Pandu Uji

PANDU UJI: TOYOTA VIOS 1.5G. 10 CIRI BARU MODEL 2021

Jika anda ingin memandu laju untuk mengejar Myvi, memiliki pecutan luar biasa seperti Kancil Turbo liar dan rekaan yang moden maka besar kemungkinan anda tidak akan mempertimbangkan Toyota Vios 1.5G 2021 ini. Model 2021 ini merupakan versi naiktaraf buat kali kedua selepas selesai proses naiktaraf pada tahun 2019.

Tapi jika anda perlukan sebuah sedan dari satu jenama yang memiliki reputasi pusat khidmat selepas jualan yang cemerlang, produk dengan kualiti tinggi, susah rosak, tidak memeningkan kepala anda, dan anda malas bergaduh serta berulang alik ke pusat servis maka Toyota Vios 1.5G 2021 ini sesuai untuk anda. OK anda boleh teruskan membaca perenggan seterusnya.

Pada pandangan penulis, Honda City dengan enjin 1.5 i-Vtec 119 kuasa kuda jauh lebih berkuasa, Nissan Almera NP18 Turbo datang dengan rekaanlebih hensem dan Mazda 2 Sedan lebih dinamik di selekoh. Toyota Vios datang dengan rekaan yang lebih selamat tapi memiliki beberapa ciri moden untuk terus kekal bersaing.

Jadi selepas beberapa hari memandu Vios 2021 ini , ini beberapa ciri baru yang telah dipasang pada model ini supaya ia kekal relevan dalam sedan segmen B

1. Bampar rekaan baru – datang dengan rekaan yang lebih agresif macam sayap dari arah depan. Jeriji tengah ruang kemasukan udara diinspirasikan dari model Camry dengan kemasan warna hitam. Set skirt yang dipadankan pada model ini menjadikannya nampak sedikit muda dan sport

2. Lampu LED baru – semua varian termasuk J menggunakan lampu LED dengan reflektor serta lampu DRL terbina dalam. Manakala lampu kabus LED diposisikan di bahagian bawah. Berbanding dengan lampu halogen, lampu LED jauh lebih terang. Ciri Follow Me Home 30 saat dikekalkan

3. Pre Collision System – berfungsi sehingga halaju 180km/j (ya ada ditulis dalam buku manual) dengan sensor dan juga kamera yang dipasang pada bahagian cermin depan. Jarak dan sensitiviti boleh diubah dengan butang.

4. Lane Departure Warning – dengan bantuan kamera, Vios akan memberi amaran sekiranya anda terkeluar dari laluan. Jika memandu di jalan persekutuan, fungsi ini boleh dimatikan dengan butang fizikal. Buat masa ini dalam sedan segmen B, hanya Vios sahaja ditawarkan dengan ciri ini

5. Driver Attention Warning – jika terlalu kerap terkeluar dari laluan, sistem akan menghantar amaran supaya anda berehat dengan segera walaupun baru 5 minit memandu. Vios juga menawarkan 7 beg udara untuk semua varian sedangkan ada model lain yang hanya menawarkan 4 beg udara sahaja

6. Kamera 360 Darjah – jika dulu dioperasikan dengan butang, fungsi kamera pada model baru ini boleh juga diaktifkan dengan signal. Jika anda signal ke kiri, kamera sekeliling dan bahagian kiri akan dihidupkan. Senang nak masuk parking sisi dan elakkan rim tersagat road curb

7. Sambungan unit Multimedia Apple Car Play / Android Auto– nah ini ciri moden paling disukai penulis. Bagi pengguna Android ataupun Apple, semua peranti boleh disambungkan terus ke unit multimedia untuk mendengar lagu ataupun menggunakan sistem navigasi. Sistem boleh membacakan mesej dalam Wassap, tapi bunyinya sangat kelakar.

8. VTS -atau Vehicle Telematics System yang akan memantau pergerakan dan kedudukan Vios 24 jam melalui telefon pintar. Bagi bini yang Quen Control, ciri ini sangat bagus bagi memantau suami mereka yang ada ciri-ciri seperti kucing jantan oren

9. Penyaman Udara – Vios baru tidak menyediakan corong penyaman udara di bahagian belakang seperti kereta penulis, tapi angin sejuk yang dihantar ke belakang sangat kuat macam teknik kungfu Ngauman Singa dari filem Kung Fu Hustle

10. Lebih Senyap – berbanding dengan sedan penulis dan Vios versi 2019. ia mencatatakan bacaan 15.8dB ketika enjin dimatikan, 39dB ketika enjin hidup, 43dB ketika penyaman udara beroperasi, 55dB ketika halaju 60km/j, 63db pada 80km/j, 64dB pada 100km/j dan 67dB pada halaju 120km/j.

