Buletin

HSDM SERAH KUNCI IONIQ 5 KEPADA 11 PELANGGAN TERAWAL. CATAT TEMPAHAN HAMPIR 300 UNIT

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru-baru ini menyerahkan kunci model elektrik IONIQ 5 kepada 11 orang pelanggan di bilik pamerannya di Ara Damansara. 

IONIQ 5 yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu  Lite, Plus dan Max nyata mendapat sambutan hangat apabila hampir 300 unit telah ditempah. Jentera yang tampil dengan reka bentuk moden klasik itu menawarkan jarak perjalanan lebih 400km dengan kelajuan maksimum 185km/j. 

Selain dilengkapi sistem keselamatan SmartSense, Crossover Utility Vehicle (CUV) itu juga didatangkan dengan ketersambungan termaju, sistem bantuan pemandu dan kemasan menggunakan material mesra alam. Pemenang anugerah ‘Car of the Year’ itu boleh anda miliki pada harga bermula RM199,888 seunit. 

“IONIQ 5 merupakan EV kedua yang diperkenalkan oleh HSDM ke pasaran tempatan. Ketika peralihan ke EV dilihat semakin rancak di Malaysia, kami berbesar hati untuk mengembang tawaran menerusi model berkualiti antarabangsa dan mampu milik kepada pengguna,” kata Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan. 

Selain menerima kunci, 11 orang pemilik terawal IONIQ 5 turut diberi keahlian percuma dengan chargeEV selama setahun tajaan Yinson GreenTech. chargEV merupakan penyedia penyelesaian pengecasan terbesar di Malaysia dengan lebih 400 buah stesen di seluruh negara. 

Google ads
Back to top button