
SMART #1 BUAT PENAMPILAN KALI PERTAMA PADA ACARA EVX 2023
smart Malaysia semalam membuat penampilan sulung kenderaan elektriknya, smart #1 pada acara Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2023 yang berlangsung Pusat Konvensyen Setia City, Setai Alam, Selangor.Â
Dengan reka bentuk yang diinspirasi oleh Mercedes-Benz dan teknologi canggih, smart #1 bersedia untuk mentakrifkan semula pengalaman pemanduan sekaligus menaikkan standard kenderaan elektrik di pasaran Malaysia.
“Pratonton kenderaan elektrik penuh smart #1 ini merupakan penampilan istimewa buat julung kalinya bagi memperkenalkan jenama smart di Malaysia.
“Dalam melangkah ke fasa baharu, kami yakin pasaran tempatan akan memberi sambutan kepada kenderaan elektrik penuh smart yang menawarkan mobiliti urban premium selain pengalaman yang unik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang.

Acara itu mempamerkan reka bentuk luaran smart #1 dengan DNA reka bentuk terbaharu yang dicipta menerusi rangkaian reka bentuk Mercedes-Benz global.
Elemen reka bentuk utama termasuk bumbung halo panoramik terapung, pemegang pintu tersembunyi, pintu tanpa bingkai dan lampu belakang CyberSparksLED+ Matrix Adaptive LED.Semua itu menjadi faktor unik yang membangkitkan keterujaan terhadap penampilan smart #1.
Para pengunjung EVx 2023 berpeluang untuk berinteraksi secara langsung bersama pakar produk smart, bertanyakan soalan dan boleh menyaksikan reka bentuk berevolusi smart #1 secara dekat.

smart Malaysia telah mencatatkan kemajuan signifikan dalam mewujudkan ekosistem yang komprehensif sebagai persediaan untuk pelancaran EV tidak lama lagi. Ini termasuklah memuktamadkan pelantikan sepuluh pengedar di seluruh wilayah utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Melaka.
Kerjasama strategik juga diwujudkan dengan penyedia perkhidmatan pengecasan EV tempatan bagi memastikan akses lebih meluas terhadap pengecas pantas (DC) kepada pengguna. Ia merangkumi kerjasama dengan Gentari Sdn Bhd, penyedia terkemuka penyelesaian tenaga bersih untuk memasang pengecas DC yang di lokasi strategik.

Pasukan smart Malaysia terus menjalankan ujian kenderaan bagi memastikan penyesuaian EV yang lancar dengan keadaan jalan raya di Malaysia.
Aplikasi mudah alih yang mesra pengguna turut dibangunkan, dengan menyediakan ciri seperti pemantauan jarak jauh, lokasi stesen pengecasan dan peringatan penyelenggaraan, menjanjikan ketersambungan yang lancar dan pengalaman pengguna yang terbaik.

Sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia dan Thailand, smart Malaysia mengumumkan bahawa smart #1 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada suku keempat tahun ini. e-Brosur smart #1 kini tersedia. Jika anda berminat untuk mendaftar, sila layari laman web smart Malaysia di https://my.smart.com/#Â