PEMILIK TESLA AKUI HARGA PAKEJ FULL SELF-DRIVING TERLALU MAHAL
Pada 5 September yang lalu, Tesla telah menaikkan harga bagi pakej perisian pemanduan semi-autonomi Full Self-Driving (FSD) kepada $15,000 (RM67,470).
Agak mahal dan perisian itu sebenarnya masih lagi belum cukup sempurna.
Kini, terdapat segelintir pemilik kereta Tesla mengakui pakej FSD itu adalah terlalu mahal dan tidak berpadanan dengan apa yang ditawarkan, menurut laporan CNN Business.
Daripada 13 orang pemilik yang ditemubual, 11 daripadanya bersetuju Full Self-Driving tidak patut begitu mahal.
Mereka sebulat suara mengakui teknologi bantuan pemandu itu telah dipertingkatkan dari masa ke semasa, namun sesetengah daripadanya perlu menumpukan perhatian lebih semasa menggunakan FSD memandangkan ciri tersebut “sukar untuk diramalkan”.
Seorang pemilik, Wisam Al-Rawi membeli kereta Teslanya empat tahun yang lalu dengan menambah pakej FSD sekitar $2,500 (RM11,245).
Namun, beliau baru-baru ini meminta Tesla untuk membuang ciri tersebut disebabkan oleh kelemahannya.
“Saya tidak akan bayar $10,000 (RM44,980) pun untuk ciri tersebut. Mereka (Tesla) terlebih janji macam gila.”
Seorang lagi pemilik, Logan Rossignol berkata, “Tiada satu pun di dalam fungsi FSD yang sebenarnya berfungsi, sudah tentu bukan untuk nilai wang yang telah dibelanjakan. Anda sebenarnya membayar untuk sebuah janji. Dan apa yang bernilai buat anda, terpulang kepada anda untuk menentukannya.” – CNN Business