belakang, bonet dan juga penutup bonet. Ia menjadikan seolah olah tayar nampak kecil berbanding dengan saiz cesinya yang besar.

Bagi versi naik taraf ini, rekaan diffuser belakang yang serabut telah digantikan dengan rekaan yang lebih ringkas dihiasi dengan kemasan krom. Penutup bonet pula disulam dengan “boot lid” berwarna hitam dan nampak kena pada mata. Perkataan PROTON disusun secara besar seperti model Volvo. Antena ekor tebuan digantikan dengan antena rekaan sirip ikan yu

3 garisan kontur badan pada bahagian sisi masih lagi kekal agar rekaan tepi nampak lebih berseni. 2 garisan atas membentuk shoulder line yang tegap dan satu lagi garisan berada di permukaan pintu Kalau dibiarkan kosong ia akan nampak seperti kotak kasut Bata. Rim sport diberi rekaan baru 8 bilah yang nampak lebih bergaya menggantikan rim rekaan kipas.

Bahagian depan, grill kemasukan udara atas menerima rekaan Infinitive Weave dan juga krom tampak lebih bergaya dari Iriz. Lampu utama hadapan digantikan dengan lampu halogen dan reflektor berbanding lampu asal projektor. Sepasang lampu DRL pula dipasang pada bampar depan melengkapkan penampilan Persona agar kelihatan lebih moden. Misai Pok Doyok dicukur dan digantikan dengan kemasan plastik hitam berkilat merentangi dari kiri ke kanan bampar.

Secara keseluruhan Persona 2019 tampil lebih segak, lebih matang berbanding model asalnya dan lebih seimbang. Rekaan lama dengan rim kipas dan diffuser belakang nampak “try hard” sangat.

Apa yang menarik

1. Sudah tentu sistem audio dari X70 menjadi fokus utama kami. Unit ini lengkap dengan sistem capaian internet yang boleh mencari beribu ribu lagu lengkap dengan lirik. Sistem capaian 4G juga datang dengan ciri WiFi, sistem Navigasi dan juga sambungan USB. Prestasi sistem navigasinya lebih bagus berbanding dengan sistem navigasi X70.

Sebut saja “Hi Proton”, ia akan membantu anda membuat ramalan cuaca, mencari destinasi sistem navigasi, memainkan lagu dan juga radio. Sangat sesuai untuk lelaki dan wanita bujang yang selalu memandu jauh dan perlukan teman bercakap sewaktu memandu seorang diri. Kalau sunyi, anda boleh bergaduh dengan sistem ini. Baru la tak mengantuk kan

2. Paparan pemuka menggunakan tema 2 warna iaitu hitam dan juga krim lembut. Namun penulis kurang berkenan dengan hiasan jahitan palsu seperti janji untuk hapuskan GST. Lebih baik cari corak lain seperti corak kain batik atau kain pelikat. Kemasan krom pada butang rotari penyaman udara, corong penyaman udara dan juga deretan suis pada papan pemuka nampak lebih eksklusif dan kemas. Nampak benar Proton bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kabin yang kemas.

3. Kusyen pula menggunakan gabungan fabrik dan juga kulit. Nampak lebih moden dengan corak rekaan fabrik terbaru. Tapi kalau gunakan rekaan fabrik Iriz ia akan nampak lebih ranggi dengan hiasan berjalur. Sokongan yang diberikan pada bahagian belakang dan juga rusuk sangat bagus namun agak sempit pada bahagian bahu.

4. Kusyen belakang pula nampak lebih rata dan 3 penumpang dewasa boleh duduk dengan selesa termasuk ruang bahu. Tapi sayangnya tiada perehat kepala boleh laras untuk 3 penumpang. Hanya ada 2 bonggol seperti bonggol unta untuk 2 penumpang. Penumpang ketiga mestilah kanak kanak, tidak cukup inci ataupun hantu penanggal yang rajin meriba kepalanya sendiri. Ruang kaki adalah mencukupi untuk penumpang dengan ketinggian 6 kaki

5. Ruang tombol gear tengah diberikan warna krim lembut menjadikan ruang nampak luas dan ceria. Kalau anak anda buat kotor, rajin rajin la cuci atau hantar ke kedai. Ruang tengah ini menempatkan 3 tempat letak cawan, 2 pengecas USB untuk telefon pintar, 1 unit punca kuasa 12volt dan satu sambungan USB untuk sistem audio. Berdasarkan spesifikasi keselematan, sambungan USB mestilah berada di bawah, bukan terpacak di unit audio. Kalau berlaku kemalangan, unit USB ini boleh menyebabkan risiko kecederaan

6. Kemasan pintu juga datang dengan 2 tona warna. Poket pintu untuk pintu depan ada ruang yang besar untuk meletak peranti smart tag (tak perlu sebab tol dah free), telefon, botol minuman 500ml dan juga pelbagai barangan peribadi seperti dompet.

