Buletin

PERODUA AXIA 2023 D74A, HARGA BERMULA RM 38,600. LAMPU DEPAN LED & WARNA BARU

Dalam satu sesi pandu uji tertutup bagi pihak media yang diadakan secara tertutup hari ini, Perodua mendedahkan kuantiti jualan Perodua Axia generasi pertama yang telah terjual menghampiri angka 600,000 unit. Malah Perodua Axia dan kembarnya Bezza menyumbangkan sehingga 50% kepada jualan tahunan kenderaan jenama Perodua.

Ia merupakan model Perodua terlaris setakat ini semenjak dilancarkan pada tahun 2014 dengan tempoh pengeluaran menjangkau 8 tahun. Bagi meneruskan momentum jualan yang dibina oleh generasi pertama, Perodua dijangka akan melancarkan Perodua Axia generasi kedua D74A pada 14 Februari nanti

Perodua Axia generasi kedua bakal membuat penampilan yang lebih bergaya dengan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture yang serba baru. Berdasarkan pengamatan kami sewaktu pandu uji ringkas yang dijalankan, Perodua Axia baru adalah lebih lebar, lebih luas, dan panjang berbanding dengan model generasi pertama

Malah ia tampil lagi sporti dengan rekaan yang kelihatan lebih rendah berbanding dengan generasi terdahulu. Enjin 3 silinder 1000cc 1KR-VE dengan sistem pemasaan injap VVT-i menjana sehingga 67 kuasa kuda dan 91 Nm tork dikekalkan pada Axia baru.

Transmisi 4 kelajuan automatik pula digantikan dengan transmisi Dual Mode CVT bagi memboleh Axia generasi baru mencapai penjimatan sehingga 25.3km bagi setiap liter petrol atau 8% lebih jimat berbanding sebelumnya. Bagi varian SE dan AV yang dipasang dengan sistem Start Stop Eco-Idle, penjimatan bahan api meningkat kepada 27.4km bagi setiap liter petrol.

Angka ini sebenarnya menghampiri angka yang dihasilkan oleh kenderaan hibrid, turut disumbangkan oleh beberapa faktor lain seperti seretan aerodinamik yang lebih rendah sebanyak 10% dan penggunaan tayar dengan pekali geseran yang lebih rendah

Antara ciri-ciri baru yang ditampilkan termasuklah lampu utama dengan teknologi LED bagi varian X, SE dan AV manakala varian G kekal menggunakan lampu halogen. Di bahagian sisi, perumah tayar depan dan belakang kelihatan sedikit terkeluar bagi menghasilkan rekaan yang lebih sporti dan agresif.

Bagi varian AV pula, lampu signal menggunakan lampu LED yang diposisikan pada cermin sisi. Malah cermin sisi ini akan tertutup secara automatik jika kereta dikunci dengan menggunakan sistem keyless entry. Untuk bahagian dalam pula, rekaan papan pemuka diberikan sentuhan baru yang nampak lebih mahal, premium dan juga sporti berbanding dengan rekaan lama

Varian AV menerima skrin sesentuh 9 inci, kemasan krom di bahagian papan pemuka dan balutan separa kulit sama seperti yang digunakan pada Perodua Alza selain kontur penyandar tempat duduk telah direka semula untuk perjalanan yang lebih selesa. Kedudukan tombol gear juga dinaikkan sedikit bagi memudahkan pemandu menukar gear dengan lebih senang serta kedudukan stering kini boleh dilaras.

Berdasarkan makluman awal dari Perodua, bahagian dalam Axia generasi kedua adalah 40mm lebih lebar berbanding dengan generasi pertama. Perhatian juga diberikan bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik dengan menggunakan spring dengan pekali yang lebih rendah serta menawarkan bahan kedap bunyi yang lebih baik agar penumpang dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa

Sesuai sebagai sebuah kereta kompak untuk kegunaan bandar, jejari pusingan juga telah dikecilkan kepada 4.5 meter. Varian AV menerima ciri keselamatan yang penuh merangkumi 6 beg udara, sistem brek ABS, sistem kawalan kestabilan elektronik VSC serta Perodua Smart Drive Assist.

PSDA ini akan merangkumi sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, Lane Keep Assist, lampu tinggi automatik, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan trafik di bahagian belakang namun tidak akan menerima sistem pemanduan adaptif yang digunakan oleh Ativa, Alza dan Myvi.

Perodua Axia 2023 akan ditawarkan dengan harga permulaan RM 38,600 bagi varian G iait varian terendah dan bagi varian AV yang lengkap dengan semua ciri moden dan menarik akan dijual dengan harga RM 49500. Terdapat 5 warna yang akan ditawarkan termasuklah satu warna baru Coral Blue

Google ads
Back to top button