
BERMAZ XPENG UMUM PANGGIL SEMULA XPENG X9 – MASALAH SUSPENSI UDARA
Bermaz Xpeng Sdn Bhd mengumumkan panggilan balik melibatkan model kenderaan elektrik mewah XPENG X9 yang dipasarkan di Malaysia susulan tindakan proaktif pengeluar itu di China terhadap sebahagian unit dikeluarkan sebelum 11 Ogos 2025.
Kempen tersebut melibatkan kemungkinan isu pada komponen spring udara hadapan (front air spring), namun hanya unit daripada kumpulan pengeluaran tertentu yang terjejas.
Model yang dihasilkan dalam kelompok pengeluaran lain tidak terlibat dalam panggilan balik ini.
Menurut Bermaz Xpeng, keselamatan pelanggan kekal menjadi keutamaan syarikat dan langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pemilikan kenderaan yang selamat.

Bagi unit yang dikenal pasti terjejas di Malaysia, syarikat akan menggantikan keseluruhan sistem suspensi udara hadapan tanpa sebarang kos kepada pemilik.
Selain itu, jaminan bagi sistem suspensi udara hadapan turut dilanjutkan kepada lapan tahun atau sehingga 160,000 kilometer, mengikut mana yang dicapai terlebih dahulu, bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan.
Jaminan tambahan tersebut juga boleh dipindahkan kepada pemilik baharu sekiranya kenderaan dijual sepanjang tempoh perlindungan berkenaan.
Bermaz Xpeng memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan XPENG, rakan serantau dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal serta kapasiti pusat servis berada pada tahap terbaik sebelum kerja-kerja penggantian dilaksanakan.
Pemilik XPENG X9 yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian khidmat pelanggan XPENG Malaysia di +603-7627 3883.
Pelanggan yang terlibat juga boleh membuat temu janji di Pusat Servis Sah XPENG menerusi aplikasi mudah alih XPENG bagi menjalankan pemeriksaan dan kerja pembaikan yang diperlukan.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa perkembangan terkini mengenai pelaksanaan kempen panggilan balik berkenaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.







