
120 JENTERA SERTAI MALAYAN XPEDITION 2026. TEROKA LALUAN SEJAUH 630KM DI PAHANG
Malayan Xpedition (MX) 2026 bakal menghimpunkan 120 jentera bagi menempuh laluan sejauh 630 kilometer merentasi lebuh raya, jalan pembalakan dan trek tidak berturap di pedalaman Pahang selama enam hari lima malam.
Dianjurkan oleh By The Billions (BTB), ekspedisi yang sudah penuh ditempah itu memberi penekanan terhadap persediaan teknikal, keselamatan serta pengurusan laluan bagi memastikan konvoi dapat dilaksanakan secara selamat dan bertanggungjawab.
Mengangkat tema “From Exploration to Impact”, MX 2026 turut menggabungkan elemen pemuliharaan alam sekitar menerusi kerjasama BTB bersama Enggang Management Services (EMS) dan Al-Sultan Abdullah Royal Tiger Reserve (ASARTR).
Melalui Habitat Enrichment Project, peserta akan membantu mendapatkan, membawa dan menanam 500 anak pokok ara (Ficus sp.) dari ASARTR Central Nursery di Kampung Mat Daling, Pahang. Program pemantauan dan penyelenggaraan turut dilaksanakan selama 12 bulan.

Dari aspek keselamatan, semua kenderaan diwajibkan menjalani pemeriksaan teknikal sebelum ekspedisi. Ini termasuklah pemeriksaan titik pemulihan casis, winch, sistem brek serta sistem elektrik kalis air. Tayar all-terrain atau mud-terrain turut disarankan bagi mengharung laluan atau jalan balak yang mencabar.
Konvoi turut disokong kenderaan penyapu laluan, pasukan perubatan dan unit pemulihan bergerak yang dilengkapi komunikasi satelit serta peralatan pemulihan berat.
Menurut Pengasas BTB, Nedree Mohd Nazlan, kejayaan aktiviti off-road bukan hanya bergantung kepada kemampuan jentera, malah turut memerlukan disiplin pemandu dan kesedaran terhadap alam sekitar.
“Aktiviti off-road adalah gabungan persediaan jentera, disiplin pemandu dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Sebelum pelepasan rasmi, pemeriksaan teknikal peserta akan dijalankan semasa Adventure Festival yang sebelum ini dikenali sebagai 4Wheels Fest pada 12 September di PARC, Subang Jaya.
MX 2026 turut mendapat sokongan GWM sebagai penaja utama, selain Grantt Lubricants, BFGoodrich, Alpaka Gear, Victron Energy, Pedders Malaysia, Red Springs Overland, Tough Dog Suspension Malaysia dan ANBOT.
Bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, konvoi akan menggunakan jalan pembalakan sedia ada yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut dengan laluan merentasi koridor hutan dari Selangor hingga Cherating.







