Pandu Uji

TOYOTA VIOS – TANDA ARAS BARU SEGMEN B

Toyota Soluna satu nama yang agak asing pada pasaran Malaysia, seperti nama mak tiri Cinderella bunyinya. Namun Soluna tidak dipasarkan di Malaysia kerana ia dipasarkan di Thailand dan menjadi asas kepada model Vios pada hari ini. Sejak Vios diperkenalkan bermula pada tahun 2002 ia telah bersaing secara langsung dengan Honda City, Mazda 2, Kia Rio dan juga Proton Persona. Namun seteru utama Vios sudah pastilah Honda City di mana netizen ketika itu bertekak di forum-forum permotoran mengenai kehebatan jentera masing-masing seperti model mana paling laju, paling jimat, paling selesa dan boleh terbang.

Persaingan antara Vios dan City sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada pengguna kerana pengeluar berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk yang lebih baik, lebih menjimatkan bahan api, lebih selamat dan datang dengan pelbagai ciri jualan yang unik. Apa saja teknologi yang telah diperkenalkan dari segmen C dan D akan diserap masuk pada model Vios seperti pembuka ruang kargo belakang dengan butang kawalan, sistem kawalan kestabilan elektronik ESC, enjin dual VVTi, kotak gear CVT dan akhir sekali sistem pengawasan titik buta.

Spesifikasi

VarianVios 1.5 G – RM 87,300
Enjin2NR-FE 1500cc Dual VVTi, 105 kuasa kuda & 140Nm Tork
TransmisiCVT  dengan 7 kelajuan maya dengan “paddle shift” dan shiftronic
Suspensi DepanTopang McPherson dan bar penstabil
Suspensi BelakangTorsion beam dan bar penstabil
Berat1145kg
Ruang Kargo506 Liter
Saiz Tayar195/50 R16 TOYO PROXES R50
Ciri KeselamatanBrek ABS, Brake Assist & Electronic Brake Distribution
Kawalan Kestabilan Kenderaan Electronic Stability Control
Kawalan Cengkaman Traction Control
Bantuan Mula Mendaki – Hill Start Assist
Pengunci Pintu dengan Pengesan Kemalangan
7 beg udara SRS termasuk beg udara lutut
Sistem Amaran Titik Buta
Amaran Trafik Lintasan Belakang (RTCA) bersama dengan radar

Rekabentuk

Pada awalnya penulis berangan Vios 2019 ini akan datang dengan Toyota New Global Architecture (TNGA) serta falsafah rekabentuk “keen design” yang lebih dinamik, sporti dan ranggi. Namun Toyota memilih melakukan proses kaizen pada cesi NSP151 dari generasi kedua semenjak tahun 2007 bagi model baru ini.

Rupa depan Vios telah disuntik dengan Botox menampilkan rekaan grill kemasukan udara yang lebih besar dan disudahi dengan lampu LED. Lampu utama menggunakan lampu halogen dengan pakej projektor bersama dengan lampu tinggi. Lampu kabus depan kekal di penjuru bawah kiri dan kanan bampar namun kehadiran penutup plastik pada lampu kabus menjadikan keseluruhan rekaan muka depan Vios ini sedikit sibuk. Namun ianya jauh lebih baik dari Vios versi Singapore yang bosan.

Lampu belakang menggunakan LED mirip Altis dan lampu kabus belakang berada di ruangan bampar. Terdapat 2 garis sisi atas dan bawah yang menganjur dari perumah tayar depan dan bersepadu dengan “shoulder line” menjadikan bahagian sisi ini sedap dipandang. Vios ini juga hadir dengan skirting depan, sisi, belakang dan juga spoiler yang dipasang pada bonet belakang dengan adunan warna hitam. Ia menyerlahkan sifat ranggi menjadikan keseluruhan model ini nampak menarik. Ibarat buih susu pada kopi tarik anda.

Secara keseluruhan panjang Vios ini ialah 4425mm, lebar 1730mm, dan tinggi 1475mm. Jarak antara roda pula ialah 2550mm iaitu kurang 50mm berbanding dengan Honda City

Ciri-Ciri Dalaman Vios

1. Bahagian papan pemuka Vios adalah sama dengan Yaris dari segi rekaan, warna dan juga fungsi. Warna hitam mendominasi warna keseluruhan tema dalaman Vios termasuk juga warna balutan kulit tempat duduk depan dan juga belakang. Warna benang putih pada kusyen memberikan sedikit kontras pada kusyen.

