PROTON X70 1.5 TGDI EXECUTIVE AWD, HANYA TAMBAH RM 1000 SAHAJA DARI MODEL LAMA
Sewaktu dilancakan pada tahun 2018 dahulu, Proton X70 dilancarkan dalam beberapa varian samaada 3 varian pacuan 2 roda depan ataupun pacuan semua roda AWD. Bagi versi AWD, ia hanya ditawarkan dalam varian Executive sahaja dengan tawaran harga RM 115,800.
Tapi menjelang bulan Februari 2020, varian AWD 1.8 tidak lagi ditawarkan atas kapasiti permintaan yang kurang. Hanya 5% sahaja pelanggan memilih untuk membeli varian AWD, satu angka yang cukup untuk menjustifikasikan penamatan varian AWD kepada pengguna
Tapivarian AWD kini kembali membuat kemunculan semula pada tahun 2022 ketika versi facelift dilancarkan. Berbeza dengan model tahun 2018 ketika dilancarkan dulu, model 2022 menerima pelbagai ciri naiktaraf yang bernilai dengan wang yang dibelanjakan
Dari segi penampilan luaran, mungkin rekaan versi 2022 adalah 95% sama dengan versi 2018. Rekaan luar yang berbeza hanyalah pada penggunaan logo baru bulat, rim 18 dengan corak baru, bampar kemasan hitam berkilat di depan dan juga belakang
Perubahan yang terbesar ialah pada unit trenkuasa ini sendiri dimana enjin 4 silinder 1.8 TGDi digantikan dengan enjin 3 silinder 1.5 TGDi yang sama seperti digunakan oleh Proton X50. Di sini unit 3 silinder ini menjana sehingga 175 kuasa kuda dan 275Nm tork seawal 1500 RPM. Bukan itu sahaja, kehilangan satu silinder menjadikan enjin ini lebih ringan, secara tepatnya 43kg lebih ringan
Perubahan ini diikuti dengan penggnaan transmisi klac berkembar 7 kelajuan yang baru, yang jauh lebih cekap berbanding dengan transmisi 6 kelajuan automatik biasa. Sebagai perbandingan, kecekapan mekanika transmisi automatik 6 kelajuan hanyalah 80% sahaja.
Manakala kecekapan mekanikal transmisi 7 kelajuan DCT ini mencapai 94%, bermakna hanya 6% sahaja kuasa terhilang dalam operasi. Kami tiada data berkenaan berat transmisi yang lama, tapi transmisi baru DCT ini hanya seberat 75kg sahaja.
Sebagai perbandingan, model 1.8 TGDi AWD yang lama adalah seberat 1725kg, manakala varian 2022 ini hanyalah seberat 1650kg sahaja. Berat yang kurang akan memberikan penggunaan bahan api yang lebih bagus, nanti kami akan ulas pada perenggan di bawah
Perubahan transmisi juga menyaksikan tombol gear yang beroperasi dengan sistem mekanikal digantikan dengan tombol gear yang berperasi secara shift by wire, sama seperti yang digunakan oleh kebanyakan kereta mahal. Perubahan gear tidak menyebabkan tombol gear berubah kedudukan dan kekal pada tempat yang sama
Pemandu juga boleh memilih untuk menukar gear sendiri dengan ciri Shiftronic, yang boleh mengujakan dengan penggunaan mode pemanduan Sport. Berhampiran tombol gear juga, butang Hill Decent Control turut disediakan sama seperti varian 2WD yang lain. Tiada ciri istimewa yang lain bagi varian AWD ini bagi membezakannya dengan varian 2WD
Bagi pembaca yang skeptical berkenaan dengan Proton X70 yang dipacu dengan enjin 3 silinder 1.5TGDi ini, anda usah khuatir kerana cagak enjin yang digunakan dan binaan enjin 3 silinder ini memang direka untuk menghapuskan terus masalah gegaran dan memberikan NVH yang bagus
Pengimbang berat telah dipasang pada bahagian enjin bagi mengimbangi kekurangan satu silinder pada enjin. Gegaran yang dirasai pada roda stering adalah hampir sama dengan gegaran pada kereta penulis yang menggunakan enjin 4 silinder biasa
Tork 275Nm yang dihantar masuk menjadikan X70 memecut dengan lancar, tapi tidaklah selincah kereta sedan yang ringan disebabkan cesi yang berat. Cesi yang lebih ringan menjadikan X70 memecut dengan lebih yakin di laluan lurus mahupun ketika menukar laluan, memasuki lorong memotong atau memasuki jalan besar
Jika penggunaan bahan api pada model 2018 dulu dengan varian 2WD Premium hanya sekadar 8.8km per liter, X70 dengan sistem AWD yang lebih kompleks dan berat ini jauh lebih menjimatkan bahan api iaitu sekitar 11.3km per liter. Bagi penulis ia merupakan satu peningkatan yang sangat ketara dalam penggunaan bahan api.
