Buletin

SUZUKI JIMNY 3 PINTU TERIMA KEMAS KINI DI JEPUN – ANGGARAN HARGA RM56K HINGGA RM69K

Tujuh tahun selepas kemunculan semula Suzuki Jimny pada 2018, SUV kecil berjiwa besar ini terus memikat peminat di seluruh dunia.

Walaupun kebanyakan pengeluar lain sudah memperkenalkan versi baharu atau sekurang-kurangnya kemas kini besar-besaran, Suzuki memilih pendekatan berhati-hati, menambah baik aspek keselamatan dan sambungan tanpa mengubah formula asalnya yang sudah cukup berjaya.

Kemas kini kali ini hanya melibatkan versi tiga pintu, memandangkan model lima pintu Jimny Nomade masih baharu di pasaran Jepun.

Dari segi rekaan, tiada sebarang perubahan ketara. Jimny kekal dengan bentuk segi empat klasiknya yang kini dianggap ikonik. Rekaan ringkas itu masih kelihatan segar, dan bagi mereka yang ingin menambah gaya tersendiri, pelbagai aksesori rasmi dan aftermarket tersedia dengan melimpah.

Menariknya, pasaran domestik Jepun turut menerima versi narrow body khas yang mematuhi peraturan kei car tempatan.

Model ini tidak mempunyai lengkung fender lebar seperti Jimny Sierra yang dijual di luar Jepun. Tambahan kecil yang unik pada model pasaran Jepun termasuk dua cermin kecil di bawah cermin sisi untuk membantu mengurangkan titik buta.

Bahagian dalaman pula menerima dua peningkatan utama. Panel meter analog kini disertakan dengan paparan maklumat 4.2-inci di tengah, manakala sistem infotainmen boleh dinaik taraf kepada skrin sesentuh 9-inci, sama seperti yang digunakan pada Suzuki Swift.

Sementara, varian asas masih mengekalkan susun atur konsol tengah dengan kemasan plastik tebal yang sinonim dengan Jimny.

Lebih penting, sistem keselamatan Jimny tiga pintu kini setanding dengan versi lima pintu. Ia kini dilengkapi dengan Dual Sensor Brake Support II, sistem amaran keluar lorong, lampu tinggi automatik, pengecaman tanda jalan, serta ciri keselamatan siber baharu yang memenuhi piawaian terkini.

Bagi varian automatik, ia turut mendapat Adaptive Cruise Control dan fungsi Rear False Start Prevention untuk mengelak pecutan tidak sengaja ketika mengundur.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan. Jimny versi kei masih menggunakan enjin tiga silinder 658cc turbo dengan kuasa 63hp, manakala Jimny Sierra mengekalkan enjin 1.5 liter empat silinder NA dengan 103hp.

Kedua-duanya digandingkan sama ada dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda separuh masa (part-time 4WD) dan casis tangga yang kukuh.

Model Jimny yang dikemas kini kini sudah boleh ditempah di Jepun, dan dijangka turut menembusi beberapa pasaran eksport tidak lama lagi.

Harga jualan bermula dari ¥1,918,400 hingga ¥2,160,400 (anggaran RM56,000 – RM63,000) untuk Jimny kei, manakala Jimny Sierra pula antara ¥2,271,500 hingga ¥2,385,900 (anggaran RM66,000 – RM69,000).

Pilihan skrin infotainmen 9-inci ditawarkan pada harga tambahan ¥128,700 (lebih kurang RM3,800).

Google ads
Back to top button