Terdapat beberapa hiasan berwarna perak pada papan pemuka yang menceriakan sedikit suasana agar tidak kelam seperti gua yang didiami oleh penyokong kelab Manchester United

2. Papan pemukanya mengekalkan identiti Toyota dengan semua butang senang dicapai termasuk butang kawalan audio, butang kawalan penyaman udara lengkap dengan sistem auto serta beberapa kawalan butang yang ada pada roda steering. Penyaman udara kawalan digital meniupkan udara sejuk dengan kuat walaupun suhu ditetapkan pada 25 darjah celsius dalam mode auto.

3. Paparan meter menggunakan warna biru lembut dengan teknologi analog. Paparan meter Optitron kelihatan sporti dan mudah dibaca . Meter ini memaparkan bacaan RPM, halaju, penggunaan bahan api semasa, halaju paparan digital dan pelbagai maklumat lain yang relevan. Kemasan pintu pula boleh dipuji dengan penggunaan material kulit untuk kawasan perehat tangan agar ia selesa apabila kita meletakkan tangan di situ.

4. Kawalan “paddle shift” hanya ditawarkan untuk varian 1.5G menjadikan Vios ini seronok dipandu. Penulis akan menggunakan fitur ini jika memandu dalam mode ECO dan memerlukan respon pantas dari enjin. Fitur ini tidak ditawarkan pada Yaris varian G.

5. Vios turut memiliki perehat tangan yang dipasang antara pemandu dan penumpang hadapan. Namun ruang simpanannya adalah kecil dan hanya mampu menyimpan segenggam kunyit dan 5 batang timun yang dibeli di kedai runcit.

6. Ruang kaki untuk penumpang belakang adalah mencukupi dan luas. Vios masih mengekalkan identiti lantai yang rata membolehkan ruang kaki yang selesa disediakan. Ia boleh memuatkan 2 penumpang dewasa untuk perjalanan jarak jauh ataupun 3 penumpang untuk jarak dekat namun sedikit sempit. Sekiranya perlu perehat tangan boleh ditarik untuk ruang meletakkan minuman.

7. Terdapat 1 punca kuasa 12 volt berhampiran brek tangan dan satu sambungan pengecas USB untuk penumpang belakang. Varian 1.5G juga datang dengan cermin pandang belakang anti silau.

8. Lampu depan Vios datang dengan kemudahan “ikut saya balik rumah” (follow me home) yang akan menyala beberapa saat bagi menerangi jalan pada waktu malam walupun enjin sudah dimatikan. Sangat membantu mengelakkan anda terpijak tahi kucing pada waktu malam. Sebagai bonus, semua pemijak kaki pada semua pintu datang dengan LED berwarna biru lembut. Ia bagaikan mengucap selamat datang pada anda setiap kali melangkah masuk ke ruang kabin.

Sistem Keselamatan Vios

9. Seperti biasa Vios dilengkapi dengan kombinasi sistem keselamatan yang merangkumi sistem brek anti terkunci ABS, sistem pengagihan kuasa brek EBD, sistem kawalan kestabilan ESC, sistem kawalan cengkaman tayar (Traction Control) dan bantuan mula mendaki (Hill Start Assist Control).

10. Vios merupakan satu-satunya model dalam segmen B yang dilengkapi dengan sistem amaran  titik buta (Blind Spot Monitor) yang akan memberikan lampu amaran dan juga bunyi jika terdapat kenderaan lain yang berada di kedudukan tersembunyi dan mengurangkan risiko kemalangan. Sistem ini datang dengan kombo sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) yang menggunakan radar untuk mengesan kehadiran kereta lain.

11. Untuk memudahkan Vios diparkir, ia datang dengan kamera Panoramic View Monitor yang menerima input  dari kamera yang dipasang pada bampar depan, belakang dan juga bahagian sisi kereta. Ia akan memudahkan Vios dipandu keluar dari tempat sempit dan akan padam dengan sendiri apabila halaju melebihi 20km/j. Tidak cukup dengan itu Toyota juga turut memasang sensor parkir belakang dan juga hadapan (varian E dan G) yang boleh diaktifkan dengan suis.

12. Unit pandu uji kami juga lengkap dipasang dengan perakam video digital depan dan belakang yang akan merakam segala pergerakan kereta semasa dipandu atau diparkir. Kualiti video yang dirakam adalah sangat jelas dan ciri ini sangat membantu memantau keadaan kereta dalam keadaan kecemasan, kemalangan dan juga mencegah aktiviti merembat emblem.

13. Dengan kehadiran 7 beg udara berbanding 6 beg udara pada pesaingnya, Vios 2019 ini layak menerima anugerah 5 bintang ujian perlanggaran Asean NCAP dengan markah pematuhan 81.88%.

