
Alex Marquez akan kekal bersaing dalam Kejuaraan Dunia kelas Moto2 bersama Marc VDS untuk tahun 2020 selepas menandatangani kontrak setahun bersama pasukan tersebut.
Ia mengakhiri spekulasi yang berlegar sejak minggu lalu mengenai masa depan pelumba berusia 23 tahun itu berkenaan kemungkinan beliau berhijrah ke kelas premier MotoGP.
Awal minggu lalu, menurut laporan Motorsport.com, Petronas SRT sedang mengintai peluang untuk membawa masuk adik Marc Marquez, iaitu Alex Marquez bersama pasukan mereka untuk tahun 2020. Ia bagi memperkuatkan lagi barisan pelumba kelas Moto2.
Beliau yang berkhidmat bersama pasukan Marc VDS sejak menyertai Moto2 pada 2015 telah mencatat tiga kemenangan utama dan 13 kedudukan podium.
Meskipun pernah dikaitkan dengan pasukan Pramac Ducati MotoGP pada awal tahun ini, Alex Marquez dalam satu kenyataan telah membuat keputusan untuk kekal dalam saingan kelas Moto2 tahun depan meskipun berpeluang untuk naik ke kelas premier MotoGP.