,
Artikel Pilihan

SENARAI KERETA YANG BERBALOI DIBELI – HARGANYA MELONJAK SETIAP TAHUN

Kereta boleh dikatakan satu pelaburan yang kedua mahal dalam hidup kita selain membeli rumah kediaman. Walaupun kadang-kadang kita tidak menganggapnya suatu pelaburan kerana ia akan susut nilai berbanding hartanah tetapi kereta memberikan pulangan bukan dalam bentuk tunai. Ia lebih kepada selama mana ia mampu berkhidmat kepada kita selaku pemiliknya.

Setengah individu yang kami tanya menyatakan jika sebuah kereta mampu berkhidmat tanpa sebarang masalah kepada mereka untuk jangka masa melebihi sepuluh tahun ia sudah dikira pelaburan yang menguntungkan.

Dengan kata lain kita menerima faedah dalam bentuk perkhidmatan dan bukannya aliran tunai ke dalam akaun kita. Senang cerita, sebuah kereta baharu akan menyusut nilainya sebaik sahaja anda pandu ia keluar dari ruang pameran. Semakin mahal sesebuah kereta itu semakin banyak harganya akan menyusut.

BACA: INILAH SYARIKAT KERETA YANG TEWAS

BACA: 5 KERETA MURAH PILIHAN KAMI

Jika sesebuah kereta itu digunakan untuk perniagaan ataupun teksi, Uber atau Grabcar memang lainlah ceritanya. Ia satu pelaburan yang akan memberikan faedah kepada anda kerana anda menggunakannya untuk berkerja.

Namun berdasarkan harga pasaran kereta terpakai pada masa kini kami dapati ada beberapa buah kereta yang telah melonjak harganya sehinggakan ada yang naik melebihi harga asal sewaktu mula diperkenalkan suatu ketika dahulu. Ia boleh dikatakan suatu kelebihan buat para pemiliknya kerana walaupun kebanyakan kereta tersebut dibeli bukan untuk pelaburan pun, tetapi lebih kepada minat dan mungkin juga keperluan.

Ini kami nak ceritakan tentang beberapa kereta yang dipasarkan di Malaysia suatu ketika dahulu dan ada beberapa diantaranya bukan setakat mampu mempertahankan harga tetapi telah meningkat berkali ganda berbanding harga asal sewaktu dipasarkan.

DATSUN 510 SSS

Kereta “lejen” dari zaman datuk nenek kita. Ia ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin dari 1.3 sehinggalah 1.8-liter. Ada yang didatangkan dalam bentuk coupe yang sangat rare dan juga dalam bentuk sedan.

Pada zaman ia diperkenalkan ia boleh dibeli dengan harga bawah RM15K tetapi kini untuk sebuah model 1.6-liter yang masih dalam keadaan baik harganya menjangkau RM25K.

BACA: RESTOMOD DATSUN 510 COUPE

Kalau datuk anda masih ada dan memiliki model ini, rajin-rajinlah bawak buah tangan balik kampung. Kalau tak minat pun boleh tolak kepada kami dengan harga kawan-kawan.

HONDA CR-X (EF)

Model sport 3-pintu Honda yang diperkenalkan dari tahun 1983 sehingga tahun 1991 ini diperkenalkan sebagai antara model sport pertama Honda. Ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin dari 1.3-liter sehinggalah 1.6-liter D16A yang mamapu menghasilkan 135 hp kuasa maksima.

Untuk generasi ketiga, model CR-X SiR versi JDM dibekalkan dengan enjin B16A (170bhp) yang cukup terkenal. Bagaimana dengan harga pasarannya sekarang?

BACA: CRX-MINIMALIS DAN JDM

Jangan terkejut kerana walaupun sudah berusia lebih 20 tahun harganya kini mencecah RM50K. Kalau dapat cari bawah daripada RM30K tu memang kira rezeki la. Itupun kena tengok pada keadaannya sama ada berbaloi ataupun tidak.

TOYOTA CELICA TA22

Sportscar terhebat Toyota suatu ketika dulu. Generasi pertama yang dihasilkan pada tahun 1970 merupakan jawapan pihak Jepun kepada kereta lagenda daripada Amerika Syarikat iaitu Ford Mustang. Malah ia juga dilabelkan sebagai muscle car dari Jepun.