Pengalaman Pemanduan Vios

14. Kerusi Vios 1.5G disediakan dengan balutan kulit berbanding dengan balutan fabrik yang ada pada Yaris. Walaupun nampak lebih kemas dan mewah, namun penulis merasakan kerusi balutan fabrik yang ada pada Yaris lebih lembut, empuk dan selesa. Postur pemanduan yang efisien boleh dicapai dengan mudah sekiranya tetapan sudut penyandar belakang berada dalam keadaan sedikit tegak. Pemanduan selama 4 jam boleh dilakuakn tanpa berasa penat walaupun dalam keadaan berpuasa.

15. Unit enjin dual VVTi 1500cc ini digandingkan dengan transmisi CVT lengkap dengan keupayaan mengawal 7 kelajuan maya menggunakan “paddle shift” pada belakang steering. Untuk pemandu biasa yang menggunakan kereta ini untuk aktiviti seharian perbezaan kuasa 13 kuasa kuda dengan unit iVTEC tidaklah terasa sangat kecuali anda sentiasa melenjan enjin dan cuba berlumba dengan semua pengguna jalan raya yang lain. Kerjasama harmoni antara enjin dan transmisi CVT menghasilkan perjalanan yang lancar.

16. Dalam mode pemanduan ECO, kuasa enjin terasa seperti terhad, transmisi CVT sentiasa berada dalam keadaan tinggi dan kuasa pemampat penyaman udara dikurangkan bagi meningkatkan kecekapan pengunaan bahan api. Namun jika digunakan untuk pemanduan dalam bandar, prestasi keseluruhan Vios akan terasa lemau bagaikan enjin NGV.

17. Untuk pemanduan jalan kampung dengan mode ECO, penulis terpaksa menggunakan “paddle shift” yang berada di belakang roda steering bagi menurunkan 2 tangga ratio dan mendapatkan pecutan padu. Jika anda malas hendak mengubah gear, sebaiknya matikan ECO mode dan biarkan Vios ini dipandu dalam mode Normal.

18. Semasa dipandu melalui jalan berselekoh dan mendaki dari Gerik menuju ke Jeli, mode pemanduan Sporti benar-benar menunjukkan perilaku Vios yang garang. Tekan saja mode Sport dan enjin akan sedikit mengaum menghasilkan not bunyi sporti yang sedikit bergema dalam kabin. Gunakan sekali “paddle shift” semasa mendaki bukit maka pecutan yang dihasilkan Vios cukup untuk mencabar sedan segmen C yang berkuasa turbo. Jangan malu dan jangan segan untuk tekan pedal minyak sampai RPM naik ke 5500 RPM.

19. Suspensi yang digunakan oleh Vios adalah sedikit lembut jika dibandingkan dengan City namun  cemerlang ketika beraksi di selekoh. Kehadiran ruang bonet yang bertindak seperti ekor memberikan lebih kestabilan pada Vios ketika mengambil selekoh. Bantuan “engine braking” ketika menggunakan “paddle shift” membantu mengawal Vios ketika selekoh dengan syarat sudut kemasukan awal ketika selekoh mestilah tepat. Malah penulis tidak teragak-agak memotong ketika selekoh dan menuruni bukit pada kelajuan 110km/j.

20. Fenomena olengan cesi ketika mengambil selekoh telah dikurangkan dengan drastik jika dibandingkan dengan model lama Vios. Talaan yang diberikan oleh Toyota termasuklah memasang bar penstabil di dalam kerangka “torsion beam” membantu Vios mengawal vesi belakang dengan kemas. Masalah “undertseer” tetap ada jika penulis terus menerus menekan pedal minyak. Paling bagus jika pemandu hanya mengekalkan kelajuan dan mengawal input roda steering.

21. Toyota menekankan kualiti pemanduan yang selesa dan lancar dalam pergerakan cesi. Penulis berpendapat kualiti cesi dipertingkatkan, bilangan “spot welding” telah ditambah, penyerap hentak yang lebih lembut digunakan untuk menghasilkan pergerakan cesi yang lembut, manakala tayar berprofil rendah Toyo PROXES R50 memberikan pengendalian yang lebih sporti. 75% lembut dan 25% sporti itulah pendapat penulis. Malah isteri dan anak penulis kekal tidur dengan selesa walaupun pemanduan dilakukan dengan laju di laluan berselekoh.

