Buletin

TEMPAHAN SMART #5 KINI DIBUKA – VARIAN PREMIUM DAN BRABUS, TAWAR JARAK GERAK 590KM

Selepas kemunculan pratonton di Malaysia Autoshow 2025, smart Malaysia kini secara rasmi membuka tempahan untuk SUV elektrik serba baharu mereka iaitu smart #5, ditawarkan dua varian – Premium dan BRABUS.

Model ini menandakan satu lagi langkah penting jenama itu dalam memperkukuh kedudukan di pasaran tempatan, menampilkan rekaan lasak, prestasi tinggi dan teknologi pintar yang disesuaikan untuk gaya hidup moden.

Mengangkat tema Contemporary Adventurer, smart #5 direka untuk pemandu bandar yang mahukan lebih daripada sekadar EV biasa – ruang serba luas, jarak pemanduan jauh dan gaya yang menonjol.

Dengan bentuk badan tegap serta reka bentuk berkotak, ia menawarkan pemanduan dinamik dan fleksibiliti untuk pelbagai keadaan jalan.

Tempahan kini dibuka dengan bayaran RM2,000 melalui dua saluran mudah – aplikasi Hello smart (tersedia di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery), atau laman web rasmi smart Malaysia.

Pelanggan boleh memilih untuk membuat tempahan secara digital atau terus ke bilik pameran untuk pengalaman lebih peribadi.

Reka bentuk dan ruang kabin:

  • Ditawarkan dalam empat warna bagi varian Premium dan tiga warna eksklusif untuk varian BRABUS.
  • Bahagian dalaman dibalut kulit Nappa lembut yang meliputi lebih 90% permukaan kabin.
  • Kemasan kayu oak sebenar dan papan pemuka diinspirasikan daripada tie-clip untuk sentuhan elegan.
  • Bumbung kaca panoramik 1.7m² dengan penghadang boleh laras membolehkan cahaya semula jadi masuk ke ruang kabin.
  • Peti pendingin terbina dalam konsol tengah untuk minuman sejuk ketika perjalanan jauh.
  • Kaca dua lapisan kalis bunyi memastikan kabin kekal tenang.
  • Tempat duduk dengan tiga mod boleh laras ke posisi baring, pengudaraan tempat duduk hadapan dan mod keselesaan untuk penumpang belakang.
  • 34 ruang simpanan pintar, ruang but 1,530 liter dan ruang frunk 72 liter menjadikannya sesuai untuk perjalanan jauh mahupun kegunaan harian.

Dari segi teknologi, smart #5 dilengkapi dua paparan OLED 13-inci, paparan AR 25.6-inci dan cipset automotif AMD V2000 yang menjamin prestasi lancar.

Sistem infotainmennya dikawal oleh LEO, avatar pintar berasaskan ChatGPT yang membantu navigasi, komunikasi dan kawalan kenderaan dengan suara.

Ciri Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia, manakala sistem audio 20 pembesar suara SENNHEISER dengan teknologi Dolby Atmos menawarkan pengalaman bunyi premium bertaraf konsert.

Dari segi keselamatan:

  • Menerima penarafan 5 bintang Euro NCAP dengan skor keseluruhan tertinggi dalam kategori SUV besar tahun 2025.
  • Struktur badan diperbuat daripada 82% keluli berkekuatan tinggi dengan kekakuan tork sehingga 42,000Nm.
  • Dilengkapi tujuh beg udara untuk perlindungan menyeluruh.
  • Sistem bantuan pemandu Smart Pilot Assist termasuk Highway Pilot Assist (HWA) dengan fungsi Stop & Go.
  • Kamera 360° untuk memudahkan pemanduan dan parkir di ruang sempit.
  • Sembilan mod pemanduan, termasuk lima mod off-road untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
  • Sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang untuk keseimbangan antara keselesaan dan kawalan optimum.

Beralih pada kuasa, varian Premium menampilkan pacuan roda belakang dengan pecutan 0–100 km/j dalam 6.5 saat, dikuasakan bateri 100kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 590km (WLTP). Ia turut menyokong pengecasan pantas DC 400kW dan pengecasan AC 22kW.

Bagi versi BRABUS, ia dilengkapi sistem pacuan semua roda dwimotor, dengan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Varian BRABUS turut menampilkan Launch Mode, bunyi BRABUS talaan khas, tempat duduk Dinamica microfibre, angkup brek merah serta rim 21-inci BRABUS Monoblock Z yang menyerlahkan gaya sporty dan prestasi tinggi.

Pelanggan boleh menempah smart #5 melalui aplikasi Hello smart atau laman web rasmi smart Malaysia di https://my.smart.com/#/.

Google ads
Back to top button