
KIT CIPTAAN BORLA BOLEHKAN EV MENGAUM SEPERTI MUSCLE CAR – MENARIK NI
Antara masalah terbesar kenapa ramai kurang berminat dengan EV ialah ketiadaan bunyi deruman ekzos. Bagi pengguna biasa yang pandu kereta untuk ke titik A dari titik B mungkin ia tidak penting tapi bagi penggemar kereta sebenar memang rasa tak cukup syarat la.

Pengeluar ekzos aftermarket terkenal dari AS, Borla mungkin ada penyelesaiannya dengan menggunakan kit keluaran mereka yang mampu memecahkan kesunyian pemilik dan sekaligus menukar kenderaan EV anda kepada muscle car berkuasa V8. Bunyi je lah, nak tukar enjin kopak duit bayar cukai jalan oo.
Ia sebenarnya merupakan permintaan dari syarikat Shelby yang mahukan bunyi ekzos talaan selepas jualan yang berkuasa tinggi. Kit itu sebenarnya mengandungi pembesar suara yang dipasang di bahagian bawah kereta dan kemudian digandingkan dengan amplifier.

Sudah tentu ia melibatkan sistem pendawaian dan unit processor digital yang menghubungkan sistem CANbus kereta dengan pedal agar bunyi yang dihasilkan selari. Ia juga boleh dikawal menggunakan aplikasi telefon pintar.
Sistem ini sudah pun siap dan ia kini boleh dilihat dan dirasai pada sebuah Mustang Mach-E Shelby yang sedang dipamerkan di SEMA, Amerika Syarikat. Nak dengar bunyi macam klik je pada pautan video kat bawah ni.
Borla menyatakan yang pemasangan sistem ini mengambil masa yang sama seperti pemasangan sistem ekzos aftermarket kereta dengan enjin pembakaran dalaman. Buat masa sekarang terdapat tiga pilihan bunyi enjin disediakan, Ford Mustang Shelby GT500, Chevy Camaro dan Corvette C8.
Lebih banyak bunyi ekzos daripada model berbeza akan ditawarkan selepas ini kerana Borla sedang bekerjasama dengan syarikat synthesizer untuk memajukan lagi sistem ini. Hah, siap la lepas Alza vtecvtec meluncur dalam terowong Karak dengan deruman V8. Kalau nampak lampu tinggi berkelip dari belakang tu sila beri laluan okey.
Bunyi ni cuma bunyi tiruan okey. Tapi daripada tak ada langsung tiruan pun tiruanlah.