Pandu Uji

AUDI Q3 ADVANCE 1.4 TFSI S TRONIC, CROSSOVER PREMIUM HARGA KAYANGAN

Audi Q3 sebenarnya telah dilancarkan semenjak dari tahun 2011 lagi selepas model konsep yang dipamerkannya mendapat sambutan yang bagus ketika dipertontonkan pada umum. Malah Audi juga telah melancarkan Q3 generasi kedua pada tahun 2018 di peringkat global.

Secara rasmi model Q3 ini dibawa masuk ke Malaysia menjelang penghujung 2019, sebelum Covid menyebabkan semua aktiviti ekonomi dunia terhenti seketika. Q3 ditawarkan dalam 2 varian samaada Q3 Sportback 2.0 TFSI Quattro ataupun Q3 Advance 1.4 TFSI S Stronic pada harga RM 305,000.

Ya anda tak salah baca dan penulis tidak silap tulis kerana itulah yang perlu dibayar bagi sebuah crossover dalam segmen C. Panjang keseluruhan Q3 ialah 4484mm manakala jarak antara roda 2680mm meletakkan Q3 sebaris dengan Honda CR-V, cuma bila anda berada dalam kabin ia tak terasa luas sangat.

Bahagian depan Q3 mengetengahkan signature single frame grille dengan 8 bucu yang besar, lampu LED yang menjadi trademark Audi, lengkap dengan teknologi lampu tinggi automatik, lampu selekoh dan juga lampu LED DRL yang bertindak sebagai lampu isyarat.

Bahagian sisi pula tampil dengan rekaan corak yang lebih sasa dan bergaya terutama dengan rekaan garisan sisi di bahagian perumah tayar depan dan belakang. Bahagian belakang menerima lampu belakang mirip rekaan Audi GT e-Tron, ruang kargo sebesar 530 liter dengan bukaan pintu auto tailgate

Walaupun diasaskan daripada platfrom MQB A2 yang turut digunakan oleh Volkswagen Tiguan, Seat dan juga Skoda tapi rekaan Q3 lebih bergaya kecuali rekaan rim sport yang biasa-biasa sahaja walaupun dibalut dengan tayar Hankook EvoS1 bersaiz 235/55 R18

Q3 dikuasakan dengan enjin 1400cc 4 silinder turbo EA211 yang menjana 147 kuasa kuda dan 250Nm tork yang menerjah masuk seawal 1500 RPM. Bagi varian ini, ia dipadankan dengan transmisi DSG 6 kelajuan dengan pilihan mode manual serta unit penukar gear di belakang stering.

Audi meletakkan bacaan rasmi penggunaan petrol bagi Q3 sekitar 13.8km bagi setiap liter. Tapi ujian penulis dengan halaju sekitar 110-130km/jam, Q3 berupaya memberikan bacaan lebih baik pada 14.6km per liter. Jika anda memandu di jalan kampung dengan halaju sekitar 80-90km/jam maka ia akan menjadi 15.8km per liter

Sebaik sahaja anda memasuki ruang pemandu, anda akan perasan yang rekaan dalaman ruang kokpit Q3 ini kelihatan lebih mewah, menarik dan banyak menggunakan butang fizikal berbanding kembarnya Volkswagen Tiguan.

Audi menamakan rekaan ini sebagai Audi Virtual Cockpit yang digabungkan dengan unit Audi Multi Media Interface 10 inci lengkap dengan Apple Car Play dan Android Auto. Anda boleh menggunakan peta navigasi pada paparan meter digital kereta tapi sayang ia tidak menggunakan pembesar suara yang mahal seperti Bang & Olufsen sama seperti pasaran luar negara

Kusyen belakang boleh ditolak ke depan bagi menawarkan ruang yang lebih besar untuk kargo, dilipat pada 3 bahagian bagi memberikan keupayaan membawa pelbagai barangan dengan lebih mudah. Jika semua kusyen belakang dilipat, ia menawarkan ruang sebesar 1525 liter

Jika anda petik butang Driving Dynamic, Q3 menawarkan beberapa pilihan mode pemanduan seperti Comfort untuk memandu santai di lorong kiri, Dynamic untuk pemanduan sporti, Automatic, Offroad dan juga Custom.

Sama seperti Peugeot 3008, mode Offroad akan menggunakan operasi sistem Electronic Stability Control di tayar depan bagi melalui jalan yang sukar dan licin. Pada masa yang sama, sistem ini akan mengaktifkan ciri Hill Decent Control bagi memudahkan anda menuruni cerun

Tapi bila anda memandu sebuah crossover dengan berat mencecah 1545kg dan hanya diberikan dengan enjin 1400cc sahaja, mode Comfort adalah paling baik digunakan. Pandu dengan perlahan menjimatkan bahan api dan memudahkan orang melihat anda memandu kereta berjenama Audi dengan mudah

Jika anda terlalu berkasar dengan enjin dan pedal minyak, fenomena turbolag akan terass sedikit dalam mode Comfort. Mungkin dalam 0.5 saat diperlukan selepas kaki anda membenam pedal minyak dan enjin memberikan respon. Masalah ini kurang terasa jika anda menggunakan mode pemanduan Dynamic.

Tambahan pula Q3 diberikan tayar Hankook Ventus EvoS1 yang kadangkala seperti gagal menghantar tujahan 250Nm tork dengan baik. 2 3 kali juga tayar ini berkokok di lampu isyarat apabila penulis cuba merasai pecutan Audi Q3. Sudahnya penulis memandu Q3 dengan santai dan bersahaja

Tapi stering yang ditetapkan adalah terasa sporti dengan ratio yang cukup besar, sekitar 14.8:1 dan terasa agak pantas tindakbalas cesi bila input stering diberikan. Cuma anda kena ingat, jika ada penumpang di belakang mungkin mereka akan terasa pening jika anda selalu memandu agresif di selekoh.

Ini kerana pada pengamatan penulis, tetapan penyerap hentak yang diberikan pada Q3 terasa jauh lebih lembut dan matang berbanding dengan tetapan yang dibuat pada Volkswagen Tiguan. Tapi jika anda tekan pedal minyak di selekoh dan memberi sedikit arahan pada stering, ia tidak terasa goyah walaupun sedikit

Respon brek juga boleh dikatakan menggigit dan meyakinkan bagi sebuah crossover yang besar. Dalam aspek keselamatan, Q3 hanya diberikan Driver Attention Alert yang memberikan amaran jika ia mengesan anda mulai mengantuk, Auto High Beam, 6 beg udara, kamera pandang belakang dan juga Electronic Stability Control sahaja.

Malah dengan harga RM 305,000 anda hanya mendapat sistem pemanduan pasif dan tiada brek kecemasan automatik ditawarkan. Ia merupakan penawaran yang agak sukar ditelan jika anda bandingkan dengan jenama mewah daripada Jerman yang lain

Mungkin jika anda mahukan sedikit kelainan dan tidak mahu sama dengan populasi 90% pengguna lain yang membeli crossover dari jenama yang biasa dilihat, serta anda mampu membayar harga yang dipinta maka Q3 ini sesuai untuk anda.

Google ads
Back to top button