
iCAUR V27 REEV BAKAL TIBA DI THAILAND – TIGA VARIAN, JARAK GERAK 1,100KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM132K
iCAUR, jenama di bawah Kumpulan Chery, bersedia memperluaskan rangkaian SUV berimej lasak menerusi pelancaran model V27 REEV di Thailand.
Model bersaiz D-SUV itu dijadual membuat penampilan awam pertama sempena acara Big Motor Sales 2026 sebelum harga rasmi diumumkan pada September depan.
Berdasarkan maklumat awal, iCAUR V27 REEV akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard REEV 2WD, Top REEV 2WD dan Top REEV 4WD yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

Harga jualan di Thailand dijangka berada antara 1.1 juta hingga 1.3 juta baht (RM132,000 hingga RM156,000).
Model ini mengekalkan rekaan berkotak yang menjadi identiti iCAUR, namun tampil dengan dimensi lebih besar berbanding V23 yang diperkenalkan sebelum ini.
V27 menggunakan teknologi Range Extended Electric Vehicle (REEV), iaitu gabungan motor elektrik dan enjin petrol yang berfungsi sebagai penjana kuasa untuk mengecas bateri.

Sistem ini membolehkan kenderaan dipandu seperti EV sepenuhnya sambil menawarkan jarak perjalanan lebih jauh tanpa kebimbangan mengenai kemudahan pengecasan.
Bagi varian REEV 2WD, enjin petrol turbo 1.5 liter empat silinder menghasilkan 136hp dan 220Nm. Kuasa pemanduan disalurkan oleh motor elektrik tunggal yang menjana 252hp dan 300Nm, dipadankan dengan bateri CATL LFP berkapasiti 20.4kWh.
Menurut angka pengeluar, varian ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 8.9 saat, mencapai kelajuan maksimum 170km/j serta menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 95km. Dengan bantuan enjin penjana kuasa, jarak keseluruhan boleh mencecah 1,100km mengikut kitaran NEDC.

Sementara itu, varian REEV 4WD menggunakan konfigurasi dua motor elektrik di hadapan dan belakang dengan kuasa gabungan 455hp serta tork maksimum 505Nm. Ia dilengkapi bateri CATL LFP berkapasiti 34.3kWh dan sistem pacuan semua roda (AWD).
Varian tertinggi ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa enam saat dengan kelajuan maksimum 180km/j. Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya dianggarkan sehingga 150km, manakala gabungan elektrik dan petrol membolehkan SUV ini bergerak sejauh 1,000km.
Dari segi pengecasan, V27 menyokong pengecasan AC sehingga 6.6kW dan pengecasan pantas DC sehingga 100kW.

Sistem pengecasan DC membolehkan kapasiti bateri meningkat dari 30 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 15 minit. Ia turut menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kuasa sehingga 6 kW untuk membekalkan tenaga kepada peralatan luaran.
Varian Top REEV 4WD hadir dengan suspensi hadapan MacPherson Strut dan suspensi belakang Multi-Link, dipadankan rim aloi 21-inci bersama tayar bersaiz 265/45 R21. Kelengkapan luaran termasuk lampu LED penuh, rel bumbung, anak tangga sisi, cermin sisi berlipat automatik dan sistem kemasukan tanpa kunci pintar.
Ruang kabin menawarkan konfigurasi lima tempat duduk dengan bumbung panoramik berkembar, tempat duduk hadapan larasan elektrik bersama fungsi memori dan pengudaraan, pencahayaan ambien serta sistem penyaman udara dwi-zon dengan penapis PM2.5.

Sistem infotainmen pula terdiri daripada kluster instrumen digital 8.88-inci dan skrin sentuh tengah 15.4-inci beresolusi 3K yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut dilengkapi sistem audio premium Pioneer 15 pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar serta kawalan kenderaan melalui aplikasi telefon pintar.
Aspek keselamatan diberi perhatian menerusi pelbagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif dengan fungsi Stop & Go, Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, kamera panoramik 360 darjah, sistem parkir automatik serta tujuh beg udara.
Di pasaran global, V27 ditawarkan dalam tujuh pilihan warna luaran termasuk Desert Bronze, Moonstone White, Deep Emerald Green dan Obsidian Black, manakala kabin tersedia dalam pilihan hitam atau coklat.






