Motosikal

TERKINI: QJMOTOR ATX250X GANTI ATR175 – ENJIN 250CC, HARGA BAWAH RM15K

Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 tahun lalu, reruai QJMotor antara yang paling meriah ekoran membariskan bukan sahaja model baharu malah turut mempamerkan model akan datang.

Antara yang mencuri tumpuan adalah skuter adventure, QJMotor ATR175 yang bakal memberi saingan kepada beberapa model popular di Malaysia.

Bagaimanapun, setahun kemudian masih tiada khabar berita mengenai pelancaran motosikal tersebut.

Berdasarkan perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa MForce Bike Holdings, selaku pengedar rasmi jenama QJMotor di Malaysia telah membuat perubahan bagi memanfaatkan peminat skuter di Malaysia.

Kami difahamkan bahawa ATR175 akan digantikan dengan versi 250cc yang dikenali sebagai ATR250 (Fort 250 Adventure di Indonesia) di beberapa pasaran dunia. Namun, menurut sumber, skuter berkenaan akan dinamakan semula sebagai QJMotor ATX250X.

Bukan itu sahaja, kami turut diberitahu bahawa ATX250X akan dipadankan dengan rim lidi (wire-spoked) secara standard berbanding rim aloi.

Atas kertas, ATX250X (ATR250) ini digerakkan enjin satu silinder 249.4cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 25.4hp pada 8,000rpm dan 24.5Nm pada 6,000rpm. Sekadar perbandingan, Yamaha XMAX 250 menawarkan 22.5hp dan 24.3Nm manakala Honda NSS250 pula menghasilkan 22.7hp dan 24Nm.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk

  • fork depan jenis (upside/down)
  • penyerap hentak berkembar belakang
  • tayar 110/80-14 depan
  • tayar 130/70-13 belakang
  • cakera tunggal 240mm depan, cakera 220mm belakang
  • ABS dwi-saluran
  • tangki 12.5L

Menariknya, ukuran ketinggian tempat duduk sama dengan NSS250 iaitu 780mm namun memilik jarak kelegaan tanah yang lebih baik dengan 145mm. Berat keseluruhan pula hanyalah 161kg.

Sementara itu, kami difahamkan MForce bakal menawarkan QJMotor ATX250X pada harga bawah RM15k.

GALERI: QJMOTOR ATX250X

Google ads
Back to top button