Ada poket khas di bahagian pemandu untuk menyimpan barangan lain seperti kad touch n go, atau meletakkan kunci kereta. Manakala untuk penumpang depan, ada ruangan khas pada pintu untuk isteri anda menyimpan syiling, pin tudung dan jarum peniti. Kalau suami anda gatal, cucuk saja dengan jarum tu.

7. Bonet pula ada 510 liter ruang cukup untuk anda sekeluarga. Kalau tidak cukup, lipat saja penyandar kusyen belakang untuk angkat barang yang panjang. Jangan risau, tayar space saver bersama peralatan membuka tayar turut disediakan.

Aspek Keselamatan

8. Sistem brek dipakejkan dengan kombo ABS, ESC, Brake Assist dan Traction Control. Butang nyahaktif ESC pun ada, mana tahu jika anda tersangkut dalam lumpur

9. Ada 2 poin ISOFIX untuk anda memasang kerusi bayi. Jangan buat-buat mabuk hidu gam kasut dengan menghamparkan pelapik toto di kerusi belakang untuk anak anda seperti petua yang viral. Kalau kemalangan pasti anak anda tercampak keluar dari kereta.

10. Walaupun Persona ini murah, ia masih hadir dengan 6 beg udara iaitu depan, beg udara sisi penumpang depan dan beg udara langsir tepi.

11. Varian premium datang dengan kamera undur belakang dan kualiti gambar yang dihasilkan pada piksel yang lebih tinggi. Jadi gambar lebih terang pada waktu siang. Namun pada waktu malam ia seperti kurang pencahayaan

Kualiti Pemanduan

Jika dibandingkan dengan Vios, City, Vento dan juga Mazda 2, Persona ini lebih murah sekitar RM 32,000-38,000 lebih murah. Jadi ini pemerhatian penulis sepanjang 1000km memandu Persona

12. Roda stering yang digunakan ialah stering bantuan elektrik, bagus untuk penjimatan petrol. Ia hanya menawarkan butang kawalan audio di stering. Kawalan stering adalah bagus ketika memandu laju tapi terdapat sedikit gegaran halus yang boleh dirasai. Mungkin juga operasi klac CVT yang menyebabkan gegaran tadi kerana SUV buatan Korea dengan gear DSG turut memberikan gegaran yang sama

13. Enjin Campro VVT 1600cc ini menghasilkan 107 kuasa kuda pada 5750 RPM  dan 150Nm tork pada 4000 RPM. Kuasa yang dihasilkan sudah cukup untuk menggerakkan Persona dengan berat 1193kg. Unit VVT tidak mengalami masalah “torque dip” seperti Campro biasa.

Pecutan yang dihasilkan adalah sekata dan selari dengan operasi pedal minyak. Sesekali terdengar juga ia mengaum apabila pedal ditekan rapat. Fitur VVT ini agak ketinggalan berbanding iVTEC, dan dual VVTi pesaingnya. Apatah lagi dengan unit TSI dari Volkswagen

14. Jadi penggunaan petrolnya biasa-biasa sahaja. Pada halaju 110km/h ia memberikan 16.6km per liter petrol dan meningkat menjadi 13.8km per liter bagi jalan bandar. Jika anda melalui kesesakan jalan raya, angka tersebut menjadi 12.8km per liter petrol. Untuk kekal jimat, pastikan lampu ECO sentiasa menyala dan patuhi hadlaju 110km/j.

15. Unit CVT yang selalu diperli oleh netizen masih lagi digunakan. Dengan bantuan Harry Porter dan kayu ajaibnya, proses penghantaran kuasa lebih lancar dan fenomena melastik getah kurang terasa. Operasinya lebih lancar dan lebih sekata. Tapi sayang tiada fitur Sport mode ditawarkan pada tombol gear. Malu bang kalau main brek masa selekoh atau selekoh masa turun bukit. Kalau ada Sport mode boleh buat “engine braking”.

16. Unit ini masih menggunakan sistem klac bagi menghantar kuasa dari enjin ke transmisi. Jadi operasinya seperti sedikit tersengguk-sengguk ketika memandu perlahan di dalam taman atau menghampiri lampu isyarat merah. Rasanya seperti adik atau isteri anda baru belajar memandu menggunakan gear manual.

