Buletin

RIDER PETRONAS YAMAHA SRT TAK SABAR MASUK LITAR BULAN DEPAN

Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) teruja dengan pengumuman terbaharu kalendar MotoGP yang akan kembali memanaskan litar bulan hadapan.

Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo tidak sabar untuk kembali beraksi di litar. Bagaimanapun, mereka memaklumkan perlu membiasakan diri dengan perlumbaan tanpa kelibat para peminat.

Quartararo menjelaskan  beliau amat gembira dengan pengumuman oleh Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP dan Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) berkaitan jadual baharu kalendar MotoGP yang akan menyaksikan 16 perlumbaan diadakan termasuk MotoGP Malaysia pada November.

“Saya telah berlatih bersungguh-sungguh menanti permulaan musim baharu ini. Sudah pasti ia kalendar yang berlainan apabila dapat diteruskan dalam situasi luar biasa ini.

“Kami akan hadapi perlumbaan berturut-turut di litar sama dan jumlah GP berkurangan. Tetapi saya rasa apa yang lebih penting adalah untuk menamatkan perlumbaan dan menghabiskan satu-satu perlumbaan dahulu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan.

Beliau menjelaskan, pasukan perlu berhati-hati dengan aspak kemalangan dan kecederaan. Ini kerana dalam kejohanan yang begitu rapat, satu kecederaan boleh menyebabkan pelumba terkeluar dari banyak perlumbaan. Ia juga amat penting untuk mengikuti protokol dengan betul.

Morbidelli yang bersependapat dengan Quartararo turut berterima kasih dengan Dorna Sports, IRTA yang membenarkan pelumba memulakan perlumbaan bulan hadapan.

“Kami akan rindukan peminat dan suasana minggu GP yang normal. Tetapi kami faham yang ini merupakan situasi percubaan dan tidak lama lagi kita akan kembali kepada kehidupan normal.

“Untuk sampai ke tahap itu, kita perlu bertindak dengan selamat dan bertanggungjawab. Dorna dan IRTA telah berjaya menganjurkan sesuatu yang dianggap mustahil. Jadi sekarang kita perlu ikut nasihat dan elakkan isu pada saat akhir,” ujarnya

Ketua pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali menyatakan pihaknya bersedia mengikuti SOP yang ditetapkan Dorna Sports bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

“Walaupun kami akan kembali beraksi, ia akan kelihatan lain di litar. Perlumbaan pertama akan diadakan tanpa penonton dan jumlah orang yang kurang di paddok berbanding sebelum ini.

“Kami berharap untuk kembali normal selepas ini dan tetapi buat masa ini, terdapat beberapa sekatan dikenakan,” katanya.

Tags
Google ads
Back to top button