
PRO-NET AMBIL ALIH PENGURUSAN JENAMA EV PROTON e.MAS
PRO-NET, anak syarikat automotif kereta nasional PROTON, telah mengambil alih pengurusan jenama e.MAS, penambahan terbaru di dalam portfolio kenderaan elektrik (EV) mereka selepas pelancaran rasmi jenama e.MAS pada 12 Jun 2024.
PRO-NET telah diberikan tanggungjawab yang penting dalam membangunkan jenama e.MAS bagi mengukuhkan pasaran dan bersiap sedia untuk pelancaran produk yang akan datang.
“Tanggungjawab ini termasuklah merekrut sebuah pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas,” katanya dalam satu kenyataan.

Melihat rekod prestasi daripada pelancaran smart #1 yang kini menjadi pesaing utama dalam segmen SUV Premium dan juga pengenalan smart #3 akan datang, PRO-NET telah bersiap sedia untuk menerajui jenama Proton e.MAS.
PRO-NET akan memanfaatkan rangkaiannya yang kukuh, berserta pengembangan platform digitalnya dan juga kakitangan pakar dalam teknologi EV.
“Kepakaran yang telah dibangunkan oleh PRO-NET sepanjang dua tahun lepas meletakkan kami pada kedudukan yang unik bagi mengangkat jenama Proton e.MAS ke barisan hadapan dalam industri EV di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.

“Bakal pelanggan kami bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, malah, melebihi jangkaan mereka,” tambahnya.
Keterujaan terhadap jenama e.MAS jelas dilihat apabila lebih dari 25,000 peserta telah menyertai peraduan meneka jenama baru tersebut.
PRO-NET dengan sukacitanya mengumumkan para pemenang pertandingan ini:
- Hadiah Utama sebanyak RM5,000 dimenangi oleh Puteri Hanna Batrisha binti Ibrahim
- Hadiah Naib Johan sebanyak RM1,500 dimenangi oleh Noor Hidayah Binti Mohd Rodzi
- Hadiah Ketiga sebanyak RM1,000 dimenangi oleh Ahmad Norrizzuan Bin Noor Azhar
Selain itu, PRO-NET mengumumkan bahawa akaun media sosial rasmi Proton e.MAS kini aktif dengan nama pengguna “Proton e.MAS Cars” di Facebook dan Xiaohongshu serta “@protonemasofficial” di Instagram dan TikTok.