
INI HELMET OPEN-FACE TERBAIK PERNAH GIVI HASILKAN DI MALAYSIA
Bagi yang menghadiri Malaysia Autoshow 2025 pastinya ada singgah di reruai GIVI Malaysia yang telah menggunakan peluang itu untuk memperkenalkan helmet terbaru menerusi M37.0 Grande.
Helmet serba baharu itu bingkas mencuri tumpuan ekoran tampil berbeza dengan helmet open-face sedia ada antaranya M35.0 Scudo, M30.3 D.Visor dan M30.2 Presto.

Ini kerana ketika rata-rata helmet jet lain menampilkan bentuk yang lebih bulat dan sinonim dengan DNA GIVI berbeza pula kisahnya bagi M37.0 Grande yang tampil lebih sporty.
Sebaik menerima satu unit M37.0 Grande bersaiz L, kami serta merta menguji kemampuan helmet baharu itu ketika ke Pulau Pinang baru-baru ini.

Tanggapan pertama, M37.0 Grande ini menawarkan keselesaaan yang optimum mirip jenama lain yang lebih premium. Sebagai pengguna M35.0 Scudo dan M30.3 D-Visor, kami berasakan M37.0 Grande ini juga lebih selesa.
Sepanjang pemakaian, kepala berasa cukup selesa dan tidak panas malah visor utama yang cukup panjang turut menawarkan perlindungan baik dari rintangan angin. Fungsi anti-calar pada visor utama juga merupakan satu bonus dari GIVI Malaysia.

Menariknya, pada kelajuan tinggi, senario helmet bergegar (buffeting) juga tidak dirasai secara signifikan. Walaupun jenis ‘open-face’ namun bunyi angin yang didengari juga tidak terlalu mengganggu.
Kehadiran sun-visor juga melindungi penglihatan dengan cukup baik walaupun dibawah matahari terik.

Tidak cukup dengan itu, helmet M37.0 Grande ini juga mencapai standard ECE22.06 yang lebih ketat sekaligus menjaminkan perlindungan yang lebih baik. Untuk rekod, ECE22.06 juga bermakna kedua-dua visor (utama dan sun-visor) berjaya melepasi ujian penembusan.
Selain itu, M37.0 Grande ini juga menawarkan ‘padding’ yang boleh dibuka dengan mudah dan boleh dibasuh agar kekal bersih. Penggunaan salutan anallergic juga memastikan pemakai tidak merasai sebarang kegatalan kulit.

Secara keseluruhan, kami berasakan GIVI Malaysia berjaya menghasilkan sebuah helmet yang bukan sahaja mengikut trend semasa (reka bentuk sporty) malah rasa lebih berkualiti dan selamat.
Untuk makluman, helmet M37.0 Grande ini boleh didapati dengan saiz S,M, L dan XL dan hadir dengan empat warna solid dan empat warna grafik.







