Buletin

SHIFTBOSS ‘STANDALONE’ – EVOLUSI SISTEM QUICKSHIFTER, BOLEH GUNA PADA 20 MODEL MOTOSIKAL, BERMULA RM399

FSR Technology, pereka ECU Tuneboss memperkenalkan produk terbarunya iaitu ShiftBoss, sistem Quickshifter ‘standalone’ untuk motosikal.

ShiftBoss merupakan evolusi beberapa jenis sistem quickshiter yang telah dikaji oleh FSR selama 10 tahun. Kajian itu bermula sejak 2013 dengan butang kendalian tangan, sebelum diikuti versi ‘contact switch’ yang telah memasuki pasaran pada tahun 2015.

Enam tahun kemudian, barulah FSR memperkenalkan shiftBoss, modul tambahan untuk produk utama FSR, Tuneboss ECU pada November 2021.

Kit shiftBoss didatangkan untuk melengkapi empat bahagian utama iaitu Modular Mounting Bracket, sensor ‘Contactless’, modul kawalan dan satu atau dua modul nyalaan, bergantung pada jenis motosikal.

Pada masa ini, pihak FSR telah mengenal pasti 20 jenis motosikal daripada beberapa jenama yang boleh dipasang dengan shiftBoss. Antaranya ialah Yamaha FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150, CBR150 serta SYM VF3i. Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390 dan Modenas Pulsar 200 juga boleh menggunakan shiftBoss.

FSR berpendapat penggunaan sensor contactless, membolehkannya mencapai tahap ketahanan produk shifter lebih baik kerana sensor ini kalis air sepenuhnya. Sensor itu juga lebih mampu milik berbanding sensor jenis “load cell” yang selalu digunakan pada quickshifter lain.

Dengan shiftBoss ‘standalone’, FSR Technology mensasarkan produk itu dapat menembusi pasaran lebih luas berbanding ECU yang dibina khusus untuk setiap model motosikal.

ShiftBoss akan mula berada di pasaran seawal Februari 2023 dengan harga jualan bermula RM399 untuk satu modul nyalaan, manakala harga untuk modul dua nyalaan bermula pada harga RM599.

GALERI:

Google ads
Back to top button