Buletin

RENAULT BOREAL DIPERKENALKAN KHUSUS UNTUK PASARAN LUAR EROPAH. SUV KELUARGA YANG PASTINYA LARIS

Pengeluar kenderaan dari Perancis, Renault telah memperkenalkan sebuah model SUV bersaiz besar dalam segmen C, Renault Boreal sebagai salah satu strategi mereka untuk mengukuhkan dalam pasaran antarabangsa, khususnya di luar Eropah melebihi 70 buah negara.

Renault adalah jenama kereta Perancis yang paling laris di dunia, dengan 1,577,000 kenderaan terjual pada tahun 2024 – hampir 40% (560,000 kenderaan) daripadanya dijual di luar Eropah.

Mengikuti jejak langkah seperti model Kardian, Duster dan Grand Koleos, Renault Boreal merupakan tonggak utama dalam International Game Plan 2024-2027. Sebagai sebahagian daripada pelan ini, Renault melaburkan tidak kurang daripada €3 bilion untuk melancarkan lapan kenderaan baru di luar Eropah. Lima daripada ini diletakkan dalam segmen yang menjana nilai tertinggi C dan D. Antara negara yang menjadi sasaran Renault dalam melebarkan pasaran model Boreal ini kelak termasuklah India, Ameriak Latin, Turki dan juga Timur Tengah.

Renault membayangkan SUV ini sebagai pilihan yang tepat dalam kategorinya. Renault Boreal ini mempunyai panjang 4.56 meter, lebar 1.84 meter, dan tinggi 1.65 meter. Jarak titik roda sehingga 2.7 meter memastikan ruangan yang lebih luas dan selesa di bahagian kabin dengan ruangan but mampu sehingga 586 liter atau sehingga 1,770 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

Rekaan luarannya mempunya fascia terkini sebuah model keluaran Renault meliputi rekaan lampu utama dan juga gril. Bahagian bawah bampar dilengkapi dengan skid plat, terdapat bumbung panorama serta rel bumbung dan juga roda aloi bersaiz 19 inci.

Bahagian kabin tampil dengan rekaan papan pemuka yang mempunyai similariti seperti papan pemuka yang dipasang pada model elektrik Renault 5 E-Tech dan 4 E-Tech. Dua skrin OpenR dengan panel instrumen digital bersaiz 10 inci dan juga skrin info hiburan di tengah konsol dengan saiz yang serupa.

Renault Boreal ini akan menggunakan enjin berkuasa turbo 1.3-liter dengan output maksimum sehingga 160 HP dan 270 Nm. Enjin ini akan dipadankan dengan transmisi dual klac enam kelajuan. Selain daripada bahan bakar petrol, kelak ianya juga akan ditawarkan dengan pilihan bahan bakar fleksibel tergantung negara mana yang ditawarkan.

Sebagai permulaan, Renault Boreal akan mula dipasang di kilang pemasangan terletak di Brazil pada akhir 2025 diikuti dengan pasaran lain bermula tahun 2026.

BACA : RENAULT ESPACE 2026 – TAMPIL DENGAN REKAAN YANG LEBIH SEGAR DAN MODEN

BACA : KELAHIRAN SEMULA LAGENDA RENAULT R5 TURBO 3E BAHARU DENGAN UNIT YANG TERHAD

Google ads

B K

Back to top button