Buletin

PEMILIK TESLA MODEL Y DI MALAYSIA LUAH KEKECEWAAN, SISTEM INFOTAINMENT ROSAK TELAN KOS RM40K

Seorang pemilik Tesla model Y di Malaysia telah memuatnaik status di group Facebook ‘Tesla Club Malaysia’ mengenai ketidakpuashatian setelah menggunakannya.

Melalui hantaran tersebut, pemilik telah membangkitkan isu tiada kepakaran untuk membaiki sebarang kerosakan pada model Y meskipun sekadar isu kecil seperti sistem infotainment.

Selain tiada pakar untuk membaiki, kesukaran mendapatkan alat ganti juga menambah sakit kepala pemilik, manakala waranti diberikan oleh peniaga juga tidak banyak membantu, di mana nilai waranti hanya terhad RM15,000 bagi setiap tuntutan.

Pembaikan sistem infotainment menelan kos RM40,000, ini bermakna pemilik perlu menambah sehingga RM25,000. Jadi, boleh bayangkan sekiranya bateri kereta Tesla anda mengalami kerosakan?

Perkara tersebut memaksa pemilik mengiklankan kereta itu setelah CARSOME dan MYTUKAR tidak berminat mendapatkan Tesla Model Y 2022 miliknya. “Ada yang berminat dengan model Y 2022 UK specs 1 bulan pada harga RM350,000?,” Tulisnya di hantaran.

Pastinya hantaran itu mendapat pelbagai reaksi dari ahli group Facebook tersebut. “Berapa harga Tesla yang anda nak jual? Saya rasa anda patut memandu Perodua sebab nak tukar lampu Mercedes pun susah walaupun mudah dan murah.” Komen seseorang.

Walau bagaimanapun, pemilik Tesla tersebut telah mengemaskini hantaran, menyatakan peniaga bersetuju dengan terma & syarat ditetapkan olehnya. Katanya lagi, peniaga turut menyelesaikan isu pinjaman bank serta mengembalikan deposit baki penuh.

“Tiada lagi Tesla buat masa sekarang sehingga ia mendapat sokongan dari peniaga rasmi Tesla di Malaysia. Terima kasih atas sokongan.” Jelas pemilik tersebut, mengakhiri saga isu Tesla model Y 2022.

Google ads
Back to top button