
AXIA 2023 (D74A) TERIMA PENARAFAN 4 BINTANG ASEAN NCAP – SKOR KESELURUHAN 73.55 MATA
Axia 2023 (D74A) telah menerima penarafan 4-Bintang ASEAN NCAP dengan jumlah skor keseluruhan 73.55 mata.
Keputusan ujian tersebut didedahkan di laman sesawang rasmi Program Penilaian Kereta Baharu Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
Mengikut protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025, antara yang dinilai oleh ASEAN NCAP ialah Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) dan Keselamatan Motosikal (MS).

Menerusi penilaian tersebut, Axia 2023 telah memperolehi skor 32.06 mata daripada 40.00 mata keseluruhan untuk kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) mencatat 17.03 mata daripada 20.00 mata keseluruhan.
Sementara kategori Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT), Axia 2023 mengutip 15.71 mata daripada 20.00 mata keseluruhan dan 8.75 mata daripada 20.00 mata keseluruhan untuk kategori Keselamatan Motosikal (MS).
Axia serba baharu ini akan didatangkan dengan empat pilihan varian iaitu G, X, SE dan AV. Kesemua varian didatangkan secara standard dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), bantuan mula mendaki (HHA) serta kawalan cengkaman (TRC).
Bagi varian AV, ia disertakan dengan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) dan enam beg udara.
Kereta kompak itu dikuasakan oleh enjin tiga-silinder 1000cc 1KR-VE dengan sistem pemasaan injap VVT-i. Enjin itu akan menjana kuasa sehingga 67hp dan tok 91Nm yang dipadankan dengan transmisi Dual Mode CVT.
Sebagai perbandingan, Axia generasi sebelumnya menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik. – Funtasticko








