Pandu Uji

HONDA CITY HATCBACK RS, SEBELAH KAKI DAH JADI KERETA ELEKTRIK

13 tahun yang lepas, tidak banyak jika anda ingin membeli sebuah kereta baru. Kalau anda perlukan sebuah kereta kompak, ada Viva dan Myvi. Kalau anda mahukan sebuah sedan mampu milik jawapannya ialah Saga. Tapi jika anda mahukan sebuah sedan yang menawarkan kualiti pemanduan yang lebih, maka anda akan memilih Honda City

Honda City ketika itu dilancarkan dengan pakej yang cukup lengkap, ada rupa yang sporti, kualiti pemanduan yang baik, enjin berkuasa dan menjimatkan bahan api. Ia sememangnya default choice bagi kebanyakan anak muda yang baru bekerja kalau mampu dari segi kewangan.

Malah penulis satu ketika dulu pernah menggunakan Honda City GM6 dan ia sebuah sedan kompak yang memenuhi selera penulis baik dari segi kuasa, penjimatan bahan api, ruang yang luas dan pengendalian. Bagi versi terbaru, Honda menawarkan varian City Hatchback bagi menggantikan Honda Jazz

Strategi yang diambil oleh Honda ini mudah difahami jika anda melihat Honda Jazz yang dipasarkan untuk pasaran Jepun dan Eropah. Comel sangat rekaannya dan penulis pasti peminat Honda di Malaysia sukar menerima rekaan sebegitu.

Kali ini Mekanika menerima Honda City Hatchback untuk diuji dalam varian RS i-MMD iaitu varian tertinggi dengan rekaan yang lebih sporti dan trenkuasa termaju. Perkataan RS membawa maksud Road Sailing dengan City Hatchback menerima kemasan luar yang lebih bergaya daripada varian lain.

Ini termasuklah rim 16 inci 2 tona, jeriji depan dengan corak sarang lebah, diffuser belakang dengan kemasan corak karbon, lampu depan dengan rekaan sisik ikan, lampu kabus depan dengan rekaan ala-ala Golf GTi Mk 7.5 dan penggunaan logo Honda berwarna biru yang memberi makluman bahawa model ini datang dengan tren kuasa hibrid

Dari segi saiz, Honda City Hatchback RS akan bersaing dalam segmen kereta kompak kelas B seperti Toyota Yaris dan juga Perodua Myvi. Tapi dengan panjang 4349mm, lebar 1748mm dan jarak antara roda 2600mm City hatchback adalah paling besar dalam kelasnya.

Ruang kargo adalah sebesar 289 liter dengan berat mencecah 1249kg. Ia adalah 98kg lebih berat berbanding dengan varian daripada varian V Sensing disebabkan komponen sistem hibrid seperti 2 unit motor, inverter dan bateri ion lithium

i-MMD atau Intelligent Multi Mode Drive merupakan trenkuasa terbaru daripada Honda yang menggunakan 2 motor elektrik dengan satu motor disambung dengan enjin bagi mengecaj bateri sebesar 1.3kWh dan satu lagi motor disambungkan terus pada tayar.

Motor ini menghasilkan 107 kuasa kuda di antara 3500-8000 RPM dan 253Nm tork dari 0-3500 RPM yang merupakan penggerak utama kepada City Hatchback. Enjin i-VTEC 1500cc yang menghasilkan 96 kuasa kuda dan 127Nm tork ini hanya diberi 2 tugas utama sahaja.

Pada kebanyakan masa, ia ditugaskan untuk mengecaj bateri ion lithium. Jika anda memandu pada halaju yang tinggi contohnya melebihi 100km/jam, barulah ia akan disambungkan pada tayar terus menerusi satu sambungan klac khas dan satu gear tunggal yang menyamai gear 5 bagi gear manual atau gear 6 bagi automatik

Disebabkan mekanisme klac ini, ia tidak boleh dipanggil sebagai kereta elektrik Range Extender. Kuasa enjin telah diturunkan dengan menggunakan kitaran Atkinson yang mengubah pemasaan injap dengan mekanisme VTEC serta nisbah mampatan 13.5:1. VTEC disini berfungsi sebagai penjimat bahan api, bukan untuk kuasa

Dengan ini City Hatchback boleh berfungsi dengan enjin sahaja, gabungan enjin dan motor elektrik dan juga motor elektrik sahaja dengan menjadi EV apabila bateri mencukupi. Untuk mengetahui aliran tenaga yang digunakan oleh enjin, anda perlu membuka meter khas Power Flow di paparan meter

Mode EV

Jika tidak anda tidak tahu apakah yang sedang berlaku melainkan hanya logo EV menyala jika ia berfungsi sebagai EV. Kadangkala enjin akan hidup dengan sendiri bagi mengecaj bateri seperti ia sedang diperah pada 3000 RPM, walhal anda sedang memandu pada 20km/jam.

Kadangkala ia akan bertukar mode EV sewaktu memandu samaada pada kelajuan malar, mendaki bukit atau menuruni bukit. Ikut suka dia nak buat apa dan anda tidak boleh mengawal mode pemanduan apa yang dimahukan

Sistem ini cukup pintar untuk memilih mode pemanduan yang sesuai dan paling efisyen. Sebab inilah ia digelar intelligent. Jangan terkejut kerana City Hatchback sebenarnya tiada kotak gear dan bergantung pada gear tunggal sahaja yang dipanggil sebagai e-CVT.

