Pandu Uji

PANDU UJI: PROTON IRIZ ACTIVE PREMIUM, LAGI BEST DARI PERSONA

Percubaan Proton untuk menembusi dan menghasilkan kereta kompak dimulakan dengan model Tiara pada tahun 1996, diikuti dengan model Savvy pasa 2005 dan Iriz pada 2016. Namun model Proton sering dibayangi oleh model kompak daripada Perodua yang lebih laris dan diterima ramai

Berbeza dengan model sebelum ini, Proton banyak mencurahkan pelbagai idea rekaan pada Iriz bermula dengan pengeluaran model konsep, diberi pelbagai proses naik taraf semenjak tahun 2016, serta diberikan facelift pada 2019 (MC1) dan 2021 (MC2)

Menyedari minat pembeli berubah ke arah crossover dan melihat kepada kejayaan Perodua Axia Style, maka Proton cuba mengikut formula yang sama. Maka terhasillah sebuah mini crossover atau baby X50 dengan diberikan pelbagai penggayaan luar bagi menjelmakan Proton Iriz Active ini sebagai sebuah crossover

Antara perubahan yang diberikan oleh Proton pasa model Iriz Active Premium termasuklah:

1. Lampu LED- Lampu depan dengan teknologi LED untuk lampu rendah dan lampu tinggi. Tapi berbeza dengan Persona yang guna perumah dengan krom cerah berkilat, Iriz menggunakan perumah lampu dengan kemasan hitam berkilat yang nampak garang dan sporti

2. Rekaan depan baru- rekaan bampar Iriz depan adalah sama dengan Persona tapi diberikan kemasan yang berbeza. Jeriji atas menggunakan warna hitam dengan kemasan merah. Jeriji bawah pula diberikan kemasan berwarna perak yang bersambung dengan penutup plastik tepi

3. Hiasan ala-ala crossover – rekaan penutup plastik atau cladding dari sisi disudahkan dengan kemasan allen key. Tapi rekaan penutup plastik ini nampak berlebih lebihan dan terlampau besar. Penulis lagi suka kalau rekaan penutup plastik ini diminimakan dan tidak terlalu menonjol

4. Rel bumbung- melengkapi bahagian bumbung ialah sepasang rel bumbubg, menjadikan Iriz Active lebih tinggi 10mm berbanding model executive, bukan perubahan talaan pada sistem suspensi. Tapi rel bumbung ini tak boleh dipasang dengan kotak untuk membawa barangan. Ia hanya hiasan semata-mata

Bumbung, pintu belakang dan spoiler belakang diberikan warna hitam menjadikan Iriz Active ini lebih menyerlah. Logo R pada tatanama Iriz diberikan warna merah mungkin membawa maksud Red atau Racing

5. Rim sport gayaan baru – Iriz Active diberikan rim 16 inci tayar 185/55 tapi rekaan yang lebih muda dan menarik berbanding dengan Proton Persona. Boleh dikatakan ia adalah rekaan paling cantik daripada Proton setakat ini

6. Ruang dalaman merah – perbezaan yang paling besar ialah pada rekaan dalaman Iriz yang lebih muda bergaya dan sporti. Ia diberikan kemasan merah pada butang di roda steering, hiasan meter, corong penyaman udara, perumah tombol gear, jahitan pada kusyen, pelapik kaki hiasan merah dan tali pinggang keledar berwarna merah.

Hiasan logo tulisan “Active” dengan benang berwarna merah diberikan pada kusyen depan, panel pintu dan juga pelapik kaki. Malah Proton Iriz Active Premium diberikan sepasang pedal aluminium yang lebih bergaya berbanding dengan kembarnya Proton Persona

7. Pemanduan sporti– pengendalian Proton Iriz Active rasanya lebih sporti kalau dibandingkan dengan Proton Persona dengan memberikan keyakinan untuk dibawa bermain di selekoh. Berat Proton Iriz adalah 25kg lagi ringan berbanding Persona serta digandingkan talaan Iriz suspensi lebih keras sikit menjadikan Iriz rasa berlainan dari Persona.

