
SINGAPURA PASANG HYUNDAI IONIQ 5. CIRI UNIK PADA 100 UNIT PERTAMA, HARGA BERMULA RM328K
Hyundai Motor dilapor bakal melancarkan model kenderaan elektrik Ioniq 5 versi pemasangan tempatan (CKD) menjelang separuh pertama tahun ini, selepas perancangan asal ditunda akibat wabak pandemik COVID-19.
EV berkenaan akan dipasang Hyundai Motor Group Innovation Centre di Jurong. 100 unit pemasangan pertama itu dibezakan menerusi ciri unik seperti warna Gravity Matte Gold, kemasan dalaman gelap Dark Pebble Grey, lencana khas ‘First 100’ dan logo ‘First 100’ pada perehat kepala dan nombor pendaftaran khas EVS yang bermaksud EV itu dipasang di Singapura
Fasiliti Hyundai di Jurong itu dijangka siap pada bulan April depan dan mampu mencapai kapasiti pengeluaran sehingga 30,000 unit setahun menjelang 2025.
Buat permulaan, kemudahan itu akan mengimport kerangka badan yang sudah dicat dari Indonesia, sementara komponen lain dihantar dari Korea Selatan. Kilang dengan keupayaan automasi tinggi itu akan menggunakan tenaga robot yang akan dikendalikan tidak lebih daripada 30 orang pekerja.

Selain Ioniq 5, Singapura juga akan memasang Ioniq 6 dan Kona Electric generasi baharu.
100 unit pertama Ioniq 5 tersebut hadir dengan spesifikasi motor elektrik berkembar itu ditawarkan pada harga bermula dari S$147,800 (RM485,061) yang tidak termasuk kos sijil kelayakan (COE).
Versi motor elektrik tunggal dengan jarak gerak standard pula dijual bermula S$100,000 (RM328,188), juga tidak termasuk kos COE.
Hyundai menawarkan pakej servis percuma selama 10 tahun, diikuti pakej jaminan menyeluruh sehingga 10 tahun atau jarak gerak 160,000 km pada kapasiti bateri 70 peratus untuk semua pelanggan di Singapura.
Sekiranya bateri Ioniq 5 gagal berfungsi atau mengekalkan 70 peratus kapasiti bateri sebelum tahun ke-10, ia akan diganti secara percuma.
Sebagai perbandingan, Hyundai Malaysia menawarkan tiga varian Ioniq 5. Versi Lite (RM207,808) dan Plus (RM238,408) dilengkapi motor elektrik tunggal (170PS/350Nm) dengan pek bateri 58 kWh yang menawarkan jarak sejauh 384km.
Varian Max yang berharga RM270,408) pula mendapat tetapan dua motor elektrik (305 PS/605 Nm) bersama sistem pacuan semua roda dan pek bateri 72.6 kWh dengan jarak mencecah 430km dengan sekali caj.
- BACA: MASALAH PERISIAN BREK, PARKIR PUN BOLEH BERGERAK. HYUNDAI RECALL 10,729 IONIQ 5 DAN 9,014 EV6
- BACA: HSDM SERAH KUNCI IONIQ 5 KEPADA 11 PELANGGAN TERAWAL. CATAT TEMPAHAN HAMPIR 300 UNIT
- BACA: HYUNDAI IONIQ 6 LAKU KERAS, TERIMA 37 RIBU TEMPAHAN DALAM 24 JAM
- BACA: HYUNDAI DEDAHKAN BAGAIMANA IONIQ 6 DIREKA DENGAN PEKALI GESERAN YANG RENDAH