Buletin

SMART #5 DIPERKENALKAN – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 740KM

smart baru-baru ini telah memperkenalkan model baharu mereka, iaitu crossover smart #5 dan dijangka memasuki pasaran Eropah awal tahun depan.

Dari segi dimensi, smart #5 mempunyai ukuran 4,705mm panjang, 1,920mm lebar, 1,705mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,900mm, iaitu lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLB-Class.

Dari segi penggayaan, ia hadir dengan rekaan lampu depan dan belakang oblong, pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik, pemegang pintu yang dipasang secara rata dan roda yang dioptimumkan dari segi aerodinamik.

Bagi pelanggan yang mencari sesuatu lebih lasak, mereka boleh memilih Summit Edition – dilengkapi dengan lampu bumbung, tangga sisi, dan mempunyai perlindungan bawah badan, alat penarik treler elektrik, selain ruang simpanan luaran yang menyerupai Land Rover Defender.

Di bahagian dalam, ia menerima kelengkapan seperti kemasan kulit premium, trim kayu oak, dan tempat duduk hadapan “zero-gravity” yang boleh dibaringkan hingga 121 darjah.

Model ini juga dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien 256 warna dan sistem audio Sennheiser 21 pembesar suara.

Perincian lain termasuklah dilengkapi kluster instrumen digital 10.3-inci, dua paparan 13-inci, ciri pembantu suara AI generatif serta paparan heads-up augmented reality sebesar 25.6-inci.

Penumpang belakang juga menikmati kemewahan dengan tempat duduk yang dipanaskan dan sandaran boleh disesuaikan.

Bukan itu sahaja, ciri-ciri lain turut dimuatkan adalah seperti “sunshield elektrik” serta lampu bacaan LED dan mod keselesaan yang menawarkan lebih ruang kaki kepada penumpang.

Tempat duduk dalam Smart #5 boleh dilipat untuk menjadikan ruang tidur bersaiz king, queen atau single dalam kabin serta dibekalkan dengan 34 ruang penyimpanan, frunk, dan ruang kargo 1,530 liter.

Beralih pada kuasa, ia mempunyai pek bateri 100kWh yang memberikan jarak gerak lebih dari 740 km mengikut kitaran CLTC.

smart juga mendedahkan bahawa crossover ini dilengkapi teknologi 800V serta fungsi pengecasan super yang membolehkan bateri dicas dari 10 peratus ke 80 peratus dalam masa 15 minit.

Tambahan, crossover ini akan dilengkapi motor belakang dengan kuasa 335hp dan 358hp. Terdapat juga sistem pacuan semua roda dua motor yang menggabungkan motor elektrik depan 221hp dengan motor belakang 358hp atau 416hp.

GALERI:

Google ads
Back to top button