
MODEL S PLAID TOTAL LOSS DIPANDU PEKERJA PUSAT SERVIS, TESLA GANTI KERETA BAHARU
Sebuah Tesla Model S Plaid baru-baru ini mengalami kemalangan di Plano, Texas ketika dipandu oleh seorang pekerja di pusat servis Tesla.
Pemiliknya menghantar kereta itu bagi tujuan pembaikan pada 24 Ogos. Tetapi pada 30 Ogos, dia menerima panggilan yang keretanya kemalangan.
Teslarati melaporkan seorang pekerja pusat servis berusia 31 tahun sedang menguji Model S Plaid untuk memastikan semua pembaikan telah dilakukan dengan betul. Malangnya, pemandu itu dilanggar oleh sebuah Audi A5.

Imej yang diambil selepas nahas menunjukkan bahagian penumpang Model S Plaid itu rosak teruk. Pintu penumpang belakang menerima impak yang kuat dan tingkapnya pecah. Beg udara pada Tesla itu juga telah digunakan.
Polis yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan bahawa pemandu Model S Plaid itu yang menjadi punca kemalangan.
Tidak lama selepas kemalangan itu, pemilik kereta itu ditawarkan pengganti Model S Plaid dengan spesifikasi yang sama. Namun, tawaran tersebut ditarik semula dan Tesla mahu membuat tuntutan insurans dan oenggantian mungkin akan mengambil masa tiga minggu untuk sampai ke tangan pemilik.
Selepas berbincang, Tesla akhirnya bersetuju untuk menukar kereta yang total loss itu dengan sebuah model baharu. Hasilnya pada 9 September lalu, wakil Tesla menghubungi pemilik dan mengesahkan bahawa Model S Plaid baharu telah dihantar kepadanya.