
PROTON SAGA MC2 FACELIFT 2022, SAGA TERBAIK SETAKAT INI
Bila diimbas kembali pada tahun Bulan Mei 2022, penulis tidaklah berasa teruja sangat dengan Proton Saga MC Facelift ketika ia dilancarkan. Salah satu sebabnya ialah ia masih mengekalkan enjin 1332cc 4 silinder VVT yang menghasilkan 94 kuasa kuda dan 120Nm tork pada 4000 RPM bukannya enjin baru atau transmisi baru.
Salah satu sebabnya ialah walaupun transmisi 4 kelajuan automatik ini jauh lebih bagus berbanding dengan transmisi CVT, namun penulis mendapati purata penggunaan bahan api Saga 2019 hanyalah sekitar 13.14km per liter.
Sebagai perbandingan penulis pernah mendapat hampir 20km/liter bagi Perodua Bezza dengan corak pemanduan yang sama. Setelah mengambil Proton Saga Premium S AT, barulah penulis mendapati Saga 2022 ini diberi beberapa perubahan kecil yang menjadikannya jauh lebih menarik berbanding dengan versi 2019. Antaranya ialah:

1. Dari bahagian sisi, Saga 2022 menerima kemasan skirting yang menjadikan rekaan tepi secara keseluruhan nampak lagi kemas. Ditambah lagi dengan rekaan rim bersaiz 15 dengan 4 bilah serta kemasan 2 tona bagi menggantikan rim 5 bilah yang kelihatan terlebih sport.
2. Bahagian depan menerima kemasan ‘Ethereal Bow’ berwarna merah bagi menggantikan kemasan krom serta kemasan krom belakang digantikan dengan warna hitam sepenuhnya. Latar belakang tulisan PROTON juga diberikan kemasan hitam.
Secara keseluruhan bahagian luar Saga Premium S nampak lebih eksekutif berbanding dengan model 2019. Tapi jika anda teliti di bahagian dalam kabin, perubahan yang diterima adalah lebih baik dan kemas.

3. Balutan fabrik ala-ala jeans digantikan dengan balutan fabrik dan PVC serta diberikan jahitan benang warna merah. Rekaan perehat kepala pula mengingatkan penulis kepada rekaan yang sama digunakan oleh Volvo
4. Kemasan papan pemuka dirombak semula dengan tombol penyaman udara diberikan suis baru sama seperti yang digunakan oleh Persona/Iriz dengan saiz yang lebih kompak. Suis-suis aksesori lain diangkat ke atas dengan memberikan lebih banyak ruang simpanan
Jadi di bawah tombol suis penyaman udara, anda akan mendapat satu ruang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan telefon ketika dicaj, satu lagi ruang simpanan untuk meletakkan perkakasan lain seperti kunci rumah dan 2 tempat meletakkan minuman

5. Butang tekan hidup diposisikan di bahagian kanan dan ia merupakan satu ciri baru khas untuk model Premium S sahaja.
6. Corong penyaman diberikan bingkai berwarna merah, warna yang sama digunakan untuk benang kusyen, stering, bingkai paparan meter dan pelapik kaki
Secara keseluruhan bahagian dalaman kabin Saga MC 2022 nampak lebih kena dengan selera penulis berbanding dengan model 2019. Antara pemerhatian penulis ketika memandu uji Saga MC2 2022 ialah:
7. Dalam aspek NVH, Saga MC2 2022 adalah lebih senyap dengan mencatatkan bacaan purata sekitar 61dB sahaja berbanding dengan model lama yang mencatatkan bacaan 70dB pada halaju 110km/jam. Salah satu faktor yang menyumbangkan kepada penurunan bunyi tayar ialah penggunaan tayar Atlas AS380

