Buletin

PRAGA ZS 800, KELAHIRAN SEMULA MOTOSIKAL VINTAJ BD 500!

Industri kenderaan bermotor sudah pun berusia lebih seratus tahun. Sepanjang lebih satu kurun, terlalu banyak jenama kereta dan motosikal yang boleh disenaraikan.

Dari jumlah tersebut, Praga yang ditubuhkan pada tahun 1907 masih lagi beroperasi pada hari ini.

Praga beroperasi di Prague, Republik Czech dan sepanjang sejarahnya syarikat merekabentuk, membangunkan dan mengeluarkan kereta lumba, kereta massa, kapal terbang, trak, bas, motosikal dan kereta.

Hebat bukan? Praga turut mempunyai kejohanan perlumbaan sendiri iaitu Praga Cup UK. 

Selepas kejayaan di litar lumba, Praga kembali ke jalan raya awam dengan memperkenalkan kereta hiper Bohema pada 2022 dan dikeluarkan dalam jumlah terhad 89 unit dan dijual pada harga 1.1 juta Pound Sterling (RM5.69 juta).

Terbaru Praga melancarkan motosikal ZS 800 yang merupakan terjemahan moden BD 500 1928. 

ZS 800 dihasilkan oleh pasukan kejuruteraan mahir yang sama membangunkan kereta hiper Bohema.

Motosikal itu dibuat menggunakan proses pengeluaran dan bahan canggih dari dunia perlumbaan dengan karakter dan perincian reka bentuk BD 500.

Hasilnya seperti motosikal vintaj yang dibawa ke zaman sekarang. ZS 800 juga seperti arka seni yang penuh nilai artistik.

BD 500 pertama kali dikeluarkan dari kilang Breitfeld-Daněk di Prague pada 1928 dan tampil sebagai motosikal moden pada waktunya.

Rekaan awal BD 500 diilhamkan oleh pereka muda penerbangan dan pencinta motosikal, Jaroslav František Koch.

BD 500 menggunakan satu daripada enjin DOHC empat lejang terawal yang direka oleh Koch dan beliau sendiri mencipta sejarah dengan menunggang BD 500 dari Rome ke Prague.

Jarak destinasi itu sejauh 1,480 kilometer dan beliau mengambil masa 35 jam dan 40 minit seterusnya mencatatkan rekod daya tahan (endurance) baharu.

ZS 800 adalah cetusan idea Jan Žuži, seorang jurutera yang terlibat dalam Bohema dan projek motosikal ini bermula dari minat beliau untuk menghasilkan semula BD 500.

Bersama rakan jurutera Radek Šebesta, Jan membangunkan konsep dengan menggabungkan kemahiran kejuruteraan dan dedikasi bersama keupayaan pengeluaran dan teknologi perlumbaan Praga.

Dari situ ZS 800 dilahirkan dengan pengaruh kuat karakter dan reka bentuk motosikal vintaj BD 500.

Spesifikasi Praga ZS 800

Enjin

  • 773cc, empat lejang, silinder berkembar selari, SOHC, empat injap setiap silinder (Kawasaki W800)
  • Gerek dan lejang: 77 mm x 83 mm
  • Nisbah mampatan: 8.4:1
  • Ekzos: Titanium aloi

Transmisi

  • Lima kelajuan manual
  • Cekam: Berbilang plat

Prestasi

  • Kuasa: 50 hp
  • Daya kilas: 65Nm

Badan

  • Tangki minyak 11.5 liter
  • Pelana tunggal dengan suspensi Öhlins larasan penuh 
  • Madgad karbon tempa (forged)
  • Berat kering 142 kg
  • Pembahagian berat 50:50 di antara roda

Casis

  • Rangka besi chrome molybdenum (besi Sweden yang dipanggil DOCOL 15CDV6)
  • Lebar hendal: 800 mm
  • Ukur lilit hendal: 28.6 mm
  • Jarak roda: 1,435 mm
  • Sudut condong (rake): 27 darjah
  • Jarak jejak (trail): 100 mm
  • Tinggi pelana: 795 mm

Brek

  • Depan: Hidraulik, gelendong simpleks berkembar 200 mm
  • Belakang: Hidraulik, gelendong simpleks 200 mm

Suspensi

  • Depan: Sepit udang girder dengan suspensi Öhlins TTX22
  • Belakang: Jenis hard tail dengan suspensi Öhlins TTX22 di bawah pelana

Roda

  • Rim depan: Karbon tempa r18” x 2.5” dengan jejari karbon
  • Rim belakang: Karbon tempa r18” x 3.5” dengan jejari karbon
  • Tayar depan: Dunlop Roadmaster TT100 GP 100/90-18 56H F T TL
  • Tayar belakang: Dunlop Roadmaster TT110 GP 130/80-18 66H R TT

Praga ZS 800 ditawarkan pada harga 75,550 Euro (RM348,527.04) tidak termasuk cukai dan penghantaran kepada pelanggan bermula pada pertengahan 2023.

Hanya 28 buah ZS 800 sahaja dikeluarkan dan unit pertama dibuat untuk seorang pelanggan di Dubai.

BACA: SENYAP-SENYAP KAWASAKI HASILKAN SEMULA MODEL RETRO W800 2019 – HARGA CUMA RM40K

BACA: MAEVING RM1, MOTOSIKAL ELEKTRIK BUATAN BRITAIN GAYA RETRO!

BACA: ITALJET DRAGSTER KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, BREK BREMBO, TOP SPEED 108KM/J, ANGGARAN BERMULA RM30K!

Google ads
Back to top button