17. Proton Ride and Handling adalah keistimewaan Persona. Ketika melalui selekoh badannya kekal tegak dengan olengan cesi minima. Weight Transfer yang dibuat dari kiri ke kanan, atau belakang ke depan terasa lancar. Rasanya inilah kelebihan cesi Persona, ia stabil dan boleh beraksi dengan baik walaupun sekadar menggunakan torsion beam di belakang. Menuruni Terowong Menora dengan halaju 120km/j bukanlah satu tugasan yang mencabar buat Persona.

Betulkan sudut stering pada selekoh, kawal pedal minyak pada selekoh dan pada penghujung selekoh tekan balik pedal untuk memecut keluar. Kacang saja.

18. Sistem suspensinya walaupun menggunakan topang mcpherson dan torsion beam menyediakan keselesaan yang baik ketika melalui jalan tidak rata. Walaupun membawa barang dan 5 penumpang, jarang sekali ia mengalami fenomena “bottom out” iaitu spring dan penyerap hentakan terpenyek ketika melalui bonggol

19. Walaupun cesi dan suspensinya bagus, prestasi Persona di selekoh dibataskan oleh penggunaan tayar cap ayam. Tayar bersaiz 185/55 dengan rim 15 cengkaman mekanikalnya amat hambar. Lemparkan kereta sedikit di selekoh dan tayar mula berkokok sebagai tanda protes. Bunyi tayar ketika melalui jalan yang menggerutu juga menerobos masuk ke ruang kabin. Jika anda ada duit lebih, sila tukar pada tayar yang lebih baik demi keselesaan dan keselamtan.

20. Prestasi breknya boleh dikatakan biasa sahaja dengan bantuan brek cakera berliang di depan dan brek drum di belakang. Untuk segmen B, prestasi membrek masih lagi dipegang oleh Vios

Fitur Bonus

21. Lampu depan datang dengan suis automatik dan juga fungsi Follow Me Home. Ia akan menyala selama 20 saat selepas pintun dikunci

22. Pada waktu malam, ketika pintu dibuka lampu belakang dan juga lampu posisi depan akan menyala. Kalau LED DRL boleh menyala sekali lagi bagus.

23. Cermin sisi akan dilipat ketika pintu dikunci dan dibuka semula ketika pintu dibuka semula. Sama seperti Vios

24. Sistem audio akan diperlahankan secara automatik ketika kereta diundurkan dan sensor parkir depan diaktifkan

25. Meter Multi Info Display hampir sama dengan X70. Ia mudah dibaca pada waktu siang dan juga malam kerana pencahayaan akan dikawal secara automatik.

26. Selepas memandu selama 4 atau 5 jam, sistem akan mengingatkan anda supaya berhenti rehat.

Bacaan NVH

Halaju km/jRPMBunyi dB
80200063.1
90230065.2
100270065.9
110300066.4
120320067.9
130350071.8

Apa yang perlu diperbaiki

27. Gantikan sistem klac dengan torque converter. Jadi operasi CVT akan jadi lebih lancar

28. Enjin VVT yang digunakan agak ketinggalan. Mungkin Geely ada enjin yang lebih maju untuk dipasang pada Persona

29. Tukar pada tayar yang lebih baik. Tayar asal yang diberikan membataskan kemampuan cesi Persona

30. Suis pada roda stering perlukan pencahayaan pada waktu malam. Pada waktu malam agak susah untuk gunakan suis kecuali anda menghafal semua kedudukan suis.

Kesimpulan

31. Jangan beli kereta ini jika anda ada alahan dengan jenama Proton. Kulit anda mungkin akan mengalami kegatalan dan juga rambut anda akan gugur bila memandu Persona. Anda juga mungkin akan berguling guling di atas jalan pada hari jumaat setiap kali menteri mengumumkan kenaikan harga petrol. Jenama import yang dipakai oleh kawan-kawan boleh menyebabkan air liur anda meleleh laju. Maka poin no 31 ini akan menjawab persoalan tajuk artikel di atas.

32. Dengan penjimatan antara RM 32,000 -38,000 berbanding dengan pesaing Persona menawarkan satu produk yang amat kompetitif. Ia dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan dan fitur setanding dengan harga yang ditawarkan. Kelemahannya dari segi aspek enjin yang agak ketinggalan dan CVT yang perlu ditambahbaik oleh Proton. Jika anda boleh menerima kelemahan ini maka anda boleh terima kelebihan dan harga yang ditawarkan

Jangan dengar pendapat orang, kawan dan bos. Bukan dia yang tolong bayarkan pun

Google ads
Back to top button