Buletin

MITSUBISHI DELICA MINI, BAKAL DILANCAR PADA 2023!

Tanpa sebarang bayangan awal, Mitsubishi Motors Corporation secara tiba-tiba berkongsi gambar model baharu kei-wagon Delica Mini! 

Kombinasi nama model ikonik dan gaya badan tinggi begini nampak meyakinkan apatah lagi dengan konsep rekreasi luar atau outdoor.

Sebagai imbasan, nama Delica bermula pada tahun 1968 dengan Delica Truck dan tahun berikutnya Delica Van menyusul selain Delica Coach untuk membawa penumpang.

Model generasi kedua atau Delica Star Wagon diperkenal pada 1979 dan generasi ketiga pada 1986.

Delica Space Gear yang merupakan generasi keempat diperkenal pada 1994 dan popular dengan sistem pacuan empat roda (4WD).

Di pasaran sekarang adalah generasi kelima yang dikeluarkan sejak 2007 dan dikenali sebagai Delica D:5.

Walaupun lama di pasaran, Mitsubishi memperkemaskan Delica D:5 pada 2019 dengan gaya Dynamic Shield.

Delica Mini yang rugged dan comel ini dirancang untuk diperkenalkan pada musim panas 2023 (Jun hingga September) dan menariknya sempena ulang tahun Delica yang ke-55.

Bukan sahaja menarik dengan nama Delica, pemilihan nama Mini itu sendiri mengingatkan kepada Pajero Mini yang juga rugged dan comel.

Mitsubishi sebenarnya sudah pun mempunyai kei-wagon begini dan dikenali sebagai Delica D:2 yang sudah memasuki generasi kedua selepas diperkenalkan pada 2011. Model itu diambil dari Suzuki Solio.

Dari segi teknikal, Mitsubishi belum memperincikan rangkaian kuasa Delica Mini dan selamat untuk dikatakan ianya digerakkan nadi hibrid berdasarkan logo pada pintu belakang.

Reka bentuk Delica Mini terutama sekali bahagian tepi seperti Mitsubishi ek Space dan bahagian depan nampak gah membawakan aura Delica D:5.

Lampu LED separa bulatan pada kei-wagon ini benar-benar menyerlah dengan gril dibuat dalam warna hitam dan skid plate yang membawa imej lasak.

Bahagian belakang juga sama seperti ek Space dan diolah semula supaya tampil dengan imej tersendiri terutama sekali tulisan Delica.

Roda dengan corak ringkas dibuat dalam warna perak gelap dan sepadan dengan tema outdoor kereta ini.

Segalanya nampak sepadan apabila Mitsubishi menggunakan warna badan ash green metallic ala hijau lumut dan seperti sebuah kenderaan askar!

BACA: MITSUBISHI DELICA D:5 TOUGH X TOUGH, SIAP DENGAN AKSESORI RALLIART

BACA: MITSUBISHI VISION RALLIART CONCEPT DIDEDAHKAN

BACA: MITSUBISHI AIRTREK EV, ENJIN 4G63 TURBO DIGANTIKAN DENGAN MOTOR ELEKTRIK

Google ads
Back to top button