Pengalaman Pemanduan

11. Enjin dengan 105 kuasa kuda dan 140Nm tork tidak akan membuat anda menang berlumba dengan Myvi di lampu isyarat. Ketika memasuki 5000RPM ia akan sedikit dengan not sport. Pecutan yang dibuatnya adalah malar dan sekata. Memandu di lebuh raya pada halaju 120km/j RPM akan berlegar pada 2000 sahaja (dalam mode ECO)

12. Tapi jika anda bercadang untuk memecut, gunakan sahaja mode SPORT dan tukar sahaja gear dengan menggunakan paddle shift di belakang stering. Vios boleh menurut arahan anda dengan mudah tanpa was-was, tapi ketika ini penggunaan petrol tidak akan menjimatkan. Anda boleh baca pandu uji Vios 2019 ketika melalui jalan Grik-Jeli di SINI

13. Dalam aspek brek, Vios menggunakan 2 brek cakera berliang di depan dan 2 brek cakera di belakang. Kuasa membrek bagi Vios meyakinkan ketika dipandu laju atau perlahan. Dalam kelas ini, pesaingnya masih menggunakan brek drum di belakang

14. Ride & Handling – dari segi tetapan penyerap hentak, boleh dikatakan 75% talaan dibuat untuk keselesaan dan 25% untuk pengendalian. Ia boleh menyerap jalan tak rata dan juga bonggol di taman dengan cemerlang. Ia direka untuk pemanduan harian bukan untuk berlumba

Tapi jika anda melayan selekoh dengan laju, cengkaman dan pengendalian Vios masih boleh dipuji. Bar anti oleng yang dipasang pada torsion beam di roda belakang memastikan Vios kekal stabil di laluan berselekoh. Cuma tayar yang dipasang terasa licin pada hari hujan.

15. Memandu di waktu malam dengan bantuan lampu LED termasuk lampu kabus menjadi semakin selesa, jauh lebih baik dari kereta penulis yang menggunakan mentol halogen. Semua butang, suis dan alat kawalan utama diterangi dengan LED berwarna biru.

16. Berbeza dengan model lama, model baru menyediakan 2 poin USB di bahagian belakang, 1 sambungan di radio (boleh mengecas telefon) dan satu soket 12V berhampiran brek tangan. Soket ini boleh digunakan untuk menghidupkan pam angin yang diberikan oleh Toyota.

17. Tayar simpanan menggunakan rim aloi 16 inci, jadi ruang kargo belakang adalah sebesar 506 liter berbanding dengan City 519 liter tapi lebih besar dari Almera pada 482 liter. Bagi jarak antara roda, Vios hanyalah sekitar 2550mm, 50mm kurang dari City dan 70mm kurang dari Almera.

18. Ergonomik untuk pemandu boleh dikategorikan sebagai selesa untuk penulis dengan ketinggian 165cm walaupun tanpa ciri stering teleskopik. Penyandar belakang memiliki lumbar support dan memegang sisi belakang dan peha dengan baik.

Kusyen juga menawarkan sokongan yang bagus sehingga ke bahagian lutut bagi pemandu dan juga penumpang belakang. Cagak ISOFIK juga senang dicapai tanpa rasa sakit hati. Memandu selama 3 jam tanpa berhenti rehat tidak akan menjadi masalah.

19. Penggunaan petrol Vios juga sekadar memuaskan. Untuk penggunaan dalam bandar, ia mencatatkan sekitar 13km per liter, tapi di lebuh raya ia meningkat kepada 19km per liter bagi halaju 90-110km/j dan 17km per liter bagi halaju 120km/j.

20. Antara kelemahan utama Toyota Vios 2021 ialah ia tidak menyediakan ciri Autocruise (Ativa menawarkan adaptive autocruise), kedudukan perehat tangan yang tidak sesuai dan terkebelakang sedikit sehingga menggangu penumpang tengah, bunyi radio yang biasa-biasa sahaja serta tayar yang terasa licin bila hujan serta bising bila jalan tidak rata

Toyota Vios 1.5 2021 sekali lagi menaikkan penanda aras dalam aspek keselamatan. Semua varian ditawarkan dengan 7 beg udara dan lampu LED. Varian E dan G menawarkan Pre Collision Sytem, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Vios ini sesuai untuk pemandu yang lebih matang, memilih kereta sebagai alat pengangkutan, malas nak semak kepala dengan isu remeh temeh dan keselamatan merupakan isu utama yang diambil kira. Bagi golongan ini mereka tidak perlukan kereta yang hebat untuk terasa hebat depan orang ramai

Kalau anda perlukan kereta yang hebat dengan aksi pemanduan yang hebat bagi menutup kelemahan diri, mungkin anda ada masalah self esteem yang rendah. Dalam kes ini Vios tak perlu buktikan ia paling pantas, paling laju dan paling bergaya. Vios ada bukti kukuh yang ia paling lasak dan bila dijual semula, pemilik senyum lebar.

Google ads
Back to top button