
NISSAN KICKS KINI DI THAI, SAINGI HR-V, CX-3 (DAN X50?)
Nissan Kicks sebenarnya telah beberapa tahun berada di pasaran antarabangsa. SUV segmen B ini pertama kali dilancarkan di Brazil pada 2016 dan tahun berikutya di China dan Amerika Syarikat.
Di beberapa buah negara, Kicks menggantikan SUV unik Juke dan di peringkat global bersaing dengan Honda HR-V, Mazda CX-3, Toyota C-HR dan sebagainya. Di peringkat ASEAN, Juke dilancarkan 15 Mei 2020 dan ada dua perkara menarik mengenainya.
Pertama, Kicks yang dilancarkan ini adalah versi yang dipertingkatkan (facelift) dan Thailand adalah pasaran pertama di dunia yang menerimanya.
Kedua, ini adalah Kicks e-POWER yang menggunakan teknologi range extender dan negara kedua selepas Jepun dengan teknologi gabungan enjin petrol dan motor elektrik tersebut.
Secara ringkasnya, Kicks e-POWER dilengkapi enjin HR12DE 1.2 liter tiga silinder dengan output kuasa 79 PS pada 5,400 rpm dan tork 103 Nm pada 4,400 rpm.
Bagaimanapun, enjin konvensional itu tidak menguasakan roda seperti biasa tetapi hanya berfungsi sebagai penjana (generator) kepada rangkaian kuasa elektrik.
Iya, tugas enjin ialah menjana kuasa kepada komponen elektrik yang terdiri daripada bateri lithium-ion 1.57 kWh, motor elektrik EM57 dan penyongsang (inverter).
Dari situ, tugas memacu roda ialah motor elektrik dengan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik (EV).
Dari segi kuasa, sistem e-POWER mempunyai output maksimum 95 kW (129) PS dan tork maksimum 260 Nm.
Berikut ialah karakter teknologi e-POWER:
- Apabila kuasa tambahan pecutan diperlukan atau melalui dakian curam, motor elektrik menerima kuasa daripada bateri dan enjin.
- Semasa nyahpecutan, enjin berhenti berfungsi dan kuasa regeneratif digunakan untuk mengecas bateri sehingga kereta berhenti sepenuhnya. Dari situ tenaga tidak dibazirkan.
- Teknologi satu pedal membolehkan pemandu menggerakkan, memecut, memperlahan atau menghentikan kereta hanya dengan pedal “minyak” (accelerator) sahaja.
- Melalui teknologi satu pedal, tugas seperti anggaran jarak di antara kereta, memperlahan, berhenti semasa menuruni bukit atau di lampu isyarat dipermudah secara signifikan.
Dari segi pemanduan, Kicks e-POWER mempunyai empat mod pemanduan iaitu Normal, S, Eco dan EV dengan talaan berbeza untuk prestasi pecutan, penjimatan tenaga dan sebagainya.
Pakej keselamatan Kicks e-POWER juga bagus dan disenaraikan di bawah:
- Nissan Intelligent Mobility di antaranya Intelligent Cruise Control, Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Intelligent Around View Monitor dengan Moving Object Detection dan Intelligent Rear View Mirror.
- Enam beg udara, ABS, EBD, BA standard untuk semua varian.
Untuk reka bentuk, Kicks facelift menerima beberapa kelengkapan baharu seperti lampu LED lebih tirus, gril V-motion lebih besar, bampar depan dan belakang dengan diffuser dan lampu belakang nyalaan bumerang.
Berikut ialah varian dan harga pengenalan Nissan Kicks e-POWER:
- 1.2 L S 889,000 baht (RM120,650)
- 1.2 L E 949,000 baht (RM128,793)
- 1.2 L V 999,000 baht (RM135,579)
- 1.2 L VL 1,049,000 baht (RM142,365)
Dari segi perlindungan, Nissan menawarkan waranti untuk bateri lithium-ion sehingga sepuluh tahun dan sistem elektrik sehingga lima tahun.
Waranti kenderaan adalah selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana dahulu.
Selain pasaran pertama yang menerima Kicks e-POWER, Thailand juga negara pertama mengeluarkan teknologi e-POWER selepas Jepun dan perkembangan positif untuk rantau ASEAN.
Adakah negara kita menyusul? Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sebelum ini pernah mengesahkan tawaran Kicks di pasaran tempatan cuma tidak dapat dapat dipastikan sama ada kita juga bakal menerima teknologi e-POWER.
Jika ditawarkan kelak, pasaran SUV segmen B pasti menarik kerana Kicks bakal bersaing dengan SUV dari Proton dan Perodua selain model-model yang sudah berada di pasaran.
- BACA: PADA 2005 NISSAN WINGROAD DIPERKENAL – SIRI AKHIR AD RESORT
- BACA: ADA KATIL DALAM NISSAN SERENA DAN NV200 JDM (BUKAN TIDUR MASA MEMANDU)
- BACA: NISSAN FRONTIER (NAVARA) ENJIN 3.8L V8 DI AS!