Buletin

PENGALAMAN RASAI DUNIA SEBENAR FERRARI DALAM MASA 45 MINIT

Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu acara unik yang membolehkan peserta merasai dunia Ferrari di bilik pameran Ferrari Malaysia di Petaling Jaya.

Berlangsung selama tiga hari, acara private viewing itu menawarkan pengalaman baharu kepada semua peserta kerana mereka berpeluang ‘mengunjungi kilang Ferrari di Maranello menerusi peralatan augmented reality (AR) dan tablet.

Kunjungan secara maya itu membolehkan peserta melihat secara dekat apa yang berlaku di dalam kilang Ferrari. Ini termasuklah tempat memasang enjin, badan kenderaan dan sebagainya.

Bagi memberikan pengalaman yang menyeluruh, bilik pameran itu dibahagikan kepada enam zon berbeza. Setiap zon akan diterangkan oleh pasukan Ferrari Malaysia untuk penerangan yang lebih jelas.

Acara bermula dengan melihat secara dekat jentera Ferrari 488 Challenge Evo sebagai pengenalan terhadap semangat dan DNA perlumbaan Ferrari. Ia turut merangkumi aspek inovasi, teknologi, komitmen terhadap kualiti pertukangan, prestasi dan elemen reka bentuk.

Zon kedua mempamerkan model-model terkini iaitu Ferrari SF90 Spider, Ferrari Portofino M, Ferrari Roma dan penerangan tentang rangkaian penuh jentera Ferrari secara maya.

Zon personalisasi pula membawa peserta kepada Atelier, di mana mereka berpeluang untuk menyerlahkan kreativiti dan merasai pengalaman mengubah suai jentera Ferrari. Ruang tersebut menyediakan rangkaian pilihan material yang luas seperti kulit untuk tempat duduk, kemasan kabin, warna badan kereta dan banyak lagi.  

Di ruang lounge dan komuniti, tetamu dihidangkan dengan pengalaman melawat kilang Maranello menggunakan aplikasi MyFerrari. Pengalaman AR 360 darjah itu juga membolehkan peserta melihat aktiviti yang disertai oleh pemilik Ferrari seperti Corse Clienti, Passione Ferrari, Esperienza Ferrari, Calvacade dan sebagainya.

Zon di tingkat atas ialah Ferrari Approved, satu program persijilan yang memerlukan sesebuah Ferrari terpakai menjalani 190 pemeriksaan oleh juruteknik bertauliah Ferrari.

Kereta-kereta yang dipamerkan di ruang Ferrari Approved turut menunjukkan aksesori dan kit Ferrari Genuine (Out-Of-Range) yang dibangunkan secara eksklusif. Ini membuatkan pemilik Ferrari berasa jentera mereka unik berbanding orang lain.

Lawatan yang mengambil masa hampir sejam itu diakhiri di zon program penyelenggaraan dan servis selepas jualan, merangkumi Genuine Maintenance, MainPower dan Ferrari Premium.

Di sana, terdapat juga sebuah model klasik untuk membolehkan peserta mengetahui tentang program pemeriksaan dan penyelenggaraan jentera klasik, Officina Classiche. Tidak ketinggalan, satu koleksi aksesori tulen Ferrari (In-Range) turut dipamerkan.

Walaupun acara ini cukup ringkas, namun ia tetap mampu memberi pengalaman baharu kepada semua yang turut serta.

GALERI

Google ads
Back to top button