Buletin

PENYELEWENGAN INSENTIF EV RM5.3 BILION – 12 PENGELUAR EV DI INDIA DISIASAT

India sedang menyiasat kemungkinan terdapat penyelewengan insentif yang diberikan kepada pembuat kenderaan elektrik (EV) di bawah program AS$1.21 bilion (RM5.3 bilion) untuk mempromosikan serta menggalakan pengeluaran EV.

Aduan telah dibuat terhadap 12 pengeluar kenderaan elektrik dan alat ganti, termasuk Hero Electric serta Okinawa Autotech kerana melanggar garis panduan di bawah program tersebut, kata Menteri Industri Berat, Mahendra Nath Pandey.

Antara syarikat lain yang terpalit dengan isu tersebut termasuklah Benling India Energy and Technology, Okaya Ev, Jitendra New Ev Tech, Greaves Electric Mobility, Revolt Intellicorp, Kinetic Green Energy & Power Solutions, Avon Cycles, Lohia Auto Industries, Thukral Electric Bikes dan Victory Electric Vehicles International.

Setakat ini, tiada satu pun syarikat memberi maklum balas segera untuk memberikan sebarang komen kepada Reuters.

Pandey berkata semua aduan sedang diteliti semula oleh agensi, manakala dua pembuat EV telah digantung daripada mengambil insentif tersebut. Dia bagaimanapun tidak menamakan kedua-dua syarikat itu.

India mahu mengembangkan pasaran kereta elektriknya kepada 30 peratus daripada jualan kereta 3 juta setahun menjelang 2030.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan menyediakan insentif kepada pembuat EV dan pembuat kenderaan hibrid untuk mengurangkan harga kenderaan mereka di bawah program Faster Adoption and Manufacturing of Electric Vehicles in India (Fame).

Pandey memberitahu penjualan kenderaan elektrik di bawah program itu telah meningkat daripada 19,100 pada 2019-2020, iaitu ketika skim itu bermula, kepada 442,901 pada 2022-2023 sehingga 9 Disember 2022. – Free Malaysia Today

Google ads
Back to top button