Ia mempunyai konfigurasi tempat duduk yang sama dengan Mustang iaitu 2+2. Model terhebat dikuasakan enjin 2.2-liter. Cukup berkuasa untuk kereta pada zaman tesebut.

BACA: LAGENDA MUSTANG JEPUN-TA22

Beberapa buah model ini ada ditawarkan untuk dijual melalui mudah.my dengan harga sekitar RM35K dan ke atas. Hampir sekali ganda harga yang ditawarkan ketika masih baru.

PROTON ARENA

Jangan gelak dulu. Proton Arena merupakan cubaan berani Proton dalam menghasilkan trak pikap ringan untuk kegunaan peniaga-peniaga kecil. Pasaran terbesarnya ialah di Australia di mana model seperti ini dikenali sebagai ‘ute’ (bukan hutang).

Ia masih sama dengan sebuah Proton Wira tetapi cuma dengan dua tempat duduk dan ruang kargo di belakang. Kenapa kami rasa ia pelaburan yang baik? Semestinya kerana harganya yang masih lagi berlegar di sekitar RM25K ke atas untuk yang masih dalam keadaan baik.

Bayangkan sebuah model Proton keluaran tahun 2000-2004 masih lagi bernilai RM30K. Untuk perbandingan Proton Perdana Executive tahun 2003 boleh diperolehi dengan harga kurang RM15K. Beza dekat separuh harga tu boss. Gen2 tak payah tanya lah, buat Pak Amid rasa nak karate je stereng kereta ni.

MAZDA RX-7 FD3S

Mazda RX-7 ini tidak perlu diperkenalkanlagi kepada anda semua. Kereta lejen dengan enjin rotary yang menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Walaupun ia cuma mempunyai enjin 1.3-liter tetapi dengan bantuan dua pengecas turbo ia mampu menghasilkan sejumlah 280 bhp kuasa maksima.

Kekurangan enjin rotary seperti kita sedia maklum ialah ia kuat makan minyak dan mempunyai komponen yang haus dengan cepat. Ini membuatkan enjin ini mesti melalui penyelenggaraan yang rapi setiap 100,000 kilometer perbatuan. Setiap komponen yang haus mesti ditukar untuk memastikan ia berfungsi dengan cekap.

BACA: TARIKAN SEBUAH RX7 EFINI

Namun lejen tetap lejen, walaupun mempunyai beberapa isu dengan reliabiliti enjinnya sedikit pun tidak menjejaskan harganya di pasaran. Jika ada niat untuk memilikinya, sediakan sahaja duit tunai sekitar RM70-100K kerana itulah harga pasarannya.

NISSAN SKYLINE GT-R R32

Permulaan kepada Nissan Skyline moden. Ia sudah dikira kereta sport klasik dan menjadi buruan pengumpul di seluruh dunia. Itu juga antara faktor yang menyebabkan harganya kekal…mahal.

Ia tidak murah pun sewaktu diperkenalkan tetapi ia masih mengekalkan harga di pasaran terpakai sama seperti harga ketika baru dilancarkan dulu. Terdapat beberapa unit yang diiklankan di laman mudah.my dengan harga dalam lingkungan RM155-178K.

BACA: SKYLINE GTR-LAGENDA YANG MENGUBAH DUNIA

Anda boleh memiliki sebuah Golf GTi ataupun sebuah Impreza baru dengan harga lebih kurang sama tetapi mampukah ia mengekalkan nilai seperti R32?

TOYOTA SUPRA

Satu-satunya kereta sports Jepun yang setanding dengan Nissan Skyline GT-R dari segi kuasa. Malah enjin 2JZ-GTE yang dilengkapkan padanya diakui sebagai antara enjin terbaik pernah dihasilkan. Ia juga merupakan antara kereta sport bersaiz besar dari Jepun.

Sama seperti Skyline ia bukannya murah suatu ketika dulu tetapi ia termasuk dalam senarai kereta yang berjaya mengekalkan harga hingga ke hari ini. Harga sebuah Toyota Supra dengan kotak gear manual adalah dari RM140-180K.

