,
Buletin

PROTON X50 – 5 PERKARA YANG KAMI TAHU SETAKAT INI

Perancangan Proton untuk memperkenalkan SUV pertama di dalam barisan produknya ternyata berjaya. Selain daripada peningkatan jualan, imej Proton di mata pengguna juga semakin baik. 

Ini boleh dilihat melalui jualan Proton berjumlah 52,108 unit setakat Julai 2019 berbanding 35,208 unit di dalam tempoh sama tahun lalu. Proton juga kembali pada kedudukan kedua terlaris di pasaran tempatan selepas ketinggalan untuk beberapa ketika.

Selain memperkenalkan empat model facelift, Proton giat meningkatkan mutu khidmat selepas jualan dan pengalaman pelanggan melalui bilik pameran dan pusat servis baharu.

Dari segi pengeluaran, Proton sedang berada di dalam fasa akhir pembinaan fasiliti baharu di kilang Tanjung Malim sebagai tambahan kepada kapasiti sedia ada dan pemasangan model-model masa depan.

Di antara model pertama yang bakal dikeluarkan di fasiliti baharu nanti ialah Proton X70 pemasangan tempatan (CKD). Selepas itu khabarnya Proton akan mengeluarkan model SUV kompak X50.

Proton X50 sedang hangat diperkatakan sekarang dan tidak salah jika kami katakan ramai yang menunggu-nunggu untuk membayar deposit bagi memilikinya.

Kakitangan teknikal Proton juga sedang giat menguji SUV ini dan buktinya ialah melalui sejumlah foto ujian yang ditemui di jalan raya tempatan.

Foto terbaru yang ditemui menunjukkan SUV ini sudah pun siap dengan pemanduan sebelah kanan.

Jika benar, maknanya X50 sudah pun mencapai kemajuan besar memandangkan kerja-kerja penukaran pemanduan kiri ke kanan adalah suatu yang rumit.

Sementara menunggu Proton X50 disahkan secara rasmi berikut ialah lima maklumat yang kami kumpulkan berdasarkan Geely Binyue/SX11:

1. Diasaskan daripada platform BMA

Geely membangunkan platform B-segment Modular Architecture (BMA) untuk pasaran domestik dan global. Selain SX11, platform BMA turut digunakan pada sedan kompak Bin Rui.

Geely mempunyai rancangan besar untuk platform ini dan bakal digunakan pada pelbagai model seperti SUV, sedan, crossover, wagon dan MPV.

2. Enjin tiga silinder 1.0L turbo dan 1.5L turbo

Di China, Geely Binyue dilengkapi enjin kecil 1.0L turbo berkuasa 134 hp dan tork 205 Nm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual.

Enjin 1.5L turbo pula berkuasa 177 hp dan tork 255 Nm yang dibangunkan secara bersama dengan Volvo. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7DCT.

SX11 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.9 saat.

3. Saiz sederhana

Saiz SX11 adalah sederhana dan berada di dalam segmen B atau B+ seperti Honda HR-V. Berikut ialah perbandingan di antara dua model tersebut:

Geely SX11 (mm) – 4,330 (p), 1,800 (l), 1,609 (t), 2,600 (jr)

Honda HR-V facelift (mm) – 4,335 (p), 1,770 (l), 1,605 (t), 2610 (jr)

Saiz tersebut menunjukkan dimensi SX11 dan HR-V tidak jauh berbeza namun ia perlu diadili di depan mata terutama sekali olahan dan susunan bahagian dalam.

4. Perubahan pada Proton X50?

Kami menjangkakan X50 menggunakan formula sama seperti X70. Di antaranya ialah gril Infinite Weave dan ulangan pada beberapa komponen dalaman seperti penutup pembesar suara.

Satu kebetulan di antara Geely dan Proton ialah penggunaan harimau sebagai rujukan reka bentuk. Jadi tidak hairan apabila tidak banyak perkara yang diubah kerana kedua-dua syarikat ini mempunyai falsafah sama.

Dari segi teknologi keselamatan, kami percaya Proton akan melengkapkannya dengan sebaik mungkin sama seperti X70. 

Sebagai rujukan, Binyue dilengkapi kawalan jelajah adaptif, bantuan parkir automatik dan sistem brek kecemasan automatik.

Pengekalan pakej ini akan membuatkan X50 jauh ke hadapan dan lengkap berbanding pesaing lain.

5. Harga dan bila akan dilancarkan?

Ini soalan yang sukar untuk dijawab. Proton X70 yang diimport sepenuhnya dari China dipasarkan dari RM99,800 hingga RM123,800. X50 pula bakal dipasang di Tanjung Malim yang pasti akan memberikan kelebihan dari segi harga.

Oleh itu, jangkaan kami ialah sekitar RM80,000 untuk model paling asas dan sekitar RM100,000 bagi model premium. Harga tersebut jika menjadi kenyataan mempunyai julat yang berbeza berbanding model lain di pasaran.

Tentang tarikh pelancaran, sekali lagi sukar hendak dijawab dan selamat untuk dinyatakan pada tahun hadapan. Berkemungkinan pada pertengahan tahun atau Oktober 2020 berdasarkan kenyataan AmInvestment.

Apa pun, kita tunggu pengesahan lanjut daripada Proton dan kami akan laporkan dari semasa ke semasa.

BACA: PROTON X70 AKAN DILANCARKAN NOVEMBER. HARGA LEBIH MURAH!

BACA: PROTON R3 BAGI DUIT PADA SIAPA YANG KREATIF CIPTA LIVERY KERETA MEREKA

BACA: GEELY DAN PROTON, CABARAN YANG MULA MEMBUAHKAN HASIL

Foto: Geely

Tags
Google ads
Back to top button