8. Enjin Iriz terasa lebih ringan dan agresif termasuklah dengan tetapan yang berbeza pada transmisi CVT yang digunakan. Ratio gear rasanya “ditolak ke depan” menjadikan pecutan lebih lancar berbanding dengan Persona yang ditetapkan dengan gear lajak ke belakang

Malah pedal minyak juga terasa lancar dan anda boleh nelakukan throttle modulation dengan senang walaupun ketika di selekoh. Ternyata tetapan sebegini menjadikan Iriz lebih sedap dipandu berbanding dengan Persona walaupun dari aspek kejuruteraan kedua dua kereta adalah hampir sama dan mengunakan enjin 1600cc VVT ini menghasilkan 107 kuasa kuda dan 150Nm tork yang sama

9. Dinamik pengendalian Proton Iriz ini menjadikannya seronok dipandu samaada di kawasan bandar ataupun ketika menuruni laluan berbukit serta berselekoh tajam dari Cameron Highland ke Tapah dengan senang. Pengenalan ciri Sport pada tombol gear juga amat membantu memberikan ciri brek enjin dan juga memudahkan penulis memotong kenderaan perlahan dengan tenang.

Ya skrin ini silau, tapi boleh digunakan sebagai cermin titik buta

Walaupun begitu terdapat sedikit kelemahan pada Proton Iriz Active yang akan dijelaskan pada poin di bawah. Antaranya ialah

10. Silau– paparan skrin unit multimedia 8 inci terlalu bersinar, susah nampak bawah cahaya matahari dan sudut pandang terlalu tegak. Sepatutnya sudut skrin ini dihalakan sikit ke arah pemandu serta paparan skrin tidak terlalu silau sehingga menyukarkan pemandu melihat pada skrin ketika waktu panas terik

11. Gear Ratio terhad – kalau dibandingkan dengan Proton Persona yang lebih besar dan berat, penggunaan petrol Proton Iriz adalah lebih tinggi. Salah satu sebab yang menyumbangkan pada faktor ini ialah talaan enjin dan transmisi yang agresif tapi julat operasi CVT ini adalah terhad jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain

Bacaan rasmi Proton 14.3km per liter, dan bacaan terbaik yang kami dapat ialah 15.1km per liter ketika dipandu di lebuhraya pada halaju 110-120km/j. Bagi Proton Persona, ia mencatatkan purata bacaan petrol yang lebih baik iaitu pada 16.2 km bagi setiap liter petrol dengan cara pemanduan yang sama

Tapi pada hemat penulis, alangkah baiknya jika model sebegini dikeluarkan terus pada tahun 2016 atau diperkenalkan lebih awal ketika model MC1 diperkenalkan. Ketika itu rakyat Malaysia seperti mabuk dengan rekaan crossover, pantang model baru crossover diperkenalkan mesti akan laku keras

Bagi tahun 2022 akan datang, Proton Iriz Active ini perlu bersaing dengan musuh tradisinya iaitu Perodua Myvi yang dihasilkan dalam 5 varian. Varian termahal iaitu Perodua Myvi AV datang dengan pelbagai ciri moden dan keselamatan aktif yang mampu menggugat bukan sahaja Proton Iriz tapi juga Toyota Yaris dan Honda City Hatchback

Kelebihan pada Proton Iriz Active ialah ia datang dengan tanda harga yang jauh lebih rendah dan mampu milik iaitu pada harga RM 54,000 berbanding dengan Perodua Myvi AV pada RM 58,800, Toyota Yaris (RM 84,808) dan model terbaru Honda City Hatchback (RM 87,860). Secara jujurnya beza harga antara Proton Iriz dengan model import sangat mahal, mungkin anda boleh beli 2 unit Proton Iriz untuk satu jenama import.

Model paling berkuasa sudah semestinya City Hatchback, paling selesa Yaris, manakala Myvi AV adalah model paling sarat dengan aspek keselamatan. Sebab itulah Proton berhabis mungkin dengan memberikan ciri Hi Proton, suis penyaman udara baru, skrin sesentuh baru, mengekalkan pengendalian sporti dan memberikan kusyen yang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Mungkin kesilapan terbesar Proton ialah tidak menawarkan ciri amaran titik buta dan Rear Cross Traffic Alert bagi model MC2 ini, tapi sekurang-kurangnya Proton mendengar keluhan penulis yang mahukan ciri S (Sport) pada transmisi CVT mereka. Secara jujurnya anda membelanjakan wang gaji anda pada sebuah kereta yang berbaloi untuk dibayar setiap bulan dengan pengendalian yang sporti, moden dan mampu milik

Google ads
Back to top button