Proton X70 masih mengekalkan kadar bunyi, kebisingan dan gegaran yang sama seperti dahulu. Pemanduan pada halaju 110km/jam di jalan ray baru diturap memberikan kadar kebisingan sekitar 58dB. Hanya bunyi angin pada tiang A dan bunyi tayar sahaja yang masuk, masalah yang noleh diselesaikan jika anda menukar tayar lebih mahal
Talaan pada penyerap hentakan juga dibuat dengan baik dan mementingkan keselasaan. Kadar bounce & rebounce sewaktu X70 melalui jalan tidak rata ataupun ketika melalui bonggol jalan mirip seperti kereta yang lebih mahal. Pendek cerita X70 sesuai dipandu jarak jauh dengan kelajuan sederhana dan berhemah.
Tapi bila anda memecut dengan lebih laju, ada beberapa kaekter pemanduan yang tidak sedap pada pengamatan penulis. Pertama stering kuasa elektrik terasa lembut dan ringan, ia hanya memberat sedikit sahaja pada kelajuan tinggi dalam mode pemanduan Normal.
Jika anda menekan butang Sport, enjin menjadi lebih responsif, penukaran gear dibuat pada RPM tinggi dan bantuan kuasa elektrik stering menjadi kurang. Ini menyebabkan stering terasa agak ketat, mungkin kurang sesuai untuk sebuah SUV.
Sama juga dengan talaan brek yang terasa perlu ditekan dengan lebih kuat dan dalam sedikit berbanding dengan kereta sedan milik penulis. Bukan bermaksud brek cakera pada 4 roda ini tidak bagus, cuma jika anda selalu memandu laju di selekoh anda akan sukakan jika kereta anda ditawarkan dengan brek yang lebih menggigit dan responsif
Sama seperti X70 sebelum ini, hanya varian 2WD Premium sahaja yang diberikan ciri Advanced Safety Assist. Ini bermakna varian Executive ini hanya ditawarkan dengan ciri Tyre Pressure Monitoring System, sistem amaran papan tanda dipaparkan terus pada meter, juga bunyi amaran pemanduan laju jika melebihi 110km/jam
Ciri yang paling disukai oleh penulis semestinya kamera 360 darjah dengan piksel tinggi bagaikan peranti Iphone, satu ciri yang masih gagal disaingi oleh kereta buatan Jepun. Varian Executive turut menerima power tailgate, penunjuk arah yang diintegrasi dalam meter digital, pengelap cermin depan automatik, lampu dengan logo harimau pada bahagian pintu dan juga kusyen depan siap dengan ciri pengudaraan terbina dalam
Ya semua tambahan ini memerlukan anda menambah RM 1000 sahaja menjadikan harga Proton X70 1.5 TGDi Executive AWD berharga RM 116,800 sahaja. Ia merupakan harga yang berbaloi dibayar dengan pelbagai ciri menarik, diberikan enjin yang lebih menjimatkan dan transmisi 7 kelajuan DCT yang lebih cekap.