Apa yang tertera pada tayar ini ialah “Soundless” dan penulis bersetuju dengan prestasi tayar ini. Ia masih mengikut kehendak penulis dengan baik ketika melayan selekoh namun kalah ketika hujan lebat melanda. Adalah lebih baik Saga dipandu di bawah halaju 110km/jam ketika hujan lebat
Malah bunyi enjin jarang sekali menerjah masuk ke dalam kabin pada halaju 110-120km/jam, melainkan anda perah sampai 6000 RPM ketika memotong. Masalah gegaran halus pada stering ketika enjin idle juga tidak lagi terasa pada model baru
Cara cesi Saga terhenjut ketika melalui jalan tidak rata juga terasa mahal dan selesa, tidak melantun-lantun seperti kebanyakan kereta murah yang lain. Paling mahal ialah bila anda boleh rasa bahagian ekor atau cesi belakang mengikut input stering dengan senang. Memang sedap bawak Proton Saga di selekoh
8. Penggunaan bahan api juga telah berkurang dengan baik. Satu isian tangki penuh (diisi ketika lampu berkelip) memerlukan sekitar RM 67 (32.682 liter) membolehkan Saga MC2 dipandu sejauh 567km mengikut anggaran meter. Tapi penulis hanya mendapat 500km sahaja dengan purata 15.3km/liter bagi setiap liter dengan halaju malar 110-120km/jam di lebuh raya

9. Dalam aspek ergonomik, Proton Saga menawarkan penyandar kusyen yang sangat selesa tanpa menyebabkan penulis menjadi letih atau pinggang menjadi lenguh walaupun memandu untuk jarak jauh. Kusyen baru ini terasa lebih “memeluk” badan berbanding dengan kusyen yang lama pada model 2019
Ditambah pula dengan stering dibalut dengan kulit dan boleh dilaraskan, tangan dan bahu penulis tidak terasa penat walaupun berjam jam memandu. Cuma sayang sebab kadang kala paparan meter akan terhalang dengan roda stering
10. Bunyi dan kualiti audio dari unit pembesar suara yang digunakan boleh dikatakan sedap untuik sebuah kereta bajet. Tiada Apple Car Play atau Android Auto disini, hanya sambungan Bluetooth sahaja yang disediakan. Kualiti skrin dan kamera pandang belakang juga bagus, mungkin paling terang dalam kelasnya
11. Cagak ISOFIX terjojol keluar, senang nak pasang kerusi bayi dengan senang. Sesetengah model lain cagak ISOFIX tersorok dalam kusyen
Tapi ada beberapa masalah lama yang ada pada Saga 2019 masih lagi kekal pada model baru ini. Ini termasuklah

12. Lampu reflektor dengan mentol halogen yang digunakan memang tidak cukup terang, bagi kereta milik penulis ia telah digantikan dengan Osram Night Breaker Laser yang lebih terang.
13. Tuil lampu besar terasa kasar dan murah bila digunakan, berbanding dengan model lain yang terasa lembut dan lancar. Adalah lebih baik jika lampu DRL dimalapkan sewaktu lampu besar dinyalakan, bukan dimatikan terus
14. Ia masih kalah kepada Perodua Bezza yang menggunakan lampu depan LED dan ditawarkan dengan ciri Advanced Safety Assist lengkap dengan brek kecemasan automatik (AEB)
15. Respon enjin kadang kala terasa lemau walaupun tombol gear S (Sport) digunakan, Mungkin ciri gear L patut diberikan sekali

Jika anda boleh menerima poin nombor 12, 13, 14 dan juga 15, anda mungkin bersetuju dengan pendapat penulis yang Proton Saga MC2 2022 ini adalah pembelian yang terbaik dengan harga RM 44,800.
Jika anda masih mampu membeli kereta, membayar kos servis dan lain lain kos maka anda patut bersyukur kerana tak semua orang mempunyai rezeki yang cukup. Kalau anda bergaji RM 3000 sahaja, beli saja Saga. Duit lebih buat bayar hotel dan jalan-jalan dengan tenang.