22. Prestasi membrek dibekalkan oleh cakera brek sejukan udara depan dan cakera brek padu di bahagian belakang. Kuasa membrek boleh dipuji dan kekuatan brek senang dikawal. Malah ia jauh lebih bagus daripada sedan milik penulis mahupun sedan segmen C dari negara Korea.

23. Vios juga bertindak cemerlang dalam situasi kecemasan, mengelak kereta hadapan ketika kelajuan 60km/h tanpa membrek. Semuanya bermula apabila sebuah Myvi yang meluru memintas jalan berkembar di hadapan sekolah. Apabila kereta bertentangan menghampiri, Myvi tersebut menyelit masuk ke laluan asal dan  3 kereta terpasa membrek mengejut termasuk Vios ini. Bagi mengelakkan kemalangan, penulis terpaksa mengelak ke tepi tanpa membrek dan Vios ini kekal stabil tanpa sebarang drama.

24. Untuk perjalanan jarak jauh dengan 3 penumpang, muatan penuh di bahagian belakang serta dipandu dengan sedikit bersemangat maka purata penggunaan petrol ialah sekitar 13.5km per liter petrol. Bagi ujian kedua yang dibuat dengan pemanduan berhemah 110km/j di laluan lebuh raya, purata penggunaan petrol meningkat sekitar 20km per liter petrol dan mode pemanduan ECO diaktifkan sepenuhnya.

Beberapa Perkara yang Perlu Dibaiki

25. Walaupun Toyota telah menambah baik cesi ini, namun ia kekal sebuah cesi yang agak ketinggalan. Buktinya pelarasan steering hanya boleh dibuat untuk ketinggian sahaja. Ia tiada fungsi pelarasan secara teleskopik dan pemandu terpaksa menganjakkan kerusi ke depan bagi mendapatkan posisi ideal.

26. Jarak antara roda bagi Vios ialah 2550mm iaitu kurang 50mm berbanding pesaingnya yang terdekat. Bagi kebanyakan pengguna, nilai tersebut tidaklah besar sangat namun jika anda memasang kerusi keselamatan kanak-kanak pada bahagian belakang maka penumpang hadapan tidak dapat menyandarkan kerusi ke belakang dengan lebih selesa

27. Toyota menyediakan tayar gantian bersaiz penuh bersama dengan rim sport yang asal di bahagian kargo. Walaupun bagus ia telah mengambil ruang kargo sehingga menjadi 506 liter sahaja. Nasib baik penulis dan keluarga menggunakan beg pakaian yang diperbuat daripada “velcro” yang boleh disumbat sesuka hati. Almaklumlah bila balik kampung musim perayaan, macam-macam yang kami sumbat dalam kargo.

28. Hanya ada satu poin USB untuk mengecas telefon pintar iaitu pada ruang kaki (lebih baik buat macam Myvi) di bahagian belakang. Adalah lebih manis kiranya satu lagi poin USB disediakan untuk penumpang hadapan.

29. Kualiti paparan sistem audio yang menggunakan fungsi sesentuh perlu ditambah baik kerana imej yang dihasilkan kurang tajam dan grafiknya nampak murah. Walaupun begitu, kualiti bunyi yang dihasilkan memadai dengan harga kereta ini sendiri.

30. Vios tiada corong penyaman udara untuk bahagian belakang namun angin yang datang dari papan pemuka dadapan sudah cukup untuk menyejukkan penumpang di belakang.

Vios 2019: boleh dipertimbangkan atau disenaraikan atau dielakkan?

Sebaik sahaja mengetahui Vios baru ini masih menggunakan platform dan cesi lama, penulis sebenarnya agak kecewa dan mengkritik sikap Toyota yang kelihatan kedekut untuk menggunakan cesi TNGA. Namun setelah memandu uji selama 10 hari, apa yang dapat dirumuskan ialah Vios merupakan kereta segmen B yang paling selesa dan sesuai untuk 65% populasi pasaran.

Vios bukanlah sedan yang paling berkuasa, Mazda 2 masih lagi mempunyai pengendalian yang paling dinamik dan Vento memiliki kotak gear yang paling canggih. Namun jika dinilai secara keseluruhan pakej, Vios menawarkan satu produk yang berbaloi dan lasak untuk dimiliki. Toyota tampil menyempurnakan sistem penyerap hentak memberikan dimensi baru bagi pengendalian Vios berserta beberapa ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan dan tidak ada pada segmen C.

Jangan hiraukan sangat golongan “haters”  Toyota kerana bukan mereka yang membayar duit pendahuluan, bayaran bulanan dan juga kos servis. Mengkritik lebih mudah dilakukan berbanding melakukan Kaizen. Kan?

Google ads
Back to top button