Buletin

TEMPAHAN TERTUNGGAK KERETA SEMAKIN BERKURANGAN

Pengeluar kereta dilihat dapat memenuhi permintaan tinggi daripada pembeli apabila tempahan tertunggak dilihat terus berkurangan.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata sebagai contoh tempahan tertunggak bagi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan UMW Toyota Motor berkurangan masing-masing kepada 100,000 unit dan 20,000 unit ketika ini.

Beliau berkata, jumlah tempahan tertunggak kedua-dua pengeluar kereta itu ketika ini berkurangan dengan ketara berbanding 128,000 unit untuk PERODUA dan 28,000 unit bagi UMW Toyota yang dicatatkan pada Disember tahun lalu.

“Untuk tahun ini, PERODUA menyasarkan jumlah jualan keretanya untuk mencecah 330,000 unit berbanding 330,325 unit pada tahun lalu.

“Kami berpandangan sasaran ini boleh dicapai kerana ia pernah berjaya merekodkan pertumbuhan jualan kereta sebanyak 20 peratus tahun ke tahun.”

“Kami juga menyemak naik unjuran jualan PERODUA untuk 2024 dengan sewajarnya kepada 330,000 unit daripada 250,000 unit sebelum ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Syahril berkata, RHB Investment Bank menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) suku kedua 2024 adalah lemah seperti yang lazimnya berlaku suku ke suku ekoran tempoh bekerja yang lebih singkat disebabkan musim perayaan dan beberapa cuti umum lain.

“Secara tahun ke tahun, kami yakin suku kedua 2024 akan mencatatkan jumlah jualan kereta yang lebih tinggi berikutan asas yang rendah, sementara PERODUA yang membentuk lebih 40 peratus TIV setakat ini merekodkan pertumbuhan luar biasa pada Mei pada paras 20 peratus, lantas menyaksikan TIV pada bulan Mei mencapai kenaikan lapan peratus,” katanya.

Beliau menjelaskan, selepas keputusan suku pertama diumumkan, bank pelaburan itu menyemak naik ramalan TIV bagi 2024 kepada 740,000 unit daripada 625,000 unit sebelum ini, disebabkan semakan pada unjuran jumlah jualan kereta PERODUA tahun ini disokong jualan lebih kukuh daripada jangkaan.

“Bagaimanapun, kami tetap dengan pendirian bahawa sektor ini sedang mengalami fasa jumlah jualan yang menurun selepas dua tahun mencapai prestasi tertinggi dalam sejarah. Maka, kami menjangkakan penurunan ketara untuk TIV pada separuh kedua tahun ini disebabkan tempahan tertunggak terus merosot sedangkan jualan kembali normal,” katanya.

Syahril berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranannya disebabkan prestasi TIV semakin menurun tatkala jumlah jualan kereta mungkin kembali normal pada separuh kedua 2024.

“Risiko negatif utama termasuk pesanan dan penghantaran kereta lebih rendah daripada jangkaan serta isu rantai bekalan kembali muncul. Keadaan sebaliknya mendatangkan risiko positif,” katanya.

Dalam pada itu, Syahril berkata, prestasi sektor automotif gagal mencapai sasaran selepas Sime Darby Motors dan Tan Chong Motor Holdings Bhd tidak berjaya menepati ramalan, sementara MBM Resources Bhd melangkaui jangkaan.

“Keputusan tahun kewangan 2024 Bermaz Auto Bhd (BAuto) pula memenuhi jangkaan. Selepas mengambil alih UMW Holdings, perolehan Sime Darby Bhd diheret oleh kos faedah yang lebih tinggi daripada jangkaan selain sumbangan syarikat bersekutu lebih rendah daripada ramalan, manakala Tan Chong Motor memulakan tahun kewangan 2024 dengan terus menanggung kerugian.

“Perolehan MBM Resources berjaya melepasi sasaran susulan jualan lebih kukuh PERODUA pada suku tahun dikaji, dengan kenaikan sembilan peratus tahun ke tahun. BAuto menutup tahun kewangannya untuk 2024 dengan pencapaian perolehan tahunan tertinggi sekali lagi akibat jumlah jualan yang mantap direkodkan Mazda,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button