Ketika ia mula bergerak, motor elektrik ini boleh menjana sehingga 253Nm tork pada tayar dan tidak memerlukan kotak gear untuk menggandakan nilai tork. Malah motor elektrik ini boleh diperah sehingga 8000 RPM tanpa masalah

Tapi jika anda tidak peduli dengan semua maklumat teknikal di atas, pandu sahaja City Hatchback seperti biasa dan anda tidak akan perasan pun perubahan mode pemanduan samaada elektrik petrol ataupun hibrid . Ini kerana perubahan punca tenaga berlaku dengan sangat lancar dan tidak mengganggu ritma pemanduan

Walaupun City Hatchback hanya menggunakan satu gear sahaja pada halaju tinggi, sistem hibrid akan menghasilkan simulasi penukaran gear sama seperti gear automatik tapi bila pedal minyak ditekan. Fil pemanduan City Hatchback ini boleh dirasai oleh badan anda seolah-olah ia sedang menukar gear

Malah meter aliran tenaga di sebelah kiri (bukan meter RPM) akan meniru aksi meter RPM ketika menukar gear. Ia berputar meligat ke kanan, turun sekejap ke kiri dan menyambung semula pergerakan jarum di bahagian bawah. Jadi anda tak perlu risau berkenaan dengan gear kereta ini, ia masih memberikan fil pemanduan seperti kereta biasa.

Salah satu aspek yang boleh dipuji berkenaan dengan City Hatchback ialah prestasi brek yang digabungkan dengan brek regeneratif beroperasi dengan lancar. Ini kerana sesetengah jenama lain, kualiti brek regeneratif yang digunakan terasa “licin” dan kurang meyakinkan.

Malah anda boleh menggunakan pedal brek regeneratif di belakang stering bagi meniru brek enjin ketika menuruni bukit. Tujuan pedal brek regeneratif ini adalah untuk anda mengubah tahap keselesaan brek regeneratif, samaada menjadi semakin agresif atau semakin kurang. Tapi ia seronok digunakan di jalan menuruni bukit dan berselekoh

Honda juga telah menghapuskan masalah titik buta di tiang A dengan mengubah kedudukan cermin sisi ke arah belakang dan diletakkan pada pintu, bukannya pada sudut tiang A. Dalam aspek pengendalian, aspek keselesaan telah diperbaiki menjadikan pemanduan jarak jauh di atas jalan tidak rata menjadi semakin selesa

Pada masa yang sama Honda City Hatchback kekal lincah untuk dibawa bermain di selekoh. Kalau anda terlalu agresif, barulah penumpang belakang akan memberi komplen bahawa anda memandu terlalu laju

City Hatcback juga mengekalkan beberapa ciri unik yang ada pada Honda Jazz seperti kusyen belakang yang boleh dilipat dan disusun mengikut keperluan anda. Ia boleh dilipat semua sekali bagi mode kargo dengan kapasiti 841 liter, dilipat sebelah bagi membawa muatan panjang atau tempat duduk dinaikkan bagi membawa barang tinggi.

Ia juga dilengkapi dengan brek parkir elektrik beserta ciri Hold Assist, 2 poin USB untuk mengecaj, 2 poin soket 12V, sistem multimedia dengan Apple Car Play, Android Auto, kusyen dengan benang dan kemasan merah dan corong penyaman udara untuk penumpang belakang

Dalam ujian pemanduan di jalan raya yang langsung tidak dibuat secara berhemah dan dipandu laju, penulis berjaya mencatatkan purata bacaan bahan api sekitar 22 kilometer bagi setiap liter petrol dengan halaju antara 80-130km/jam.

Senario pemanduan ini melibatkan jalan berbukit, mendaki, memotong kenderaan perlahan, 4 penumpang dan ruang kargo penuh dengan barang. Setangki petrol membenarkan penulis memandu sejauh 740km dengan gaya yang agresif.

Ada 2 kelemahan yang tidak ketara pada City Hatchback ini. Kusyen yang berada di tengah barisan belakang memang kurang selesa seolah-olah anda duduk di atas bonggol. Kedua headlining menyebabkan ruang dalaman nampak sempit berbanding dengan pesaingnya yang lain

Tapi City Hatchback RS ini menunjukkan Honda berani menawarkan trenkuasa separa elektrik yang sangat efisyen, jaminan 5 tahun dan jaminan bateri selama 8 tahun tanpa mengira jarak perjalanan. Jadi anda tidak perlu risaukan masalah pengecasan seperti kereta elektrik biasa tapi pada masa yang sama ia sangat efisyen berbanding kereta berkuasa petrol biasa

Mungkin jika anda memandu secara berhemah, anda berupaya mencatatkan bacaan purata sekitar 27.7 kilometer per liter. Dengan harga sekitar RM 109,800, ia merupakan kereta hibrid kedua termurah selepas Honda City RS sedan.

Jika anda sukar menerima teknologi hibrid, maka teknologi kereta elektrik bukan untuk anda. Satu perkara yang kita perlu ambil kira ialah, kita tidak tahu sampai bile petrol RON 95 kekal pada harga RM 2.05 seliter.

Google ads
Back to top button