Artikel Pilihan

BANJIR, ADAKAH PENGELUARAN KENDERAAN TERJEJAS? MASA MENUNGGU KERETA BARU MENINGKAT?

Banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini merupakan fenomena alam yang buruk pernah terjadi pada negara Malaysia. Setakat hari ini dianggarkan 50,000 kenderaan rosak akibat banjir dan pihak insuran/takaful berdepan dengan tuntutan sehingga mencecah RM 3 billion. Satu angka yang agak tinggi sebenarnya.

Sekiranya kenderaan rosak melebihi “beyond economic repair” atau bahasa pasarnya sudah tak berbaloi untuk dibaiki, diinsurankan dan pemilik dibayar dengan gantirugi maka pemilik kereta boleh senyum dan mula mencari kereta baru. Hari ini tempah bulan depan dapat? Opps tidak semudah itu pembaca sekalian. Teruskan membaca

Nanti kami akan terangkan sebabnya. Sehingga hari ini, hampir kesemua pengeluar kenderaan di Malaysia terselamat daripada fenomena banjir ini dengan tiada satu kes pun kilang automotif dinaiki air. Ia satu berita yang bagus kerana kalau banjir masuk ke dalam kilang, ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali beroperasi.

Tapi berita kurang baik ialah terdapat beberapa syarikat pembekal atau vendor yang menghasilkan komponen automotif telah terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini. Dan kami pasti terdapat juga pembekal-pembekal kecil yang membekalkan sub komponen (juga juga disebut sebagai child part) terjejas akibat banjir ini.

Dalam industri automotif, hubungan antara syarikat automotif, pembekal utama dan pembekal yang lain disebut sebagai “supply chain”. Hubungan antara syarikat pembekal dan syarikat automotif ini biasanya diikat oleh satu kontrak yang disebut sebagai Supply & Purchase Agreement. Kontrak ini penting kerana kos pembelian yang dibuat oleh syarikat automotif dengan pembekal boleh mencecah nilai billion ringgit.

Apa yang menarik ialah kontrak ini juga menyebut tentang klausa bencana alam atau biasa disebut sebagai “act of god” yang meliputi banjir, ribut, tanah runtuh, peperangan atau dalam kes global kesan pandemik COVID-19. Sekiranya keadaan ini berlaku, vendor tak boleh didenda kerana gagal menghantar komponen automotif.

Dan syarikat pengeluar kenderaan yang berjanji untuk komited dengan satu jumlah yang besar (disebut volume) juga tidak boleh diambil tindakan kerana tidak dapat memenuhi kuota pengeluaran yang diidamkan oleh vendor. Mungkin anda pening sebab apa kena ada kuota pengeluaran (volume) tapi biar kami jelaskan.

Keuntungan bersih hasil jualan komponen ini adalah rendah bagi memastikan harga kereta mampu milik, dan bagi memastikan vendor atau pembekal dapat untung, syarikat automotif biasa akan komited dengan jumlah yang besar. Sebagai contoh mereka meletakkan sasaran 100,000 unit jualan kenderaan dan syarikat pembekal perlu menghantar 100,000 unit komponen.

Sekiranya berlaku bencana alam, syarikat automotif boleh mengambil “production tooling yang meliputi die atau mould” milik mereka untuk dipindahkan kepada mana-mana vendor lain (biasanya pihak pesaing) bagi meneruskan proses pengeluaran komponen automotif sebagai “remedy action” dengan kedua dua pihak saling bersetuju (mutually agreed).

Tapi jika banyak syarikat pembekal yang terjejas akibat banjir, ke mana die dan mould tersebut perlu dipindahkan? Ini kerana kawasan perindustrian Shah Alam menempatkan beberapa syarikat vendor yang terkemuka turut terjejas. Itu kita belum ambil kira lagi kilang-kilang kecil yang menyokong vendor tersebut samaada terjejas ataupun tidak

Mungkin proses memulakan semula pengeluaran setelah banjir akan mengambil sedikit masa yang akan menyebabkan proses pengeluaran kenderaan akan menjadi lambat, seterusnya menyebabkan kereta lambat sampai ke tangan pembeli. Jadi sekiranya anda telah menempah kenderaan dan sampai hari ini belum menerima kereta, bertenang sekejap.

Jika awal tahun dan pertengahan tahun 2021 industri automotif menerima tempias cip komputer tak cukup, hujung tahun pula industri automotif diuji pula dengan musibah banjir. Jadi harap bersabar nanti kereta baru anda akan sampai juga.

Google ads
Back to top button