Model dengan gear auto adalah sedikit murah tapi kotak gear auto 4-kelajuan generasi lama memang akan menghadkan kuasa yang ada pada enjinnya. Sayang sungguh.

HONDA NSX

Dilabelkan sebagai supercar pertama Honda dan juga Jepun. Casisnya dihasilkan daripada aluminium sepenuhnya menjadikannya cukup ringan dan lincah bila digabungkan dengan enjin VTEC 3.0-liter.

Rekaannya yang cukup cantik juga membuatkan syarikat pengeluar supercar ternama Itali iaitu Ferrari tidak senang duduk dan terpaksa berusaha keras untuk mengatasi pengaruh NSX.

Ia merupakan model Jepun paling mahal pernah dipasarkan di Malaysia ketika itu dengan harga sekitar RM250K. Meleleh je air liur masa tengah belajar bila melihat beberapa buah NSX merah di pamerkan di ruang pameran berhampiran balai polis Damansara Uptown.

BACA: TAK JADI SAMAN FERRARI, NSX LEBIH BAGUS

Kini lebih 20 tahun berlalu kami pun jadi warga perak (belum emas lagi), dan soalan bonusnya ialah, berapakah harga Honda NSX itu sekarang? Carian dalam beberapa lamanweb beli tempatan menemukan kami dengan cuma beberapa Honda NSX dengan kotak gear manual. Harganya? RM320K! Naik hampir 30 peratus berbanding harga asal.

VOLKSWAGEN KOMBI TYPE 2

Ia juga dikenali dengan nama Kombi, Bus, Microbus, Camper dan macam-macam lagi. Merupakan model kedua keluaran Volkswagen selepas Beetle. Ia juga dihasilkan dalam bentuk pikap tetapi cukup jarang dilihat.

T2 menggunakan pelbagai pilihan enjin dari 1.1 ke 1.6-liter hampir sama dengan Beetle. Rekaan yang klasik lagi comel ini digilai oleh penggemarnya bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Ia juga cukup mempunyai dalaman yang cukup luas dan boleh diubahsuai berdasarkan selera pemilik.

Model ikonik ini mempunyai nilai yang cukup tinggi di pasaran. Bagi sebuah model yang berkarat tetapi masih mempunyai geran hakmilik harganya tidak akan kurang dari RM35K manakala model yang dalam keadaan berkilat-kilat lengkap dengan segala aksesori asal VW boleh mencecah nilai RM140K.

Boleh dapat Vellfire recond dengan harga tu tetapi bila diletakkan bersebelahan, siapa yang lebih menjolok mata?

TOYOTA AE86

Raja segala kereta lejen yang mencetuskan kegilaan drift di seluruh dunia. Dihasilkan dalam dua versi iaitu Sprinter Trueno dan Corolla Levin. Ianya merupakan model coupe pacuan roda belakang yang mempunyai agihan berat depan belakang yang seimbang.

Walaupun cuma mempunyai enjin 1.6-liter, sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk memacu kereta ini dengan lancar. Rasanya ramai yang sudah tahu segala-galanya tentang kereta ini berikutan popularitinya yang telah menjadi fenomena.

Sebenarnya masa mula diperkenalkan di Malaysia suatu ketika dahulu ia bukannya terkenal sangat sebab masa tu belum ramai yang sedar akan potensinya. Ayah dan datuk kita masa tu pun akan memilih Toyota Corolla sedan yang mempunyai empat pintu ataupun wagon untuk kemudahan membawa barangan.

Kalaulah mereka tahu yang harga AE86 ini sekarang mencecah RM130K, mesti mereka akan beli 2, 3 biji untuk buat aset. Tapi itulah masalahnya, masa depan ni bukannya boleh ramal.

Sepuluh buah kereta yang disebutkan di atas adalah contoh pelaburan yang berbaloi walaupun itu bukanlah niat asal pemilik sewaktu membelinya. Harga bukan setakat kekal tetapi ada yang meningkat sehingga 10 kali ganda. Jadi sebelum membeli, buatlah pilihan betul-betul. OK?

BACA: KERETA SPORT JEPUN PALING LEJEN

BACA: 10 ENJIN JEPUN TERBAIK HINGGA HARI INI

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button